Ambil UPSR di hospital – Sinar Harian


Ambil UPSR di hospital
NORHAFIZA MUSA
11 September 2013
  • Ambil UPSR di hospitalWan Puteri Nur Hasyimah bersama ayahnya, Osmera manakala Mohd Alif ditemani ibunya, Rohani selepas menduduki UPSR, semalam.
< 1 / 2 >

KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu seronok bergayut pada dinding sekolah ketika waktu rehat, seorang murid terpaksa menduduki UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tangan kirinya patah akibat terjatuh, kelmarin.

Mohd Alif Abd Razak, murid SK Tasik berkata, memandangkan dia seorang yang aktif bersukan, bergayut pada tiang atau dinding sudah menjadi tabiatnya kerana ia salah satu caranya bersenam dan menjaga stamina.

Namun, dia tidak menyangka boleh terjatuh ketika melakukan aksi tersebut hingga mengalami kecederaan teruk sekali gus menyebabkannya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital bersendirian tanpa ditemani rakan.

“Saya tawakkal sahaja.  Meskipun sakit tetapi saya tetap ingin menduduki peperiksaan hari ini (semalam).  Insya-ALLAH, saya berharap dapat menjawab soalan hingga habis,” katanya.

Menurut ibunya, Rohani Mohamad, 45, anak bongsunya itu memang seorang yang aktif bersukan sebab itu dia tidak terkejut mendapat berita anaknya terjatuh di sekolah tetapi sebelum ini tidaklah sehingga mengalami kecederaan yang teruk.

“Saya nasihatkan dia supaya tangguh dulu peperiksaan ini tetapi dia berkeras untuk tetap mendudukinya juga.

“Saya harap dia dapat jawab dengan baik,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Seorang lagi murid yang turut menduduki UPSR di HSNZ, Wan Puteri Nur Hasyimah Wan Osmera, 12 dari Segamat, Johor.

Dia terpaksa menumpang pusat peperiksaan apabila terlibat dalam satu kemalangan di Setiu ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Segamat Johor, pada 3.30 petang pada 3 September lalu.

Menurut bapanya, Wan Osmera Wan Jusoh, 44,  kemalangan tersebut melibatkan tujuh lagi ahli keluarganya, termasuk isteri, Raja Normazlina Raja Husin, 39.

Dua anaknya termasuk Wan Puteri Nur Hasyimah dan anak sulungnya, Wan Puteri Nur Haziqah, 14, mengalami kecederaan teruk.

“Wan Puteri Nur Hasyimah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada memerlukan dia mendapat rawatan rapi.

“Saya dan isteri hanya berserah pada ALLAH, dengan keadaan dirinya begitu, tidaklah kami mengharapkan dia (Wan Puteri Nur Hasyimah) terlalu memaksa diri,” katanya.
Bagaimanapun sebagai bapa, dia tetap mendoakan agar anaknya itu dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Katanya, pada peperiksaan percubaan yang lalu, anak ketiga daripada enam beradik dari SK Segamat Baru itu mendapat keputusan 2A 3B.

Meletup di tangan – Metro


Meletup di tangan

 2  1 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Api begitu pantas membakar sumbu sehingga mercun bola itu tidak sempat dilempar,” kata Muhammad Danial Haikal Roslan, 8, yang terlantar di hospital sejak Khamis lalu apabila tapak tangan kanannya terbelah dua sentimeter selepas terkena letupan mercun bola di Kampung Saujana, Setiu.

Pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Saujana itu berkata, dalam kejadian jam 4 petang dia bersembunyi di dapur untuk meletupkan dua mercun bola yang diperoleh daripada rakan sekolahnya.
Menurutnya, dia berhasrat menyalakan mercun bola itu sebelum melempar ke arah luar dapur rumahnya kerana berfikir lebih selamat.

 

Malang, katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila mercun bola yang dibakar itu meletup sebelum sempat melempar ke luar dapur menyebabkan tapak tangan kanan terbelah dua sentimeter selain melecur teruk pada jari manis.
“Saya meraung sekuat hati kerana tangan terasa amat sakit akibat letupan itu dan jeritan saya didengari nenek di ruang tamu sebelum bergegas turun ke dapur untuk melihat keadaan saya.
“Nenek membalut tangan dengan kain sebelum menghubungi bapa saya, Roslan Salleh, 34, untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

