Ibu dan tiga anaknya antara enam maut nahas – Utusan


Ibu dan tiga anaknya antara enam maut nahas

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

KEMAMAN 10 Okt. – Seorang ibu bersama tiga anaknya merupakan antara enam mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Meraga Beris kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

Noran Ali, 39, meninggal dunia bersama anaknya Nurkhairatul Najiha Norizan, 4; Nursyazleen Norizan, 12; dan Nur Syardiena Norizan, 9 setelah mereka cedera parah dan tersepit dalam kereta yang remuk apabila kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas.

Manakala dua lagi anaknya, Nursakinah Norizan, 17 dan Nursyafura Norizan, 13, cederah parah, dan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Turut maut ditempat kejadian ialah pemandu kereta, Khairudi Omar,31 dan seorang lagi penumpang kereta, Wan Aspisar Wan Abd. Kadir, 43, yang difahamkan anggota keluarga angkat kepada lima beradik itu.

Pemandu bas beserta 23 penumpang bas yang lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Abdul Marlik Hakim Johar berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuala Terengganu itu terbabas sebelum

masuk ke laluan bertentangan.

Jelas beliau, akibatnya, kereta itu bertembung dengan bas yang datang

dari arah hadapan yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke

Kuantan. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121010/dn_22/Ibu-dan-tiga-anaknya-antara-enam-maut-nahas#ixzz28xwCCDlm
© Utusan Melayu (M) Bhd