Pelajar mati lemas selepas tergelincir ke Sungai Bidor – Utusan


Pelajar mati lemas selepas tergelincir ke Sungai Bidor

 

Oleh AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN 22 Sept. – Seorang pelajar mati lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Bidor dalam kejadian di Changkat Jong dekat sini, hari ini.

Abdul Rahman Abd. Aziz, 13, yang berasal dari Kampung Ayer Hitam, dekat sini, dikatakan tergelincir selepas melihat rakan-rakannya mandi dari tebing sungai berkenaan.

Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Selatan. Abd. Samad Hashim berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.15 tengah hari.

“Usaha mencari dan menyelamat melibatkan tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Tapah serta empat anggota Rela dan mayat ditemui pada pukul 4.27 petang.

“Mangsa ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan tergelincir dan mayat telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130922/je_09/Pelajar-mati-lemas-selepas-tergelincir-ke-Sungai-Bidor#ixzz2fdL9QIK4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tangguh pelajaran akibat kemalangan – Sinar Harian


Tangguh pelajaran akibat kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2013
Tangguh pelajaran akibat kemalangan
Zainol Fadzi (kiri) membantu Mohd Faizi menggunakan tongkat yang disampaikan.

LANGKAP – Kemalangan jalan raya yang dialami tahun lalu bukan hanya menyebabkan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini menghadapi kesukaran bergerak tanpa bantuan serta pemantauan, malah dia terpaksa menangguhkan pelajarannya.

Dalam kemalangan berkenaan, Mohd Faizi Abd Razak, 17 mengalami patah tulang pinggul selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah motosikal lain sebelum tercampak ke tengah jalan dan dilanggar sebuah lori.

Ibunya, Rosnah Sarin, 42 memaklumkan, kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu berlaku pada Ogos tahun lalu menyebabkan Mohd Faizi terpaksa tinggal di Hospital Teluk Intan selama beberapa bulan, sebelum dibenarkan pulang baru-baru ini.

“Bagaimanapun anak saya terpaksa dibawa ke Hospital Selayang selepas mengalami masalah di bahagian pundi kencing kerana perlu dibedah semula dan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Kini dia alami kesukaran untuk berjalan tanpa bantuan orang lain dan saya perlu pantau keadaannya dari semasa ke semasa. Kerana itu saya ambil keputusan berhenti kerja, demi menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang turut menghulurkan bantuan tongkat bagi memudahkan remaja itu berjalan.

Dalam pada itu, Rosnah turut berterima kasih kepada Zainol Fadzi atas bantuan yang diberikan.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang mengetahui nasib Mohd Faizi selepas dimaklumkan ketua kampung di sini merasa simpati dan berharap bantuan tongkat berkenaan dapat memudahkan pergerakan remaja berkenaan.

Teguran disalah erti – Sinar Harian


Teguran disalah erti
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012
HUTAN MELINTANG – Niat baik seorang lelaki berusia 48 tahun menegur dua remaja menunggang motosikal secara melulu disalah erti apabila ditumbuk oleh suspek dalam satu kejadian, di Batu 19, Bagan Pasir, di sini.

Lebih malang, anak mangsa berusia 15 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek turut cedera di dada dan sebahagian telinga.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 26 Jun lalu apabila seorang lelaki menegur dua remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya sehingga boleh mengancam nyawa penduduk.

Menurutnya, tidak berpuas hati dengan teguran itu, mangsa kemudiannya ditumbuk dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Mangsa kemudiannya bergegas pulang ke rumah sebelum anak lelakinya bertanya keadaan kecederaan yang dialami.

“Anak mangsa kemudiannya bertindak menegur tingkah laku suspek berusia 26 tahun yang menumbuk bapanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kok Liang berkata, tindakan menegur itu mengundang kemarahan rakan suspek berusia 19 tahun.

“Rakan suspek ini telah mencederakan dada dan sebahagian telinga kanan anak mangsa menggunakan sebilah pisau.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, anak mangsa menerima sembilan jahitan kerana dicedera di bahagian dada.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan selanjutnya.

“Kita turut melakukan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek dan mendapati lelaki berusia 26 tahun positif dadah.