‘Nak lupa sejarah hitam’ – Metro


‘Nak lupa sejarah hitam’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: “Tinggal beberapa hari saja lagi, kami tiga beradik akan mulakan hidup baru dan tidak mahu ingat lagi apa yang mama dan ayah buat pada kami dulu,” kata Mohd Rafiq Haikal Yusman, 7, antara mangsa dera yang gembira selepas berpeluang berpuasa dan akan beraya bersama neneknya di Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, dia dan adiknya Mohd Afiq Hazwan, 5, akan ke Kota Tinggi manakala adik bongsunya Mohd Aqil Zaquan, 3, akan berpuasa dan menyambut lebaran bersama nenek sebelah ibunya di Kampung Tanjung, di sini, apabila dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Rabu depan.
Katanya, sejarah hitam yang menimpa mereka tiga beradik pada tahun lalu akan cuba dilupakan selain ingin memulakan hidup baru bersama dua nenek.

 

“Dua nenek kami tidak putus-putus melayan kerenah kami tiga beradik dan mereka berdua menyayangi serta tidak pernah marahkan kami sepanjang tiga minggu di dalam wad ini.
“Nenek juga beritahu akan beli baju raya baru yang cantik untuk kami gayakan di pagi 1 Syawal dan kami teruja untuk beraya tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Neneknya Ramlah Che Kob, 58, yang tinggal di Kampung Tanjung, di sini, berkata, selepas hampir sebulan di dalam wad, Mohd Rafiq serta dua adiknya akan dibenarkan keluar dari wad Rabu depan.

 

FotoTIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kuala Terengganu Mohd Mahdi Musa (kiri) memeriksa kaki Mohd Rafiq ketika menziarahnya di HSNZ.

Menurutnya, walaupun tiga beradik itu akan berpisah selepas keluar dari wad nanti, dia dan keluarga bekas menantunya akan mencari jalan untuk terus berhubung serta saling menziarahi untuk menghilangkan kerinduan tiga beradik berkenaan.
“Kalau ikut hati, memang saya mahu menjaga semuanya sekali gus, tetapi memikirkan nenek mereka di Johor juga teringin menjaga cucunya, saya reda dan bersyukur walaupun hanya menjaga yang bongsu.

 

“Kalau ada masa, saya bawa cucu berjumpa abang kandungnya di Kota Tinggi Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa dera, Zakaria Wahab, 39, berkata, dia berpakat dengan adik-beradik lain membeli pakaian raya serta keperluan Mohd Rafiq dan Mohd Afiq.
Katanya, dia akan berusaha memberi kasih sayang kepada dua beradik itu yang sudah lama menderita.
Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga beradik menderita selepas menjadi mangsa dera ibu dan bapa tirinya sejak tahun lalu sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Mohd Rafiq yang dikatakan diikat dengan tali, dicucuh puntung rokok, digantung pada kipas dan disimbah air panas, mengalami kecederaan paling teruk berbanding dua adiknya serta memerlukan tempoh lama untuk sembuh.
Bagaimanapun, perbuatan kejam ibu dan bapa tirinya menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi penjara 10 dan 13 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, 2 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri – Utusan


Kanak-kanak 7 tahun kritikal didera bapa tiri

 

KUALA TERENGGANU 25 Jun – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun bukan sahaja dipercayai dikurung dan sering ditinggalkan kelaparan malah turut teruk didera secara fizikal oleh bapa tirinya sejak beberapa bulan lalu.

Kanak-kanak malang itu ditemui bersendirian dalam keadaan sangat menyedihkan selepas rumah di Taman Perumahan Gong Badak dekat sini diserbu sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) petang semalam hasil maklumat daripada seorang pengadu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, terdapat kesan cucuhan puntung rokok di sekitar perutnya, kesan melecur, bengkak, luka di kaki serta lebam di bahagian mata malah sebahagian lukanya telah dijangkiti kuman.

 

Katanya, ketika tiba di rumah yang disewa kepada bapa tiri dan ibu kanak-kanak itu, pagar didapati berkunci dan pihak polis meminta pemilik rumah berkenaan membuka rumah terbabit dan mendapati seorang kanak-kanak di dalamnya.

Katanya, ketika ditemui, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan tidak bermaya dan mengadu kelaparan serta memaklumkan dia telah dikurung oleh bapa tirinya.

“Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dirawat dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana keadaannya dilaporkan stabil.

“Kita sedang jalankan siasatan lanjut terhadap kanak-kanak itu dan suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan mangsa, anak sulung daripada tiga beradik merupakan anak tiri kepada suspek, Mohd. Shazwan Shari, 26, selepas ibunya, Nor Azira Abas, 29, yang telah kematian suaminya kira-kira dua tahun lalu berkahwin dengan buruh yang juga dipercayai penagih dadah itu sejak 10 bulan yang lalu.

