Kulit tersiat – Metro


Kulit tersiat

 12  2 Google +1  0  1

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Johor Bahru: “Mama, papa, kaki Fathur tersepit ni!“ jerit seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang patah tulang jari kaki kirinya manakala kulit bahagian berkenaan tersiat selepas tersepit di eskalator sebuah pasar raya di Kota Tinggi, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Muhamad Fathur Rahman Fadhel tersepit kakinya ketika menuruni eskalator terbabit bersama ibu bapa dan adik perempuannya berusia lima tahun.
Lebih mengerikan, bapanya, Fadhel Ahmad, 32, terpaksa menarik kaki mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik bagi menyelamatkannya.

 

Menceritakan detik cemas itu, ibu mangsa, Nor Fadilah Anuar, 32, berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga ke pasar raya terbabit untuk menghantar stok bekalan makanan yang diletakkan di sebuah kedai di situ.
“Selepas selesai menghantar stok makanan, kami berempat menuruni aras satu pasar raya berkenaan sebelum Fathur tiba-tiba menjerit sekuat hati mengatakan kakinya tersepit.
“Kami panik sebelum suami memberanikan diri menarik kaki kiri Fathur yang tersepit itu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan, di sini, semalam.

 

Menurut Nor Fadilah, dia semakin panik selepas ternampak tulang selain kulit kaki anaknya tersiat.
Katanya, ketika itu, dia melihat Muhamad Fathur Rahman yang juga murid Sekolah Kebangsaan Pasak, Kota Tinggi menahan kesakitan sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

 

“Kakitangan HKT mendapati kaki Fathur patah menyebabkan dia dirujuk ke HSI untuk dibedah.
“Saya dan keluarga berjumpa dengan pengurusan pasar raya terbabit tengah hari semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.
Menurut Nor Fadilah, ketika kejadian, tiada seorang pun wakil pengurusan pasar raya terbabit yang membantu mereka sekeluarga.
Katanya, lebih mengejutkan, dia dimaklumkan kejadian itu tidak diberitahu kepada pengurusan.
“Ketika kejadian, ada lima pengawal keselamatan berada di luar bangunan pasar raya itu dan tidak logik sekiranya mereka hanya mendiamkan diri serta tidak memaklumkan kejadian kepada pihak atasan.
“Kami sekeluarga berharap keadaan Fathur bertambah baik selepas pembedahan dilakukan malam tadi,” katanya.
Menurut Nor Fadilah, kejadian itu memberi tamparan hebat buatnya serta suami dan mereka akan lebih berhati-hati selepas ini bagi mengelak kejadian sama berulang.
Wakil pengurusan pasar raya itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat Muhamad Fathur Rahman di HSI untuk melihat sendiri keadaan kanak-kanak berkenaan.
“Ada sedikit salah faham berkaitan kejadian ini dan kami akan berbincang dengan keluarga kanak-kanak itu bagi mencari penyelesaian,” katanya enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

Budak patah kaki tersepit eskalator – Berita Harian


Budak patah kaki tersepit eskalator

2013/01/10 – 04:55:27 AM Oleh Badrul Kamal ZakariaCetakEmel Kawan
Kota Tinggi: Seorang kanak-kanak lapan tahun berdepan detik cemas apabila kaki kirinya tersepit pada tangga bergerak ketika mengikut ibu bapanya menghantar barang di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.40 petang itu, Mohd Fathur Rahman Fadel bersama keluarganya dikatakan sedang menuruni tangga bergerak itu sebelum hujung seliparnya tersangkut pada tangga itu.

Kejadian itu menyebabkan kaki kiri Mohd Fathur patah dan berlaku pendarahan selepas ibu bapanya berjaya menarik keluar kaki anaknya itu.

Ibu mangsa, Norfadilah Anuar, 32, berkata kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia dan suami bersama dua anaknya sedang menuruni tangga bergerak terbabit.

