Kereta bertembung, guru hamil parah – Berita Harian


Kereta bertembung, guru hamil parah

2013/03/30 – 00:12:25 AMCetakEmel Kawan
Chukai: Guru sarat mengandung cedera parah, manakala seorang lelaki kritikal dalam kemalangan membabitkan dua kereta PROTON Satria Neo di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Meraga Beris, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Tengku Nor Akmaliana Tengku Zainuddin, 26, patah paha kanan dan ibu jari kiri serta kandungannya mengalami pendarahan.

Suaminya, Nasrulah Abd Rahman, 26, yang juga guru dari FELDA Kerteh 4, Dungun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Seorang lagi pemandu, Hafiz Zaharuddin, 23, dari Kampung Pak Sabah, Dungun dilaporkan kritikal akibat cedera parah di kepala dan pendarahan dalaman.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kereta dipandu Hafiz dari arah Kemaman ke Dungun dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Tengku Nor Akmaliana.

Guru taska, anak cedera kena ragut – Berita Harian


Guru taska, anak cedera kena ragut

2012/01/03

 MOHAMAD NAJMI yang cedera bersama ibunya, Noritamendapat rawatan di Hospital Dungun   selepas kena ragut, semalam.

MOHAMAD NAJMI yang cedera bersama ibunya, Noritamendapat rawatan di Hospital Dungun selepas kena ragut, semalam.

DUNGUN: Seorang guru taska dan anak lelakinya cedera di muka, tangan dan kaki selepas terjatuh di atas jalan selepas mempertahankan beg daripada diragut seorang lelaki berhampiran jambatan Kampung Rajawali, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Norita Omar, 37, dari Kampung Pulau Serai, di sini bersama anaknya, Mohamad Najmi Almin, 5, menunggang motosikal bersama anaknya yang diletakkan dalam bakul motosikal.

Suspek yang menaiki motosikal dipercayai mengekori mangsa dan menghimpit kenderaan lalu menyentap beg tangan mangsa yang diletakkan dalam bakul motosikal.

Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Kembara yang menyaksikan kejadian membawa mangsa dan anaknya ke Hospital Dungun sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Norita yang ditemui di Hospital Dungun sukar bercakap berikutan mengalami kecederaan di mulut dan mangsa masih belum membuat laporan polis.