 

Mengulas lanjut, Manoharan berkata, pihak polis turut difahamkan, ibu mangsa yang mengetahui anaknya didera itu bagaimanapun takut untuk berbuat apa-apa apabila dia dipercayai turut didera sehingga patah tangan dan telah dirujuk suspek ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan sejak beberapa hari lalu.

Tambah beliau, bagaimanapun, menyedari pihak polis telah menemui kanak-kanak itu, suspek kemudian bertindak melarikan isterinya yang sedang dirawat di hospital bersama dua lagi anak tirinya berusia lima dan dua tahun setengah.

“Polis kini sedang giat memburu suspek dan isterinya yang berasal dari Kampung Tanjung Surau Besar dekat sini kerana dipercayai terlibat sama dalam kes ini dan suspek dikatakan melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran TBE 8379.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak kerana mendera dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asistan Supritendan Najuri Saibol (016-398 9237) atau Pegawai Turus Bahagian Seksual Kanak-kanak, Asistan Supritendan Marina Hashim (012-676 6840),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130625/je_08/Kanak-kanak-7-tahun-kritikal-didera-bapa-tiri#ixzz2XDpQdwoM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kereta bertembung, guru hamil parah – Berita Harian


Kereta bertembung, guru hamil parah

2013/03/30 – 00:12:25 AMCetakEmel Kawan
Chukai: Guru sarat mengandung cedera parah, manakala seorang lelaki kritikal dalam kemalangan membabitkan dua kereta PROTON Satria Neo di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Meraga Beris, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Tengku Nor Akmaliana Tengku Zainuddin, 26, patah paha kanan dan ibu jari kiri serta kandungannya mengalami pendarahan.

Suaminya, Nasrulah Abd Rahman, 26, yang juga guru dari FELDA Kerteh 4, Dungun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Seorang lagi pemandu, Hafiz Zaharuddin, 23, dari Kampung Pak Sabah, Dungun dilaporkan kritikal akibat cedera parah di kepala dan pendarahan dalaman.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kereta dipandu Hafiz dari arah Kemaman ke Dungun dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Tengku Nor Akmaliana.

Jari retak tersepit pintu kelas – Metro


Jari retak tersepit pintu kelas

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Saya berharap guru bertindak lebih baik jika ada kecemasan di sekolah selepas ini,” kata Lokman Ibrahim, 45, bapa kepada Mohamad Hanif Lokman, 13, yang terpaksa bermalam di hospital sejak empat hari lalu selepas cedera jari tangan kanan akibat tersepit pada pintu kelas.

Bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman itu berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari Khamis lalu, anaknya tersilap meletak tangan pada pintu itu ketika berbual dengan rakan.
Menurutnya, jari manis anaknya tersepit selepas seorang pelajar yang mahu ke kelas lain menolak pintu itu.

 

“Sebaik pintu ditolak, jari Mohamad Hanif remuk akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Lokman berkata, ketua kelas anaknya yang melihat tangan Mohamad Hanif berlumuran darah membawanya ke bilik rawatan sekolah sebelum disapu minyak dan dibalut oleh guru bertugas.
“Bagaimanapun, guru itu tidak menghantar Mohamad Hanif ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan, sebaliknya meminta anak saya berehat hingga tamat waktu persekolahan pada jam 2 petang.

 

“Ketika pulang ke rumah, saya terkejut melihat muka anak pucat menahan sakit sebelum dia memberitahu kejadian sebenar,” katanya.
Katanya, selepas itu, dia bergegas ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan sedih apabila dimaklumkan tulang jari anaknya retak.

Malang cari duit saku – Metro


Malang cari duit saku

 8  0 Google +0  0  0

Niat seorang pelajar tingkatan lima, Muhammad Zulhakimi Mat Ripin, 17, bekerja sambilan sebagai kelindan lori pada hujung minggu untuk memperoleh wang lebih bertukar tragedi apabila disahkan lumpuh seumur hidup selepas terjatuh pada hari pertama bekerja.

Remaja itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat patah tulang belakang dan disahkan lumpuh kedua-dua kaki selain bakal menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian belakangnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini, berkata, kejadian berlaku pada 24 Februari lalu ketika dia memunggah besi paip seberat lebih satu tan di sebuah kilang di Kerteh, Terengganu.

