Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan – Metro


Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan

 76  4 Google +0  0  0

Kuantan: “Saya terkejut apabila keadaan sekolah tiba-tiba kecoh dan beberapa pelajar bertempiaran lari sambil menjerit-jerit sehingga menakutkan pelajar lain,” kata seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira, di sini, menceritakan kejadian 70 pelajar diserang histeria petang semalam.

Menurut pelajar itu yang enggan namanya disiarkan, melihat keadaan tidak terkawal, seorang guru melaungkan azan, namun pelajar menjadi lebih agresif dan marah sambil mengeluarkan perkataan yang sukar difahami.

Dia berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, beberapa guru menangkap pelajar yang histeria dan menempatkan mereka dalam makmal komputer untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Kakak saya turut histeria dan saya melihat dia terbaring sambil meracau-racau. Apabila saya memanggilnya, dia mempamerkan wajah bengis.

 

FotoDUA pelajar SMK Tok Sira terbaring selepas diserang histeria.

“Bagaimanapun keadaan reda selepas pihak sekolah memanggil seorang ustaz bagi memulihkan mereka, namun saya tetap bimbang keadaan ini berulang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Bapa seorang mangsa, Saifullizan Abdullah, 38, berkata, kejadian histeria di sekolah itu cukup membimbangkan kerana ada yang mendakwa ketika dirasuk, mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan.

 

Dalam kejadian semalam, dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, mengalami histeria dan dia terus ke sekolah selepas dimaklumkan.
“Saya difahamkan kejadian histeria ini sudah beberapa kali berlaku sebelum ini,” katanya.
“Lebih membimbangkan apabila dirasuk, ada pelajar mendakwa mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.
Sekolah berkenaan pernah merekodkan kejadian dua pelajar terjun dari bangunan pada Mei dan awal bulan lalu dengan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan kejadian itu daripada pihak sekolah sebelum sebarang tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/27

Pelajar Tingkatan Satu parah terjun dari bangunan sekolah – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu parah terjun dari bangunan sekolah

2013/09/03 – 18:24:54 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Tok Sira di sini parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Aziz Ahmad, berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian jam 12.45 tengah hari.

“Mangsa yang patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk membunuh diri berdasarkan nota yang ditulis di tapak tangan kirinya.

Bagaimanpun, katanya, polis masih menyiasat motif kejadian.
“Pelajar terbabit dalam keadaan stabil…polis akan mengambil keterangan selepas dia sedar nanti,” katanya. – BERNAMA

Atlet cacat penglihatan tertusuk bebola mata – Metro


Atlet cacat penglihatan tertusuk bebola mata

 69  2 Google +0  1  0

Kuantan: Malang bagi atlet cacat penglihatan apabila harapannya untuk menggenggam pingat emas acara lontar peluru dalam Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2013, lebur kerana bebola mata kirinya pecah tertusuk bucu besi penghadang tangga di Stadium Darul Makmur di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Shafiq Rashid, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Inderapura, Kulaijaya, Johor, yang mewakili negeri itu sedang menuju ke surau stadium untuk solat Zuhur.
Bagaimanapun, remaja berkenaan tergelincir ketika menuruni tangga menyebabkannya jatuh dan mata kirinya terkena bucu besi penghadang tangga.

 

Ibu mangsa, Rahimah Ahmad, 52, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya itu mengalami kecederaan parah ketika mengikuti kejohanan berkenaan.
“Saya bergegas dari rumah di Tampin, Negeri Sembilan ke sini untuk melihat keadaannya. “Nasib baik abangnya bekerja di bandar ini dan kepada dia serta kontinjen saya berharap memastikan Mohd Shafiq berada dalam keadaan baik sebelum tiba di sini,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Rosdi Ismail di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.
Rahimah berkata, bagaimanapun keadaan anak ‘istimewanya’ itu semakin stabil sejak dimasukkan ke HTAA kelmarin dan sudah menjalani pembedahan menggantikan bebola mata kirinya, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

JPN lawat hero – Metro


JPN lawat hero

 12  3 Google +0  0  0

Kuantan: Keberanian pelajar tingkatan satu, Mohd Irham Abu Bakar, 13, menyelamatkan neneknya dari rentung Sabtu lalu, mendapat pujian daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Rosdi Ismail berkata, pihaknya prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd Irham dan akan menghulurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
Rosdi berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa dengan mengadakan kutipan derma di setiap sekolah dalam negeri ini bagi mengumpul dana untuk tujuan perubatan serta kegunaan pelajar berkenaan.

