Belasah enggan jadi gengster – Metro


Belasah enggan jadi gengster

 621  24 Google +1  0  1

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Sungai Buloh: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kini bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, selepas dibelasah sekumpulan tujuh rakan sebaya yang bersenjatakan besi dan kayu di depan sebuah kafe siber di Damansara Damai dekat sini, Isnin lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Oii Boon King, dibelasah kumpulan terbabit dipercayai kerana menolak pelawaan mereka untuk menganggotai satu kumpulan gengster.

Menurut abang ipar mangsa yang juga saksi kejadian, Benny Chong, 35, adiknya dibelasah kumpulan terbabit tanpa belas kasihan selama lebih 10 minit.

“Mereka (kumpulan remaja) membelasahnya menggunakan besi dan kayu. Dia kini masih koma dan sedang dirawat di HSB,” katanya memberitahu, Boon menerima 30 jahitan di kepala selain mengalami keretakan di tangan kiri dan kaki kanan.

FotoRAKAMAN CCTV menunjukkan Boon dibelasah kumpulan berkenaan.

Menurut Benny yang ditemui di HSB di sini, semalam, kira-kira seminggu sebelum kejadian, Boon menolak pelawaan kumpulan terbabit untuk menganggotai satu kumpulan gengster dan mengesyaki ia adalah motif serangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

‘Saya rasa van bergegar’ – Metro


‘Saya rasa van bergegar’

 23  1 Google +1  1  0

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Bukit Beruntung: “Saya dengar dentuman kuat dari luar dan van dinaiki bergegar,” kata mangsa kemalangan, Muhd Izz Sirhan Salahuddin, 12, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan van sekolah dengan sebuah lori 10 tan, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.15 petang di Jalan Bukit Beruntung ke Rawang berhampiran persimpangan lampu isyarat berdekatan Pusat Perniagaan Adenium dekat sini ketika dia bersama lima rakannya dalam perjalanan dari Taman Melur ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Sentosa Fasa 3 di sini.
Van sekolah dipandu pemuda berusia 20-an itu merempuh lori yang dipercayai membuat pusingan ‘U’ di persimpangan itu. Katanya, dua rakannya dikenali Meor Muhammad Nur Hakim Meor Muhammad Ridzwan dan Muhammad Danish Azhar berumur 11 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dengan bantuan orang ramai.

 

“Ada rakan menjerit memanggil ibu dan ayah kerana terkejut.
“Saya cedera di kepala. Manakala tiga rakan lain berumur 11 tahun tidak cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di sebuah klinik swasta,” katanya yang ditemui Harian Metro, di sini, semalam.
Saksi kejadian, Muhd Fauzi Misnan, 44, berkata, ketika kejadian dia menjamu selera di sebuah restoran berhadapan tempat kejadian.

 

Katanya, dia bergegas ke lokasi apabila mendengar suara kanak-kanak meraung kesakitan dan mendapati mereka berlumuran darah di muka,” katanya.
“Saya terharu dengan tindakan pantas orang ramai membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit pada dinding van sekolah itu.

 

“ Kasihan mendengar ada yang merintih dan menangis setelah terbabit dengan kemalangan itu,” katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Padah tidak pakai topi keledar – Sinar Harian


Padah tidak pakai topi keledar

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Padah tidak pakai topi keledar
Anggota polis memeriksa mayat remaja yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, semalam.

PETALING JAYA – Padah menunggang motosikal tanpa topi keledar, seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang  sebuah  lori 11 tan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa Ravind Raj, 16, tercampak selepas  gagal mengelak lori yang mahu membelok ke  kiri  untuk ke Sri  Damansara.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal  Honda EX 5 cedera parah bahagian kepala mati serta merta di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari rumahnya di Damansara Damai menggunakan lebuh raya untuk ke Kepong.

“Ketika kejadian sebuah kereta Proton  Wira dari arah yang sama cuba mengelak melanggar mangsa turut dilanggar sebuah lagi lori menyebabkan pemandunya gagal mengawal lalu terbabas melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah dapat mengenal pasti lori yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita masih menyiasat lagi punca kejadian dan beberapa keterangan dari saksi  sudah diambil,” katanya

Katanya, kes di siasat dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian sayu apabila ahli keluarga yang hadir meratapi kematian mangsa.

Kemalangan juga menyebabkan laluan itu sesak sepanjang dua kilometer berikutan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan ketika melalui tempat kejadian dan  keadaan itu terpaksa dikawal oleh anggota polis trafik bertugas.

Pemandu langgar motor dipukul, van dibakar – Metro


Pemandu langgar motor dipukul, van dibakar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Seorang pemandu cedera dibelasah manakala van miliknya dibakar penduduk yang menyerangnya selepas berlaku kemalangan di antara van yang dipandunya dengan sebuah motosikal dinaiki dua remaja di Jalan Pekaka, di Kota Damansara, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, seorang remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal berkenaan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, manakala seorang lagi berusia 15 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pemandu van berusia 21 tahun terbabit diserang lebih 10 penduduk yang salah faham dengan menyalahkan mangsa kerana dikatakan mengakibatkan kemalangan berkenaan.