Saya terkejut apabila melihat kaki Mohd Fathur tersepit. Pada mulanya saya menyangka hanya seliparnya yang tersangkut pada celah tangga bergerak itu, tetapi anak saya meraung kesakitan.

Keadaan menjadi genting apabila saya lihat darah banyak keluar dan dapat melihat tulang kakinya. Suami saya menarik kaki Mohd Fathur beberapa kali sehingga berjaya mengeluarkan kakinya dan bergegas membawanya ke Hospital Kota Tinggi (HKT), katanya.

Norfadilah berkata, walaupun lega keadaan anaknya kini stabil, dia kecewa dengan sikap kakitangan pusat beli-belah terbabit dan HKT.
Ketika kejadian, kakitangan terutama pengawal pusat beli-belah itu tidak peduli dengan keadaan menimpa anak saya. Mereka hanya melihat selain nasihatkan supaya menghantar anak ke hospital.

Ketika di HKT pula anak saya diperiksa sambil lewa. Mereka memaklumkan ia hanya kecederaan kecil dan hanya perlu menjahit bahagian yang luka, katanya.

Katanya, mereka terpaksa membawa anaknya semula ke hospital apabila dia sering menangis kesakitan dan pemeriksaan susulan mendapati tulang kaki kiri anaknya itu patah.

Mohd Fathur yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dijangka menjalani pembedahan kecil, katanya.

Perjalanan terakhir lima beranak – Kosmo


Perjalanan terakhir lima beranak

 

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

 

ABDULLAH bersama Muhammad Aiman (kiri), ibunya, Ramlah Omar (tengah), Samsiah dan Maisarah(atas pangkuan) dalam
gambar yang dirakamkan ketika Hari Raya Aidilfitri lalu di Felda Air Tawar, 5, Kota Tinggi.

 

MERSING – Lima sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna jenis Grand Livina yang mereka naiki hilang kawalan dan berpusing sebelum dirempuh sebuah lori tangki di Jalan Mersing-Endau dekat sini pukul 7.30 pagi semalam.

Mereka yang maut ialah juruteknik, Abdullah M. Yusof, 43; isterinya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, Kota Tinggi, Samsiah Maidin, 37; anak mereka, Muhammad Aiman Syakirin Abdullah, 8, dan Maisarah, 4, serta adik kepada Samsiah, Noraini Maidin, 30-an.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Ammar, 3, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Kosmo! Ahad difahamkan, Abdullah sekeluarga bersama sebuah kereta lain dalam perjalanan untuk menghantar adik iparnya, Muhammad Hafiz Maidin, 18, ke tempat belajarnya di Universiti Teknologi Mara, Jengka , Pahang.

Muhammad Hafiz menaiki sebuah kereta lain yang dipandu oleh datuknya, Maidin Mohamad, 66.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Mohd. Nor Rasid berkata, dalam kejadian ngeri itu, kenderaan yang dipandu oleh Abdullah dipercayai hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali di tengah jalan.

“Pada waktu yang sama, sebuah lori tangki dari arah belakang terus melanggar kereta tersebut hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu melekat,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan empat dari lima mangsa maut pada tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2DssIi08Q
Hakcipta terpelihara

Ajal budak dalam raga – Metro


Ajal budak dalam raga

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terbunuh manakala ibu saudara dan sepupunya masing-masing berusia 19 dan sembilan tahun cedera ringan apabila motosikal yang dinaiki tiga orang itu hilang kawalan dan terbabas di Jalan Masai-Kong Kong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohammad Aqil Danesh yang duduk dalam raga meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang yang juga ibu saudara mangsa, Nurfarain Adabiyah dan sepupu arwah, Syeril Aqila cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila ketiga-tiga mangsa dari arah pasar malam di Jalan Bacang dalam perjalanan pulang ke Felda Cahaya Baru.