 

“Kita kagum dengan semangat kental yang ditunjukkan Mohd Irham dalam usaha menyelamatkan neneknya, dan tidak salah jika kita menganggap beliau sebagai seorang wira.
“Dia bukan saja berjaya menyelamatkan nyawa neneknya malah turut bertindak bijak apabila pantas terjun ke dalam air selepas separuh tubuhnya parah dimamah api,” katanya terharu dengan keadaan Mohd Irham yang melecur 50 peratus badannya. Menurutnya, pihaknya juga akan mengarahkan segera setiap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) melakukan sumbangan derma di sekolah secepat mungkin bagi membantu keluarga Mohd Irham. Katanya, selain itu, JPN juga menggantikan buku teks Mohd Irham serta adik beradiknya yang turut hangus dalam kebakaran itu supaya dapat kembali belajar seperti biasa.
“Kita mahu mengurangkan kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dengan musibah yang menimpa ini.

 

“Mohd Irham juga layak menerima insurans Takaful atas kecederaan dialaminya dan perkara berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak sekolah,” katanya.
Beliau ditemui ketika melawat dan menyampaikan sumbangan warga kerja JPN kepada Mohd Irham di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr Marlia Mohammad Salleh dan Penyelia Hal Ehwal JPN Murid, Mohamad Musa.

 

Sementara itu, Marlia berkata Mohd Irham dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini (semalam) bagi menerima rawatan daripada pakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Tiga pelajar pitam dirotan – Berita Harian


Tiga pelajar pitam dirotan

2013/01/21 – 05:19:38 AMCetakEmel Kawan
Kuantan: Tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini terpaksa menjalani rawatan dan ditahan semalaman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas pitam kena rotan di kepala.

Mereka dirotan seorang guru lelaki sekolah berkenaan dalam kejadian Rabu lalu.

Nor Arina Syakirah Mazuki, Nor Aima Solehah Abdullah dan Nor Hidayah Asni masing-masing mendakwa dirotan guru berusia lingkungan 40 tahun berkenaan kira-kira jam 3 petang di sekolah mereka.

Akibat kejadian itu, mangsa yang pulang ke rumah mengadu pening kepala sebelum pitam seketika akibat kesan sebatan berkenaan sebelum dibawa keluarga ke HTAA untuk rawatan lanjut dan kemudian ditahan semalaman di wad.

Nor Arina berkata, pada hari berkenaan dia dan rakannya itu dipanggil seorang guru wanita ke pejabat untuk menyelesaikan kes perselisihan faham antara mereka dengan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berlaku sehari sebelumnya (Selasa).

Petang itu ada perhimpunan kokurikukum di dalam dewan. Bagaimanapun kami pergi ke pejabat selepas dipanggil untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Sebaik masalah yang berlaku diselesaikan dan masing-masing sudah meminta maaf, secara tiba-tiba guru lelaki berkenaan muncul dan dengan tanpa usul periksa memukul kepala saya dengan rotan dibawanya sepanjang kira-kira satu meter sebanyak dua kali.
Nor Aima dan Nor Hidayah disebat sekali juga di kepala sebelum kami kemudian menangis kerana menahan kesakitan.

Namun, guru terbabit tidak pula menghukum pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berada bersama di situ, katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selepas dirotan mereka bertiga pulang ke rumah sambil menahan kesakitan sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa.

Saya pening dan muntah manakala Nor Aima pitam serta Nor Hidayah juga mengalami apa yang saya rasa. Kami kemudian dibawa ke HTAA dan ditahan di wad, katanya.

Nor Arina berkata, ketika di wad, guru terbabit datang melawatnya dan dua lagi rakan sebelum menyerahkan wang RM250 kepada kami untuk dikongsi

Dia (guru lelaki) datang dalam waktu tengah hari, sebelum pulang dia beri kami RM250 untuk dikongsi bersama dan cakap itu bukan rasuah tapi untuk bayar bil hospital.
Selebihnya suruh kami buat belanja beli tudung dan makan, katanya.

Pelajar berkenaan berkata, keluarga mereka membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini berhubung tindakan guru terbabit kira-kira jam 6 petang sehari selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pihak sekolah berkenaan pula bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan kejadian terbabit.

Pelajar derita ketumbuhan ovari diarah berhenti sekolah – Metro


Pelajar derita ketumbuhan ovari diarah berhenti sekolah

 5  1 Google +0  1  0

Kuantan: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan, di sini, yang menderita penyakit ketumbuhan ovari, bukan saja berdepan pandangan serong masyarakat terhadap keadaan perutnya yang membesar, malah berdepan kemungkinan terpaksa berhenti sekolah.