 

“Hasil siasatan polis mendapati, ketiga-tiga individu terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan itu bersifat biasa. “Tindakan penduduk menyerang serta membakar van mangsa keterlaluan dan menyalahi undang-undang,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08

Polis cari kereta proton saga guru parah disamun – Bernama


Polis cari kereta proton saga guru parah disamun

8 Jun 2012
PETALING JAYA – Polis kini mencari kereta Proton Saga milik guru wanita, yang diculik dan koma, setelah mangsa disamun oleh penjenayah dan ditinggalkan di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis sedang mencari kenderaan Proton Saga itu yang dilarikan penjenayah itu.

Beliau berkata siasatan awal polis juga mendapati guru itu telah disamun sebelum dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan mangsa kini koma dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai guru itu yang ditemui dalam keadaan cedera teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kehilangan guru itu, 51, oleh suaminya setelah beliau keluar dari rumahnya di Kinrara, Puchong pada Rabu lepas.

Guru itu ditemui pada hari yang sama dengan keadaan cedera teruk di bahagian muka sehingga sukar untuk suaminya mengecam mangsa.

Mohd Adnan berkata siasatan awal mendapati wanita itu telah keluar awal untuk berjoging sebelum dilarikan penjenayah.

“Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun,” katanya.

Selain itu polis turut mencari dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes cubaan menculik seorang wanita di tempat letak kereta di kompleks membeli-belah di The Curve, Damansara, di sini pada 27 Mei lepas.

“Kedua-dua lelaki itu dicam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kompleks membeli belah berkenaan. Kita minta orang ramai bantu kita memberikan maklumat,” katanya. – Bernama

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita – Bernama


Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita

8 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.

“Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.

“Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pukul 11.30 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. — Bernama

Guru hilang ditemui di ladang – Metro


Guru hilang ditemui di ladang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.
Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.
“Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.
“Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma,” katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit kes culik guru wanita – Bernama


Polis buru empat lelaki disyaki terbabit kes culik guru wanita
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.
“Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira jam 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.
“Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor jam 11.30 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

4 lelaki rompak, rogol pelajar – Berita Harian


4 lelaki rompak, rogol pelajar

2012/02/25

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang bukan saja dirompak, malah turut dibawa lari ke sebuah hotel sebelum dirogol secara bergilir oleh empat lelaki di sebuah hotel Jalan Pudu, di sini, Rabu lalu.

Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berasal dari Kundang turut bersendirian di bilik hotel berkenaan sebaik lelaki terbabit selesai merogolnya, sebelum kejadian ngeri itu dimaklumkan pihak hotel.

Difahamkan, sebelum kejadian itu mangsa yang berada di sebuah kedai di Bandar Country Homes, Rawang, Isnin lalu, didatangi tiga lelaki tidak dikenali sebelum mereka mengambil semua barang berharga miliknya termasuk wang tunai RM100 dan telefon bimbit.

Malah, ketiga-tiga suspek terbabit memaklumkan kepada mangsa semua barangan miliknya itu akan dikembalikan semula keesokan di lokasi yang sama tepat jam 12 tengah malam.

Sumber berkata, mangsa yang percaya dengan janji ketiga-tiga lelaki terbabit datang semula ke lokasi itu seperti yang dijanjikan sebelum melihat empat lelaki termasuk tiga individu sama yang ditemuinya sebelum ini, datang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Katanya, suspek kemudian menarik dan memaksa mangsa memasuki kenderaan itu dan membawanya ke sebuah hotel di Jalan Pudu sebelum keempat-empat lelaki terbabit merogolnya.

“Mangsa yang berada dalam kesakitan merayu supaya tidak diperlakukan demikian, namun tidak dihiraukan suspek.
“Suspek meninggalkan mangsa bersendirian di hotel berkenaan tanpa memulangkan wang tunai dan telefon bimbit seperti yang dijanjikan sebelum mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak hotel,” katanya.

Mangsa turut menghubungi ahli keluarganya supaya datang ke lokasi berkenaan dan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Gombak keesokannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya berikutan lokasi kejadian berlaku di kawasan Dang Wangi.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada mangsa dan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan usaha memburu suspek sedang dilakukan.

Padah curi pandu kereta abang – Sinar Harian


Padah curi pandu kereta abang

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
Curi kereta

PETALING JAYA – Hasrat seorang remaja berusia 14 tahun mahu bersiar-siar menggunakan kereta Proton Perdana milik abangnya membawa padah apabila secara tiba-tiba stering kereta tersekat menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar sembilan motosikal di parkir Blok H, Apartment Idaman, semalam.

Kejadian jam 12 malam itu berlaku sebaik sistem keselamatan kereta berkenaan berfungsi selepas sepuluh minit ia dipandu.
Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati remaja berkenaan memandu kereta itu tanpa pengetahuan abangnya.
“Dia mengambil kunci kereta sewaktunya abangnya sedang tidur,” katanya.
Pelanggaran itu turut menyebabkan tiga remaja lain yang kebetulan berada di kawasan parkir cedera.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, sementara remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, keluarga remaja berkenaan telah dipanggil dan bersetuju untuk menanggung kos perubatan mangsa yang cedera serta baik pulih motosikal yang rosak.
Sementara itu, pemilik kereta Proton Perdana memberitahu sistem keselamatan kenderaan itu digunakan bagi mengelak kecurian kereta, bagaimanapun sama sekali tidak menyangka adiknya sendiri yang terperangkap.