 

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi Nurfarain tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjatuh ke bahu jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa terjatuh dan arwah cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua mangsa lain hanya cedera ringan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

 

 

Mohd Roslan berkata, jenazah Mohammad Aqil dan dua mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI). “Polis berharap orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

5 beranak mati dalam kereta – Metro


5 beranak mati dalam kereta

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MAUT...anggota polis mengangkat mayat seorang daripada mangsa untuk dihantar ke hospital.
MAUT…anggota polis mengangkat mayat seorang daripada mangsa untuk dihantar ke hospital.

MASAI: Lima beranak ditemui maut di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang diletak di dalam kedai penghawa dingin kenderaan milik ketua keluarga berkenaan di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai di sini, petang semalam.

Lima beranak itu membabitkan bapa berusia 30-an yang mayatnya berada di tempat pemandu, isterinya, 30-an berada di tempat duduk penumpang depan sambil memangku anak perempuan bongsu mereka berusia empat tahun manakala dua lagi anak pasangan itu berada di tempat duduk belakang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, dua kanak-kanak terbabit ialah anak lelaki berusia 11 tahun dan dan anak perempuan berusia sembilan tahun.

Menurutnya, polis mendapat laporan jam 7.10 malam yang dibuat bapa ketua keluarga berkenaan selepas gagal menghubungi anaknya sejak Ahad lalu.

 
“Ketua keluarga yang terbunuh itu dikatakan menghantar bapanya berusia 60-an, ke Hospital Sultan Ismail pada jam 11 pagi, Ahad lalu, untuk mendapatkan rawatan buah pinggang dan meninggalkan bapanya di hospital itu.

Lidah hampir putus leka main – Berita Harian


Lidah hampir putus leka main
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
2012/03/07

NOOR FADZILAH menunjukkan kesan jahitan pada  lidah  anaknya  di rumah mereka dekat Johor Bahru, semalam.

NOOR FADZILAH menunjukkan kesan jahitan pada lidah anaknya di rumah mereka dekat Johor Bahru, semalam.

Murid terima 20 jahitan selepas dagu terlibas papan jongkang-jongket

JOHOR BAHRU: Seorang murid Tahun Dua mengharungi detik mencemaskan apabila terpaksa berlari sejauh kira-kira 50 meter dalam keadaan berlumuran darah dengan lidah hampir putus, selepas dagunya terlibas papan jongkang-jongket ketika bermain dekat taman permainan Desa Rahmat di sini.

Nasib malang itu menimpa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tiram, Awang Ahmad Hadari Awang Sebawi, ketika bermain bersama rakan sewaktu mengunjungi rumah neneknya di desa berkenaan pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Awang Ahmad Hadari terlibas selepas seorang rakannya terpijak papan jongkang-jongket yang mengena pada dagu mangsa, menyebabkan lidah hampir putus akibat tergigit.

Dalam keadaan berlumuran darah sejurus kejadian, mangsa berlari pulang mendapatkan bantuan ibunya sebelum dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum menerima kira-kira 20 jahitan pada bahagian lidah dan bibir bawah bagi mencantum semula lidahnya yang hampir putus itu.

Ibu mangsa, Noor Fadzilah Daud, 40, berkata ketika kejadian beliau tidak menyedari anak keduanya daripada empat beradik itu pergi ke taman permainan terbabit bersama adik dan beberapa rakan lain.

“Saya hanya menyedari apabila dia berlari pulang dalam keadaan mulutnya berlumuran darah sambil menangis. Terkejut dengan kejadian itu saya menghubungi suami untuk mengejarnya ke HSI dan doktor memberitahu lidah anak saya perlu dijahit.
“Melihat kecederaan yang dialaminya cukup menakutkan saya kerana keadaan lidahnya yang ketika itu terkulai dan hampir putus,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Bestari Indah, di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, anaknya kini sukar untuk mengunyah makanan keras dan sukar bercakap berikutan keadaan lidahnya yang masih sakit selepas menjalani proses jahitan yang banyak.