Pelajar terbabit, Widdad Shairi, 17, berkata, selain disangka hamil anak luar nikah berikutan perutnya seperti orang mengandung, dia juga diminta pihak pengurusan sekolah supaya berhenti sekolah kerana gagal hadir sejak sesi persekolahan bermula awal Januari lalu.
“Saya lebih risau mengenai pembelajaran kerana tidak pernah ke sekolah sejak sesi persekolahan bermula, lebih-lebih lagi saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

 

“Disebabkan masalah itu juga, ada guru yang menyuruh saya berhenti sekolah dan menyambung semula pada tahun depan,” kata Widdad ketika ditemui di rumahnya di Balok Pine, di sini, semalam.
Mengenai penyakit dihidapinya, Widdad berkata, dia mula mengesan ketumbuhan itu pada November tahun lalu selepas berasa sakit pada bahagian kiri perut sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta pada 10 Januari lalu.
“Pada mulanya doktor memberitahu saya mengalami masalah hati dan limpa selain menyarankan saya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, tetapi terkejut apabila saya disahkan mengalami ketumbuhan ovari.

 

“Saya dijangka akan menjalani pembedahan pada 25 Januari ini dan esok (hari ini), saya sekali lagi akan membuat pemeriksaan doktor di HTAA termasuk melakukan imbasan tomogafi berkomputer (CT Scan) dan Sinar-X,” katanya.
Ibu Widdad, Rohani Osman, 43, berkata, dia terkilan apabila pihak pengurusan sekolah menyuruh anaknya mengisi borang berhenti sekolah dan menyambung semula pembelajaran pada tahun depan.

 

“Saya terkejut dengan saranan guru itu dan menganggap tindakan terbabit tidak patut kerana anak saya boleh kembali ke sekolah selepas dia berjaya menjalani pembedahan dan kesihatannya pulih,” katanya. Terdahulu, Widdad menerima sumbangan wang tunai daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss) serta Kumpulan Baca Yasin Balok Pine, semalam.
Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

KUANTAN – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangi bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum dirempuh kereta di Jalan Tanjung Pasir- Bukit Goh berhampiran Pasar Raya Jaya Gading, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.55 malam itu, mangsa, Muhamad Firdaus Razali, 16 dari Kampung Datuk Abdul Aziz, Bukit Goh mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang cedera ringan manakala pemandu kereta, seorang wanita  berusia 26 tahun yang juga penyelia sebuah asrama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Tanjung Pasir menghala ke Bukit Goh.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggangi seorang lelaki.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta yang berada di laluan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Mangsa kelima kemalangan meninggal dunia – Utusan


Mangsa kelima kemalangan meninggal dunia

KUANTAN 30 Julai – Mangsa kelima kemalangan yang mengorbankan empat sahabat semalam disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang hari ini.

Wan Samsiah Wan Abdul Ghani, 16, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. – UTUSAN

Meronta dalam api – Metro


Meronta dalam api
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

PEKAN: “Selepas menendang pintu bilik, saya bagaikan tidak percaya melihat ibu dan ayah meraung kesakitan selepas tubuh mereka terbakar,” kata Mohd Amri Abu Bakar, 16, yang nekad meredah api untuk menyelamatkan kedua-dua orang tuanya dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Cenderawasih, Batu 9, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Abdul Karim Mohamad, 39, dan isterinya, Saidah Talib, 35, yang melecur 80 peratus badan, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Amri yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, ketika kejadian dia tidur bersama dua adiknya di ruang tamu sebelum terjaga apabila terdengar jeritan ibu dan bapa dari bilik mereka.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan itu, dia menendang pintu bilik hingga terbuka sebelum tergamam melihat ibu bapa meronta-ronta kesakitan akibat tubuh mereka dibakar api.
“Tanpa berlengah, saya berlari ke dapur berulang kali bagi mengambil air menggunakan baldi sebelum mencurahkan ke arah ibu dan bapa bagi menyelamatkan mereka.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17

Murid tahun 6 maut, motosikal ditunggang langgar pokok – Bernama


Murid tahun 6 maut, motosikal ditunggang langgar pokok

9 Julai 2012
KUANTAN – Seorang murid Tahun Enam yang menunggang motosikal maut selepas kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit dalam kejadian di Felda Bukit Goh, di sini semalam.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, Muhammad Alif Idham Mohd Adahar, 12 dari Kampung Pak Ngah Aziz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian itu bagaimanapun hanya menyebabkan rakannya yang membonceng, Muhammad Shahfiq Tuhashim, 12, cedera ringan.

“Kejadian berlaku ketika dua rakan tersebut dalam perjalanan ke sebuah ladang. Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika keluar dari simpang empat di jalan berkenaan, menyebabkannya terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama