2,084 kanak-kanak terima baucar simpanan – Metro


2,084 kanak-kanak terima baucar simpanan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Seramai 2,084 kanak-kanak di 20 hospital kerajaan di seluruh negara menerima sumbangan sijil simpanan dan hamper daripada Bank Rakyat sempena sambutan Aidilfitri.

Semalam, bank itu menghulurkan sumbangan berbentuk baucar simpanan sebanyak RM100 dan hamper kepada 450 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).
Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abdul Razak berkata, program penganjuran tahun kelima itu bertujuan menceriakan pesakit kanak-kanak di hospital menjelang Aidilfitri.

 

“Program ini juga bertujuan meningkatkan imej korporat bank berkenaan sebagai badan korporat yang prihatin dan penyayang.
“Selain itu, program berkenaan juga merapatkan hubungan Bank Rakyat dengan kakitangan hospital yang sebahagian daripada pelanggan kami,” katanya.
Turut hadir adalah Pakar Perunding Kanan PediatriK HKL, Dr Norzila Mohamed Zainuddin.

 

Mustafha berkata, program kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya dengan menyampaikan baucar simpanan kepada kanak-kanak berkenaan supaya mereka boleh membuka akaun simpanan.
“Bank Rakyat berharap kanak-kanak ini belajar menabung dengan menyimpan duit raya yang diterima dalam akaun mereka, katanya.

 

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat berkenaan yang bermula di Hospital Umum Sarawak Jumaat lalu membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM257,900.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/02

Enggan pulang takut dibelasah bapa, abang – Metro


Enggan pulang takut dibelasah bapa, abang

 28  4 Google +0  0  1

Oleh Alias Abd Rani

Kuching: Rahsia seorang murid perempuan bersembunyi di belakang bilik darjah sebaik tamat sesi persekolahan membongkar perbuatan kejam bapa serta abangnya yang didakwa sering membelasahnya termasuk menggunakan kayu selain menendang perut kanak-kanak malang itu sehingga cedera sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan murid tahun lima sebuah sekolah di Kota Padawan itu takut pulang ke rumah berikutan sering dipukul oleh bapanya berusia 56 tahun serta abangnya 19 tahun sehingga meninggalkan kesan parut pada badan dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa adalah anak keempat daripada lima beradik membuat laporan polis Jumaat lalu, selepas didesak guru yang menemuinya bersembunyi di belakang bilik darjah.

 

Menurutnya, seorang guru bertanyakan mengenai masalahnya sebelum dia menceritakan kejadian sebenar yang menimpanya sejak sekian lama.
“Mangsa memberitahu guru itu dia sering dipukul bapa dan abangnya tanpa sebab menggunakan kayu serta tali pinggang. Dia juga tidak diberi makan kerana makanan disediakan dimakan kedua-dua mereka.
“Lebih menyedihkan mangsa terpaksa ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat ditendang abangnya. Kejadian semalam (kelmarin), mendedahkan kekejaman mereka apabila mangsa dipukul abangnya menggunakan kayu sehingga cedera di tangan kiri,” katanya.

 

Roslan berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa terbabit dengan salah guna dadah termasuk menghidu gam.
Menurutnya, polis menemui kesan luka lama pada badan mangsa.

 

“Sebelum ini, ibu mangsa sudah dua kali datang ke sekolah mengadu mangsa yang sering menjadi mangsa belasahan,” katanya. “Susulan itu, polis menahan dua beranak itu untuk siasatan lanjut manakala mangsa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.
“Polis masih menjalankan siasatan terhadap kedua suspek sama ada turut melakukan jenayah lain terhadap mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

PERMOHONAN PENGISIAN JAWATAN KOSONG DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL


PERMOHONAN PENGISIAN JAWATAN KOSONG DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL

04 February 2013

Permohonan adalah dipelawa daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41, DG44(KUP) dan DG48 (KUP) dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) N17 di Sekolah Dalam Hospital seperti lokasi berikut :-

  • Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor
  • Hospital Umum Sarawak, Sarawak
  • Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah

 

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.

