Guru tampil beri keterangan – Sinar Harian


Guru tampil beri keterangan

AHMAD ISMADI ISMAIL
16 September 2012
Abd Rahim Hamzah
Guru lelaki yang dipercayai mencurahkan bahan cecair pelarut.

KUALA LUMPUR – Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak tampil beri keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes lima pelajarnya melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka barbeku, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Abd Rahim Hamzah berkata, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

“Guru lelaki terbabit tampil beri keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian pada jam 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan sedang sibuk menyediakan makanan sebelum alat barbeku yang digunakan meletup menyebabkan mereka melecur.

Kejadian itu melibatkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima. Empat daripadanya parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.

Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata, dia bersama rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangi seorang guru yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan bahan cecair pelarut bagi mempercepatkan api dinyalakan.

“Setelah guru berkenaan mencurahkan bahan cecair pelarut itu, secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar kami yang berada di sekeliling alat barbeku,” katanya.

Pelajar yang melecur dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh guru di sekolah berkenaan.

Mohd Hidayat melecur teruk di kaki serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mulia, Mohd Hanim Tahir berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak sekolah yang tidak melakukan pemantauan rapi semasa aktiviti terbabit dilakukan.

“Saya mohon pihak sekolah perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang menimpa anak murid mereka, difahamkan salah seorang daripada mangsa perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Tiga beradik kronik masih dirawat – Sinar Harian


Tiga beradik kronik masih dirawat

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.

SELAYANG – Keadaan tiga beradik Nurul Huda Zanery, 12, Muhammad Amir Zanery, 11 dan Nur Fatihah Zanery, 8 yang masing-masing dikesan menghidap penyakit kronik masih menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan dari Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Khabar gembira kepada adik Muhammad Amir yang mempunyai potensi untuk pulih dan tidak perlu bergantung kepada penggunaan tiub seumur hidup melalui beberapa pembedahan kecil secara berperingkat.

Menurut ibunya, Adiana Othman, 34, pada 14 September ini, anaknya itu akan menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) sebelum membuat pembedahan kecil di tulang belakangnya dijangka Oktober ini dan kos itu dirahsiakan pihak hospital serta dibiayai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Pembedahan kecil itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggantungan Muhammad Amir dengan penggunaan tiub semasa membuang air kecil tetapi dijangka dapat mengatasi masalah kebas kaki yang kebelakangan ini semakin membimbangkan.

“Muhammad Amir kerap rebah kerana terlalu penat menjalani rutin hariannya ke sekolah ditambah pula dengan faktor cuaca dan terlalu aktif bermain,” katanya semasa mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya di kampung Selayang Indah di sini, semalam.

Sementara itu, keadaan kakak Amir, Nurul Huda pula berada dalam keadaan stabil dan doktor membekalkan ubat untuk memastikan pita suara anaknya yang menghidap tiroid sentiasa berada dalam keadaan stabil.

“Pembedahan tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat memandangkan Nurul Huda perlu menumpukan perhatian kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang  menjelang beberapa hari lagi.

“Ubat yang diberikan juga bukan jenis ubat mengantuk memudahkan dia untuk menumpukan kepada pembelajaran dan pembedahan dijangka akan dilakukan selepas tamat peperiksaan,” katanya.

Manakala anak bongsunya, Nur Fatihah pula yang menghidap kanser tulang katanya, doktor menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan ke atasnya memandangkan usianya yang masih kecil menyukarkan mengesan ketumbuhan.

“Nur Fatihah hanya akan menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan di Hospital Selayang dan ketumbuhannya sukar dikesan dan dipercayai akan membesar mengikut peningkatan usianya dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun.

“Kadangkala Nur Fatihah ada mengadu mengalami sakit tangan kanannya dan tidak kuat untuk mengangkat barang dipercayai mempunyai kaitan dengan ketumbuhan yang menghimpit uratnya hingga tangannya gagal berfungsi dengan baik,” katanya.

Polis Sahkan Kematian Seorang Pelajar MTD – Bernama


Polis Sahkan Kematian Seorang Pelajar MTD
KUALA LUMPUR: Polismengklasifikasikan kematian seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di maktab itu pada Isnin sebagai mati mengejut.

