Murid harap ada yang sudi derma mata
AHMAD Bashah Md. Hanipah (kanan) melihat mata Mohamad Amirul Hakimi Othman di Kampung Padang Luar, Tajar, Alor Setar, semalam. – BERNAMA
ALOR SETAR 26 Okt. – Melihat kembali keindahan ciptaan Tuhan merupakan impian seorang murid tahun tiga setelah mata kanannya cedera pada Mei lalu.
Kanak-kanak itu, Mohamad Amirul Hakimi Othman, 9, yang buta sebelah setelah terkena serpihan mata mesin pemotong jubin itu menaruh harapan tinggi agar ada yang sudi menderma mata kepadanya.
“Saya cuma berharap mata kanan boleh melihat semula seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Padang Luar, Tajar di sini hari ini.
Bapanya, Othman Salleh, 43, berkata, kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi pada 1 Mei lalu ketika Mohamad Amirul ke rumah jiran di Kampung Padang Lalang untuk melihat rakan-rakannya mencanai besi basikal menggunakan mesin pemotong berkenaan.
Menurutnya, nasib tidak menyebelahi anaknya kerana sewaktu ingin mendekati tempat itu dengan tidak disangka mata mesin terpelanting tepat ke arah mata Mohamad Amirul sebelum berpatah semula ke arah pokok.
“Saya sendiri terkejut melihat keadaan Mohamad Amirul yang hampir pengsan dengan mata berdarah di tempat kejadian sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Othman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah berkata, walaupun keadaan mata Mohamad Amirul masih belum pulih sepenuhnya, namun murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Titi Haji Idris itu tetap menunjukkan keputusan cemerlang dalam pelajaran dengan memperoleh keputusan A.
Menurutnya, sumber kewangan untuk merawat anaknya terhad kerana pendapatan sebagai pengawal cuma RM600 sebulan, selain perlu menanggung empat lagi anak yang masih bersekolah serta seorang berumur dua tahun.
Sementara itu menurut ibu kanak-kanak tersebut, Azlina Mohd. Yusoff, 40, dia sekeluarga berharap ada penderma tampil untuk menderma mata kepada Mohamad Amirul supaya penglihatannya kembali pulih serta meneruskan impian bergelar guru satu hari nanti.
“Doktor ada beritahu jika ada penderma, dia boleh melihat, namun sebaliknya, besar kemungkinan mata sebelah kirinya pula berhadapan risiko besar untuk turut mengalami masalah penglihatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Rawatan susulan akan dilakukan pada 7 November depan. Walaupun tidak rasa sakit, namun dia alah kepada cahaya terang kerana cepat rasa silau,” katanya.
Dalam pada itu, nasib kanak-kanak malang itu mendapat perhatian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yang memberitahu pihaknya sedia menanggung semua kos rawatan perubatan Mohamad Amirul termasuk khidmat pakar bagi memulihkan kembali matanya.
“Kita akan berbincang dengan pihak hospital dan cuba segerakan pembedahan tersebut bagi menggantikan mata yang rosak dengan mata kaca,” katanya.
Pada lawatan itu, Ahmad Bashah turut menghulurkan bantuan berupa keperluan harian dan wang tunai.
Dalam pada itu sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Othman di talian 017-5471670 atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun Maybank: 152170132326.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121027/dn_16/Murid-harap-ada-yang-sudi-derma-mata#ixzz2AWGBNtEy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Like this:
Like Loading...