Bapa pemalas zalim! – Metro


Bapa pemalas zalim!

 42  4 Google +6  1  1

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Hanya kerana berterus-terang dan memberitahu bapanya malas bekerja, seorang remaja perempuan didera termasuk kepalanya dipijak lelaki itu sehingga mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjual burger menjadikan enam anaknya berusia antara lima hingga 13 tahun sebagai mangsa dera terutama anak sulungnya hingga cedera.

Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai berbuat demikian kerana tersinggung dengan perbuatan anaknya mendedahkan sikapnya yang malas bekerja hingga kebajikan keluarga terabai.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu mengugut akan mengancam keselamatan anaknya sendiri sekiranya menceritakan kehidupan sebenar kepada individu lain.
Perbuatan lelaki itu, katanya, bagaimanapun terbongkar apabila JKM menerima aduan daripada beberapa jiran yang bersimpati dengan keadaan anaknya kerana kerap menjadi mangsa penderaan bapa mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian – Metro


Hajat remaja saksi Malaysia lawan Thai tidak kesampaian

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012
Remaja maut ketika ke KL saksi Malaysia lawan Thai
Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di km 55.9 Jalan Pontian-Johor Bahru, dekat Taman Pontian Jaya, disini, malam kelmarin.
Mohd Sauki Amri Hassan
Arwah, Mohd Sauki Amri Hassan, 17.

PONTIAN – Hajat seorang remaja menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Malaysia menentang Thailand bersama rakannya malam kelmarin tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas di kilometer 55.9 Jalan Pontian-Johor Baharu, berhampiran Taman Pontian Jaya, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, motosikal yang dibonceng Mohd Sauki Amri Hassan, 17 bersama rakannya, Mohd Raushad Azhar, 17, dilanggar sebuah kereta dari belakang ketika hendak membelok ke kanan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain.

Mohd Sauki Amri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Raushad yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Bapa arwah Mohd Sauki Amri, Hassan Khalid, 51 berkata, anaknya itu baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 25 November lalu.

Menurutnya, pada pagi hari kejadian, Mohd Sauki yang merupakan anak keenam dari lapan beradik itu keluar bermain sepak takraw.

“Tiada perubahan yang ketara pada arwah, saya tak sangka kelmarin adalah hari terakhir dia bersama saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Sungai Bunyi, di sini, semalam.

Hassan yang tidak dapat menahan kesedihan memberitahu anaknya itu ada berhajat untuk melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran selepas mendapat keputusan SPM kelak.

“Saya terkejut apabila seorang rakan arwah datang ke rumah memberitahu mengenai Amri terlibat dalam kemalangan.

“Ketika diberitahu, saya seolah-olah tidak percaya kerana arwah baru saja keluar 30 minit dan masih lagi terbayang kata-katanya yang meminta izin daripada saya untuk keluar dari rumah,” katanya.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Wakaf, Jalan Medan Sari, selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, menurut rakan karib arwah, Fakrul Faiz Abd Rahman, 17, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihat di depan mata melibatkan dua rakannya.

“Saya lihat ada kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan menuju ke restoran, ketika itu saya tidak terlintas di fikiran Amri dan Raushad akan terlibat dalam kemalangan itu.

“Namun setelah menghampirinya, saya terkejut melihat nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang Raushad,” katanya.

Fakrul Faiz berkata, dia, Amri, Raushad dan seorang lagi rakan Mohd Nor Azwan, biasanya akan keluar menonton perlawanan bola sepak bersama di sebuah restoran di Taman Pontian Jaya.

“Pada petang itu, saya ada menghubungi Amri untuk ajaknya keluar bersama-sama bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Malaysia bertemu Thailand,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu salah sebuah kenderaan yang melanggar mangsa dilaporkan melarikan diri, dan polis kini sedang berusaha menjejakinya.

Polis tahan doktor dipercayai cabul budak lelaki di kliniknya – Bernama


Polis tahan doktor dipercayai cabul budak lelaki di kliniknya

22 Oktober 2012

JOHOR BAHRU – Polis hari ini menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di sini kerana dipercayai mencabul seorang budak lelaki berumur 12 tahun di kliniknya itu, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata doktor lelaki berusia 40 tahun dan masih bujang itu ditahan di kliniknya pada kira-kira 1 tengah hari ini selepas bapa budak lelaki itu membuat laporan polis semalam.

Katanya bapa budak lelaki itu mengesyaki sesuatu berlaku ke atas anaknya selepas melihat anaknya memiliki sebuah telefon bimbit yang didakwa diberikan oleh doktor itu.