 

Cara Memohon

  • Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang permohonan berikut :-
  • Bagi PPPS dan PPM di Sekolah Rendah Harian Biasa dan Sekolah Menengah Harian Biasa, borang permohonan MESTI dikemukakan melalui Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
  • Semua permohonan hendaklah disertakan salinan sijil/dokumen sokongan yang telah disahkan serta sekeping gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan dihantar melalui Pengetua/Guru Besar kepada:

PENGARAH
JABATAN PELAJARAN NEGERI

  • Sila tuliskan OPSYEN MATA PELAJARAN di sebelah atas kiri sampul surat permohonan (bagi permohonan jawatan PPPS sahaja).
  • Tarikh tutup permohonan ialah pada 25 Februari 2013 .

 

CATATAN: Hanya calon-calon yang layak selepas disenaraipendek sahaja akan dipanggil untuk ditemuduga. Calon-calon yang tidak menerima jawapan selepas satu (1) bulan dari tarikh iklan ditutup hendaklah menganggap permohonan mereka tidak berjaya.

Budak main mancis melecur kedua-dua kaki – Metro


Budak main mancis melecur kedua-dua kaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Gara-gara bermain mancis, seorang kanak-kanak sembilan tahun melecur kedua-dua kaki selepas tidak sengaja menyalakan api yang menyambar tong minyak petrol di sebuah kedai runcit di Kampung Rambungan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 3 petang ketika kanak-kanak itu mengikut bapanya membeli barang di kedai runcit yang tidak jauh dari rumahnya.
Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, sebaik tiba di kedai itu anaknya mengambil sekotak mancis, tetapi tidak menyangka akan menghidupkannya sehingga dia terdengar jeritan apabila kaki mangsa disambar api.

 

“Terdapat satu tong berisi petrol diletakkan berdekatan tempat anak saya bermain mancis menyebabkan api menyambar dan terkena kedua-dua kakinya,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
Katanya, dia bergegas membawa anak lelakinya ke sebuah klinik di Matang sebelum diarahkan merujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.
“Saya bersyukur kerana dia tidak cedera serius walaupun kedua-dua kaki melecur. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi.

 

 

“Setakat ini, saya lega apabila doktor memberitahu keadaan sudah stabil. Mudah-mudahan dia pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10

3 budak tujuh tahun belasah rakan – Metro


3 budak tujuh tahun belasah rakan
SANTUBONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di seluruh badan apabila dibelasah tiga kanak-kanak sebaya selepas gagal menyerahkan wang seperti diarahkan dalam kejadian di Kampung Rampangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk dahi, pipi serta mulut dipercayai dibelasah bertalu-talu tiga kanak-kanak itu.
Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa didatangi ketiga-tiga kanak-kanak terbabit sambil mengugut mangsa menyerahkan wang.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan mereka membelasah mangsa tanpa belas ihsan.
“Dalam keadaan kesakitan, mangsa merayu supaya memberhentikan perbuatan itu namun ketiga-tiga kanak-kanak terbabit tidak mempedulikan rayuan sebalik membelasahnya sehingga berdarah.
“Sebaik melihat mangsa tidak bermaya, ketiga-tiga mereka melarikan diri. Mangsa pulang ke rumah dan memberitahu ibunya mengenai kejadian,” katanya.

Terkejut dengan keadaan mangsa, ibunya berusia 50 tahun membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Santubong pada hari kejadian.
Katanya, kanak-kanak terbabit turut dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan tidak serius.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05

Seksa dihempap dinding konkrit – Metro


Seksa dihempap dinding konkrit
Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

SANTUBONG: Tiga beranak cedera termasuk seorang dihempap dinding konkrit seberat 40 kilogram apabila lantai dapur rumah mereka tiba-tiba runtuh di Kampung Rampangi Fasa II, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Sharifah Masnah Wan Husai, 54, bersama dua anak perempuannya, Suria, 16, dan Siti Khatijah Sulong, 18, terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Sharifah Masnah berkata, mereka terpelanting sebelum Suria dihempap dinding konkrit menyebabkan tangan dan kaki kirinya cedera.