“Kes disiasat di bawah 324 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, denda serta sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Remaja jadi hamba seks rakan sekolah – Utusan


Remaja jadi hamba seks rakan sekolah

TELUK INTAN 26 Mei – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menempuh detik-detik hitam dalam hidupnya setelah diugut dan diperlakukan seperti hamba seks apabila dirogol oleh rakan sekolah di rumahnya sendiri sejak beberapa bulan lalu.

Episod malang remaja berkenaan bermula apabila dia diugut untuk dicederakan oleh seorang rakan lelaki di sekolahnya jika enggan membenarkan rumahnya dimasuki ketika semua ahli keluarganya tiada di rumah.

Bagaimanapun, perbuatan tersebut terbongkar apabila jiran mangsa menyerbu rumah berkenaan Selasa lalu selepas terdengar jeritan remaja terbabit sehingga menyebabkan suspek melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika mengesahkan kejadian itu berkata, susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat sebelum menghantar anaknya ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Beg berisi mayat bayi – Metro


Beg berisi mayat bayi

Laporan ABU BAKAR AL SIDEK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI MANIK: Hasrat seorang remaja lelaki memetik nenas di kebun buah-buahan keluarganya, di sini, petang kelmarin, terbantut apabila terserempak dengan sebuah beg pakaian berisi mayat bayi.

Dalam kejadian jam 6.30 petang di Lorong Tok Jingga, Kampung Sungai Lampam, mayat bayi dibalut dengan kain sarung batik itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu sebelum dicampak di ladang berkenaan.
Difahamkan, mayat bayi itu cuba dikebumikan berdasarkan penemuan satu ‘kubur’ kecil berhampiran sebuah pokok mengkudu di lokasinya ditemui.

 

Saksi kejadian, Khairudin Idris, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdullah, di sini, berkata, sebaik terserempak dengan mayat bayi, dia bergegas pulang ke rumahnya di Parit 4/7R Chenderong Balai dan memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.
Beliau berkata, dia bersama abangnya, Saharudin, 20, dan abang iparnya, Razlan Abu Bakar, 28, kembali ke lokasi penemuan mayat bayi itu untuk memeriksa.
“Kami membuka beg sebelum melihat mayat bayi itu berbalut dengan kain sarung batik. Kami percaya bayi itu meninggal dunia beberapa hari lalu kerana berbau busuk dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

 

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat bagi memaklumkan penemuan mayat bayi itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menyerahkan mayat bayi kepada Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.

 

Beliau berkata, sehingga semalam, jantina mayat berkenaan belum dipastikan kerana masih dalam pemeriksaan pihak hospital.

Maut dirempuh dua remaja – Sinar Harian


Maut dirempuh dua remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2012
Maut dirempuh dua remaja
KOK LIANG

TELUK INTAN – Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh dua remaja menaiki motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nibong, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Chong Ting Huat, 56, menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan ke Sungai Nibong.

Menurutnya, apabila tiba di persimpangan berkenaan, mangsa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Ketika sedang berhenti, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang dua remaja berumur 16 dan 17 tahun merempuh lelaki itu.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian serta maut ke tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kata beliau, manakala dua remaja turut mengalami kecederaan yang agak serius dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Jelasnya, siasatan lanjut terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan motosikal milik saudara.

“Menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen membawa motosikal dan akan memberi kesan kepada pemilik kenderaan itu sendiri.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada Ibu bapa dan masyarakat supaya tidak terlalu membenarkan anak mereka yang tiada lesen untuk membawa kenderaan kerana akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kecuaian mereka boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan juga orang lain seperti mana yang berlaku pada lelaki yang maut dilanggar dua remaja berkenaan,” katanya.

Rotan jika salah, bukan belasah – Kosmo


Rotan jika salah, bukan belasah

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.

Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.

Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.

“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan – Kosmo


Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan

MUHAMAD ZIQRIL HAKIN telantar di atas pengusung di Hospital Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – “Kami berkelahi tetapi mengapa cikgu masuk campur dan pukul kami berdua sehingga saya cedera teruk.”

Demikian luah seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong di sini yang mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar berkenaan, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar di sekolah tersebut.

“Saya terkejut kerana guru itu menerpa datang dan memukul kami berdua dengan tangannya. Saya dipukul sebanyak tiga kali di muka dan sekali di leher sehingga menyebabkan saya terjatuh.

“Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu dan sedar-sedar saya sudah terbaring di atas katil di hospital. Saya cuma rasa sakit di tengkuk dan kepala saya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.