Remaja dituduh bunuh 4 sekeluarga – Utusan


Remaja dituduh bunuh 4 sekeluarga

 

Oleh ZAAIN ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

 

SIBU 19 Jan. – Seorang remaja lelaki berusia 17 (gambar) tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh empat sekeluarga dengan menggunakan tukul besi pada awal tahun ini.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, remaja tersebut didakwa membunuh ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10; dan anak perempuannya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan menggunakan alat tersebut.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 13B1, RTM Road antara pukul 6.30 dan 7 pagi, 3 Januari lalu.

Keempat-empat pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Remaja itu turut didakwa cuba membunuh seorang lagi anak Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, 8, menggunakan senjata sama sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norlisla Abdul Latif.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Indra Ayub menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 Februari ini.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang berusia 44 tahun dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin dan diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat sebulan sekali.

Dalam kejadian dua minggu lalu, empat sekeluarga berkenaan ditemui mati di kediaman mereka dipercayai dibunuh dengan kejam.

Bagaimanapun isteri baru mangsa, Li Xiao Lan, 28, berjaya melarikan diri melalui tingkap manakala anak tirinya, Kelvin yang cedera parah masih dirawat di Hospital Umum Sarawak.