Menurutnya, bahagian menempatkan dapur serta bilik air itu roboh dipercayai berpunca struktur kayu reput mengakibatkan mereka tiga beranak hampir kehilangan nyawa.
Sharifah Masnah berkata, sebelum kejadian, anaknya Suria menggunakan tandas terlebih dulu sebelum dia dan Siti Khatijah menyusul.
“Baru saja menjejak kaki ke dapur, secara tiba-tiba ia bergoyang lalu roboh. Kami bertiga terpelanting dengan Suria terkena batu menyebabkan tangan dan kaki kirinya terseliuh.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya gagahkan diri bangun menghulurkan bantuan kepada dua anak saya yang tidak bermaya,” katanya.
Katanya, pada masa sama dia dibantu anak lelaki, Mohd Zul, 23, mengangkat konkrit menghempap Suria yang meraung kesakitan.

“Saya juga cedera terkena serpihan konkrit ketika mahu membantu dua anak tapi mujurlah tidak serius. Kami bersyukur kerana semua terselamat dalam kejadian itu,” katanya yang menetap di rumah berkenaan sejak 2008 selepas berpindah dari Kampung Bintawa.
Katanya lagi, sebelum ini, bahagian dapur rumah mereka diperbuat daripada kayu namun disebabkan keadaan semakin tidak selamat, mereka membina bahagian itu dengan simen.
“Sebelum ini, bahagian dapur kelihatan kukuh selepas diganti simen. Mungkin disebabkan keadaan kayu sedia ada yang reput dan gagal mengimbanginya menyebabkan ia runtuh,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zul berkata, dia bersyukur kerana kebetulan berada di rumah ketika kejadian menikmati makan malam.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dari dapur dan bergegas berlari melihat apa yang berlaku sebelum mendapati kedua-dua adik saya menangis dengan tangan dan kaki berdarah.
“Saya segera membantu menyelamatkan mereka dan meminta ahli keluarga menghubungi hospital,” katanya yang bekerja sendiri.
Difahamkan, dua ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama beberapa anggota tiba di rumah keluarga memberi bantuan.
Dua beradik yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Samariang serta ibunya kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pengsan makan jambu – Metro


Pengsan makan jambu

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: Seorang pelajar hanya mampu meraung apabila melihat wajah adiknya berusia enam tahun bertukar kebiruan selepas tercekik jambu batu dipotong sebesar syiling 50 sen di Kampung Sitang, Jalan Puncak Borneo, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Ferentino Mijas, 6, bagaimanapun bernasib baik apabila jambu berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik keluarga dimaklumkan mengenai kejadian, kira-kira jam 11 pagi.

Ibu mangsa, Lily Badek, 41, berkata, ketika kejadian Ferentino bersama abangnya berusia 15 tahun berada di rumah, manakala dia ke sebuah klinik kesihatan untuk melawat menantu yang melahirkan anak sulung, sebelum dikejutkan dengan panggilan kecemasan mengenai insiden itu.

Menurutnya, dia segera pulang ke rumah sebelum meminta ahli keluarganya membawa Ferentino ke sebuah klinik berhampiran rumah dengan segera.

 
“Apabila melihat keadaan anak yang agak kritikal dan wajah bertukar kebiruan, kakitangan klinik berkenaan kemudian segera menghubungi ambulans sebelum dihantar HUS.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku dan hanya dimaklumkan seorang anak yang melihat Ferentino tiba-tiba pengsan ketika menonton televisyen sebelum wajah bertukar kebiruan.

“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawanya walaupun cemas seketika apabila memikirkan nasib bakal menimpa anak keenam daripada lapan beradik ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, tindakan pantas pasukan perubatan berjaya mengeluarkan jambu berkenaan dan anaknya kini ditempatkan di wad kanak-kanak.

Lily mengakui sukar membayangkan keadaan jika keluarga lewat menghantar anaknya itu ke hospital yang kemudian bertindak pantas mengeluarkan jambu batu yang tercekik, tanpa perlu menjalani pembedahan.