“Siasatan awal mempercayai doktor itu mengumpan kanak-anak tersebut ke dalam kliniknya dengan memberikan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace sebelum mencabul,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, hari ini.

Katanya budak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Noor Hashim berkata polis berjaya menumpaskan kumpulan ‘Nara’ yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan enam lelaki sejak hujung September lepas.

Katanya seorang daripada anggota kumpulan itu ditahan di Jalan Sui Koon, di pusat bandar ini kira-kira pukul 10 malam, 28 September lepas manakala lima yang lain ditahan di kawasan Kangkar Pulai, Taman Universiti dan Skudai Villa pada Khamis dan Jumaat lepas.

“Polis merampas pelbagai senjata dan barangan samun termasuk sebuah kereta Nissan Sentra, sebuah motosikal jenis Honda Wave, wang tunai RM1,584, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, dua jam tangan, dua beg galas, topi keledar, kapak, rotan, batu pengasah serta cable tight yang dipercayai digunakan bagi mengikat mangsa,” katanya.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit berumur 20 hingga 42 tahun, mengaku terlibat dengan tujuh kes samun dengan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu. – Bernama

Pelajar parah jatuh tingkat tiga – Berita Harian


Pelajar parah jatuh tingkat tiga

 Bangunan blok E  lokasi yang dipercayai tempat  pelatih terjatuh dari tingkat tiga.Bangunan blok E lokasi yang dipercayai tempat pelatih terjatuh dari tingkat tiga.

Johor Bahru: Seorang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPG-KTI) parah selepas dikatakan terjatuh daripada tingkat tiga asramanya, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, gadis berusia 18 tahun dan mendaftar memasuki pusat pengajian terbabit pada Jun lalu, cedera parah di bahagian tulang belakangnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pusat pengajian terbabit sebelum menghubungi polis.

Cedera parah

“Berdasarkan laporan awal, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asramanya menyebabkan dia cedera serius di bahagian tulang belakangnya.

“Menurut seorang saksi, sebelum kejadian itu, mangsa dilihat berlegar-legar di tingkat berkenaan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Samad berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan stabil, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.
“Kita akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk punca kejadian ini boleh berlaku. Saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi. Saya mohon kerjasama orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Enggan ditemubual

Sementara itu, usaha untuk menemubual mangsa tidak berhasil, apabila wanita dipercayai ibunya yang menemani di sisi katil dalam wad, enggan ditemubual wakil media yang meninjau keadaan gadis terbabit tengah hari semalam.

Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPG-KTI pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dengan alasan kes itu kini diserahkan kepada siasatan polis.

“Kami belum boleh memberi apa-apa reaksi mengenai kejadian berkenaan kerana sudah menjadi kes polis,” katanya.

Pemandu teksi ditahan dera anak – Sinar Harian


Pemandu teksi ditahan dera anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012

SENAI – Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.

“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Lima jam dikurung jiran – Sinar Harian


Lima jam dikurung jiran
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Jun 2012

Mangsa kini sedang dirawat di hospital.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak- kanak lelaki berusia 10 tahun dari Ulu Tiram di sini, dikurung jirannya selama lima jam selepas dituduh bersubahat mencuri besi buruk.

Mangsa turut dipukul sehingga patah tangan kiri dan dicucuh puntung rokok di beberapa bahagian badan oleh jiran terbabit yang mendakwa dia seorang rakannya mencuri besi buruk miliknya.

Nenek mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian yang berlaku pada 13 Jun lalu itu bermula apabila cucunya diajak seorang anak jiran menemaninya ke kedai berdekatan.

“Tiba-tiba salah seorang jiran kami datang meluahkan rasa tidak puas hati dan dakwa cucu saya mencuri besi buruk miliknya.

“Apabila saya soal cucu di hadapan jiran kami itu, dia mengaku ada melihat rakannya berusia 14 tahun menjual besi buruk di sebuah kedai,” katanya.

Dia berkata, cucunya turut memberitahu yang rakannya itu memberi upah RM1 kerana menemaninya, namun dia tidak tahu besi yang dijual adalah barang curi,” katanya.

Tidak puas hati dengan penerangan kanak-kanak itu, jiran terbabit memaksa cucunya mengikut dia pulang ke rumah secara kasar walaupun cuba dihalang.

Menurutnya, menantu lelakinya yang pulang dari tempat kerja sekitar jam 10.30 malam segera menghubungi polis.

“Saya diberitahu cucu saya dikurung selama lima jam dan hanya dibebaskan selepas seorang anggota polis datang ke tempat kejadian.

“Kami terkejut melihat dia cedera, malah bajunya mempunyai kesan darah dan membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya.