 

“Sebelum kejadian, saya berdiri di atas satu paip besi yang masih berada atas lori untuk melakukan kerja, namun tiba-tiba sebatang paip besi lain yang diangkat forklift terjatuh ke lantai menyebabkan saya terkejut dan tergelincir.
“Ketika terjatuh, bahagian belakang terkena batang besi menyebabkan tulang belakang patah tiga selain sebahagian kecil remuk menyebabkan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu sebelum dipindahkan ke HTAA,” katanya ketika ditemui di HTAA, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia hanya kebas di kaki hingga tidak boleh berdiri dan tidak menyangka kecederaan dialami serius, malah menyebabkan lumpuh seumur hidup.

 

Sementara itu, ibunya, Rohana Abdul Ghani, 42, berkata anak kedua daripada enam beradik itu selalu bekerja sambilan setiap kali cuti sekolah termasuk hujung minggu dan dia tidak menghalang asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Terdahulu, remaja itu menerima kunjungan daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS).

4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai – Sinar Harian


4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai

MOHD AZLIM ZAINURY
5 Disember 2012
4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai
Perodua Viva ini dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

MARANG – Empat sahabat nyaris maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka dipercayai terbabas, lalu terjunam ke dalam sungai di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Kampung Gong Balai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pemandu kereta, Sharil Amri Muhammad Suhaimi, 25, bersama tiga penumpang, dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, kereta itu dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas ke sebelah kiri jalan dan nyaris melanggar besi pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 1.5 meter.

Akibatnya, pemandu, Sharil Amri tidak sedarkan diri manakala tiga lagi rakannya, Wan Syamil Asyraf Wan Ramli, 17, dan Nurul Shaffiqa Mohd Mustaffa, 15, serta Nurul Shaira Shaari, 15, tidur sebelum kejadian berlaku.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian, sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sharil Amri yang dikatakan lemas dan cedera di bahagian dahi akibat terhantuk, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan kecemasan, manakala tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

3 sahabat bertembung sesama sendiri – Sinar Harian


3 sahabat bertembung sesama sendiri

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

KUALA TERENGGANU  –  Seorang buruh terbunuh manakala dua pelajar tingkatan empat cedera apabila motosikal mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Kampung Kebor Besar, Manir, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus Abd Rahman, 22, dari Kampung Kesom, Manir, maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Mohd Ridhwan Mustafa, 16, dan Mohd Shafiq Yusri
Yusof, 16, cedera dan dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai menunggang motosikal masing-masing dari arah Kampung Telari ke Kampung Manir.

“Tiba di lokasi kejadian, salah seorang daripada mereka dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba dan akibatnya, dua lagi mangsa yang turut menunggang motosikal dalam keadaan laju tidak sempat mengelak sebelum bertembung sesama sendiri.

“Akibat pertembungan itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus tercampak dan motosikalnya dipercayai terseret lebih 50 meter dari lokasi kejadian menyebabkan dia mengalami cedera parah di kepala dan mati serta-merta,” katanya.

Zamri berkata, dua lagi mangsa masing-masing berasal dari Kampung Banggol dan Kampung Kubang Palas, Manir, di sini, cedera di bahagian badan dan kini menerima rawatan di HSNZ.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

‘Saya sedar ketika tertimbus’ – Bernama


‘Saya sedar ketika tertimbus’

17/09/2012 – 01:14:41 AMCetakEmel Kawan
Kuala Terengganu: Masa ditimbus tanah, saya sedar dan terasa ada orang pijak (tanah di atas) sebelum orang kampung menyedari saya tertimbus.

Masa kejadian itu, saya berada berhampiran lori dan secara tiba-tiba, tanah itu runtuh dan menghempap kami, menyebabkan kami gagal menyelamatkan diri, kata seorang kelindan lori, Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, ketika menceritakan pengalaman ngeri ditimbus tanah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang di Kampung Kuala Ping, Mohd Hanifah bersama rakannya, Mohd Azharulnizam Daud, 24, yang juga pemandu lori ditimbus tanah ketika melihat adik Mohd Azharulnizam iaitu Mohd Zuraime, 17, melakukan kerja menarah tanah menggunakan jengkaut.

Seorang terkorban, dua mangsa lagi terselamat

Mohd Hanifah bernasib baik apabila hanya patah tangan, tetapi Mohd Azharulnizam terkorban selepas tanah setinggi 10 meter yang sedang ditarah itu runtuh.

Mohd Zuraime berjaya menyelamatkan diri.

Saya tertimbus di dalam tanah rasanya dalam 20 minit. Saya bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh orang ramai, kata Mohd Hanifah kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Katanya, kejadian yang menimpa mereka berlaku terlalu pantas dan jika diberi pilihan, dia tidak lagi ingin melakukan kerja itu kerana serik serta takut setiap kali teringatkan insiden itu.
BERNAMA