“Keadaan anak saya semakin pulih walaupun kebingungan dan sudah boleh menjamah makanan seperti biasa dan mungkin akan dibenarkan keluar dari wad dalam tempoh terdekat,” katanya.

‘Dia bukan adik saya’ – Metro


‘Dia bukan adik saya’

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUCHING: “Dia bukan adik saya,” kata Sudiro Roni, 20, selepas membuat pengecaman kepala manusia ditemui penduduk dan anggota operasi mencari adiknya, Mohd Idris, 13, dikhuatiri lemas di Sungai Midin, di sini.

Sudiro ditemani beberapa ahli keluarga hadir di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), sebaik dimaklumkan penemuan kepala manusia itu di Ulu Sungai Samariang, kira-kira jam 5 petang, semalam, satu kilometer dari lokasi mangsa dikatakan hilang.
Pemuda itu berkata, dia yakin kepala manusia itu bukan milik adik bongsunya yang hilang sejak dua hari lalu itu berdasarkan giginya.

 

“Adik saya tidak mempunyai dua gigi depan yang panjang seperti yang ada pada kepala manusia itu. Naluri saya kuat mengatakan kepala itu bukan milik adik saya,” katanya.
Terdahulu, Sudiro dan beberapa ahli keluarganya dilihat tidak dapat menahan kesedihan ketika kenderaan polis yang membawa kepala manusia itu tiba di perkarangan bilik mayat hospital berkenaan.
Kepala manusia itu ditemui terapung oleh penduduk dan pasukan mencari Mohd Idris di Ulu Sungai Samariang selepas pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi itu hilang ketika mencari ketam, petang Rabu lalu.

 

 

Kehilangannya disedari seorang rakan, Mohd Uzaed Safari, 9, sebelum itu bersama mangsa melihat bubu dipasang di sungai berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sambil dibantu penduduk kampung.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Ahmad Abang Julai berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada hospital untuk melakukan bedah siasat bagi mendapatkan kepastian.
Beliau berkata, jika pihak keluarga mangsa masih belum mendapat kesahihan, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai jalan terakhir bagi menentukan siapa pemilik kepala itu.
“Setakat ini, keluarga mangsa dipanggil untuk mengecam kepala ditemui itu, namun mereka menafikan ia milik mangsa. Jadi, kita akan meminta hospital melakukan bedah siasat secepat mungkin,” katanya.

Remaja terbunuh motosikal bertembung dengan guru – Utusan


Remaja terbunuh motosikal bertembung dengan guru

SAMARAHAN 7 Feb. – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang seorang guru di Kampung Jemukan Ulu dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Hamizi Ba’iee, 19, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala guru berkenaan, Khanafi Khamis cedera ringan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd. Hamizi dalam perjalanan ke sekolahnya yang terletak di kawasan berdekatan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad, setibanya di lokasi, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Khanafi.

“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong, Simunjan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari – Utusan


Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari

KUCHING 21 Jan. – Mayat seorang pelajar perempuan tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kho Ying Qi, 19, yang lemas dalam kejadian pada 5 Januari lalu ditemui terdampar di tebing Sungai Gobielt, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian di sini hari ini.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang penduduk tempatan yang kebetulan lalu di kawasan tebing berkenaan untuk mengutip hasil laut pada pukul 9.30 pagi ini.

Sepasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai penemuan tersebut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa Ying Qi yang turut berada di HUS telah mengenal pasti identiti mayat tersebut ialah anaknya yang lemas dalam kejadian di Jalan Rock pada 17 hari lalu berdasarkan kunci ditemui pada badan mangsa.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, Ying Qi terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Rock dan dia cuba diselamatkan oleh Herman Sihas, 27, bagaimanapun kedua-dua mereka hilang dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.

Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, mayat Herman ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian iaitu dekat Sungai Maong Ulu, manakala mayat Ying Qi masih hilang sebelum ditemui pada pagi ini.