Difahamkan, keluarga terbabit membuat laporan di Balai Polis Skudai berkaitan kejadian itu pada 21 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Budak 5 tahun mati dalam kereta ibu – Sinar Harian


Budak 5 tahun mati dalam kereta ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2012
JOHOR BAHRU – Seorang guru sekolah rendah terkejut selepas mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam.

Menurut sumber polis, guru yang mengajar di salah sebuah sekolah di sini keluar dari rumah di Taman Perling, kira-kira jam 7 pagi dan sepatutnya menghantar anaknya ke salah sebuah tadika berhampiran tempat dia bekerja.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk ke sekolah terlebih dahulu kerana bimbang terlewat untuk mengimbas kad perakam waktu.

“Selepas itu dia terlupa yang anaknya ditinggalkan di dalam kereta seorang diri dan hanya menyedarinya kira-kira lima jam kemudian.

“Wanita itu bergegas ke keretanya kira-kira jam 1.30 petang dan mendapati kanakkanak terbabit terbaring tidak sedarkan diri di dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, apabila dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, doktor mengesahkan anaknya itu telah meninggal dunia.

Usaha wartawan Sinar Harian untuk menemui keluarga mangsa tidak berhasil apabila mereka enggan ditemu bual.

Sumber polis turut mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

Lelaki 70 tahun tidak mengaku rogol budak – Utusan


Lelaki 70 tahun tidak mengaku rogol budak

JOHOR BAHRU 23 Mei – Seorang nelayan berusia 70 tahun hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pada 12 Mei lalu.

Mustafa Mohd. Amin, 70, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Warga emas berkenaan menukar pengakuan pada hari ini selepas dia pada 18 Mei lalu, mengaku bersalah ketika pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya sewaktu berada di Hospital Sultanah Aminah kerana menerima rawatan akibat serangan asma.

Tertuduh didakwa merogol kanak-kanak tersebut yang juga anak jirannya di sebuah rumah rakit Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah di sini, kira-kira pukul 5 petang, 12 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Pelajar meninggal dunia di sekolah akibat sesak nafas – Bernama


Pelajar meninggal dunia di sekolah akibat sesak nafas

20 April 2012

JOHOR BAHRU  – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia akibat sesak nafas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika Nur Farhana Rusli, 16, sedang berada di dalam makmal bagi sesi pembelajaran subjek Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik.

“Guru Nur Farhana, Tam Poh Ngoh dengan dibantu seorang pelajar terus membaringkannya di atas katil sebelum menghubungi ambulans dan bapanya. Anggota paramedik yang tiba kira-kira pukul 10 pagi kemudian mengesahkan pelajar berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainuddin berkata, bapa Nur Farhana yang merupakan seorang pemandu teksi memberitahu anak bongsu daripada lima adik beradik itu tidak pernah menghidap sebarang penyakit sebelum ini.

Beliau berkata, pengetua sekolah tersebut, Abdullah Abd Hamid turut mengesahkan Nur Farhana tidak pernah mengalami sebarang penyakit sepanjang bersekolah di situ sejak Tingkatan Satu dan dia merupakan seorang pelajar yang berdisiplin.

“Siasatan awal setakat ini mendapati tiada unsur jenayah berlaku terhadap kematian Nur Farhana. Mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat,” katanya. – Bernama

Sembilan murid keracunan makanan – Sinar Harian


Sembilan murid keracunan makanan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2012

JOHOR BAHRU –Seramai sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan Larkin 1, di sini, mengalami keracunan makanan setelah makan makanan yang dijual di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat, kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Nor A Ghani mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, tiga murid perempuan dan enam murid lelaki daripada Tahun Lima dan Enam dikejarkan ke Klinik Kesihatan Larkin, dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kebanyakan daripada mereka mengadu sakit perut, muntah serta cirit birit selepas makan pada waktu rehat di kantin berkenaan.

“Sejurus insiden berkenaan, hari ini (semalam) kami di pihak jabatan bersama Pejabat Kesihatan Larkin telah membuat pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kantin berkenaan kurang bersih dan diarahkan membersihkan kawasan kantin itu. Kantin berkenaan juga diarahkan tutup sementara sehingga esok (hari ini),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang ibu bapa murid berkenaan, Asmani Omar, 34, berkata, dia agak terkilan apabila tidak dimaklumkan tentang keracunan yang menimpa anaknya.

“Dia mengadu sakit perut. Bimbang dengan kesihatannya lebih teruk, kami membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan anak kami mengalami keracunan makanan dan memberikan ubat. Alhamdulillah selepas makan ubat, dia dapat tidur dan datang sekolah hari ini (semalam).,” katanya.