Ketika mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang pelajar lelaki MTD itu, Ketua Polis Daerah Cheras Mohan Singh Tara Singh berkata siasatan awal ke atas mayat pelajar berusia 16 tahun itu tidak menemui sebarang tanda jenayah atau kecederaan fizikal.

“Siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata bedah siasat oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) juga menunjukkan tiada tanda-tanda perlakuan jenayah berlaku yang membawa kepada kematian pelajar tingkatan empat itu.

“Siasatan lanjut masih dibuat dan polis berharap kematian itu tidak dispekulasikan,” katanya. -BERNAMA

Pengorbanan terakhir adik – Berita Harian


Pengorbanan terakhir adik
Oleh Rosli Ilham

2012/04/24

DUNGUN: “Adik sanggup dermakan apa saja asalkan abang selamat,” luah Muhammad Muaz Yusof, 13, kepada ibunya, Asma Ismail, 52, dua hari lalu, sejurus sebelum memasuki bilik rawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, Sabtu lalu, untuk menderma darah dan sum-sum tulang belakang kepada abangnya yang menderita leukemia.

Bagaimanapun, itulah pengorbanan dan derma terakhir kepada abangnya, Muhammad Munawar, 21, apabila Muhammad Muaz, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sultan Omar di sini, meninggal dunia 6.50 pagi semalam, dua hari selepas menderma darah A- serta sum-sum tulang.
Asma, seorang ibu tunggal enam anak yang ditemui di rumahnya di Kampung Molek di sini, semalam berkata, Muhammad Munawar menghidap leukemia sejak empat bulan lalu dan sering mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diarah pegawai perubatan menemui pakar di HUKM.
“Munawar memerlukan darah jenis A- serta sum-sum tulang belakang dan secara kebetulan arwah mempunyai darah jenis sama dengan abangnya sebelum kami sekeluarga ke HUKM untuk menjalani proses pemindahan darah dan sum-sum,” katanya.

Katanya, sebelum memasuki bilik rawatan, dia ada bertanya perasaan arwah menjalani proses itu, namun arwah menjelaskan tidak berasa takut, malah sanggup dermakan apa saja demi menyelamatkan nyawa abangnya.

“Selepas darahnya dipindahkan kepada abangnya, saya dan arwah bertolak balik ke Dungun, arwah kelihatan ceria serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, malam kelmarin, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik tidak banyak bercakap dan terus lena di sisinya sebaik masuk ke bilik tidur.
“Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika mengejutkan arwah untuk solat subuh, saya dapati mulutnya pucat dan apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali dikejutkan, kami membawanya ke Hospital Dungun,” katanya sambil menambah tidak lama kemudian doktor mengesahkan anaknya meninggal sudah dunia kira-kira jam 6.50 pagi semalam.

Asma berkata, kesedihannya kehilangan suami yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Karak pada 15 April 2011 masih terasa dan semalam (hari ini) dia sekali lagi menanggung kesedihan kehilangan anak bongsunya.

Jenazah Muhammad Muaz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek tidak jauh dari rumahnya selepas solat asar semalam.

Mangsa rindu abang – Metro


Mangsa rindu abang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUCHONG: “Arwah rindukan abangnya dan sampai mati pun dia tidak sempat berjumpa,” kata pengawal keselamatan, Amir Elias, 45, bapa kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemui lemas dalam lombong berhampiran Flat PPR Kampung Muhibah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, di sini, Aekhmal Rizar, tergelincir ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama rakannya sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira dua jam kemudian oleh Unit Skuba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Wilayah Persekutuan.
Menurut Amir, dia dimaklumkan mengenai berita buruk itu oleh isterinya, Suhaila Ghazali, 35, pada jam 5 petang ketika sedang bertugas sebelum ke lombong berkenaan dengan menaiki bas.

 

“Kali terakhir saya menemui arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik ketika menghantarnya ke sekolah pagi tadi (semalam). Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pelik dan berkelakuan seperti biasa.
“Cuma semalam (kelmarin) dia meminta izin daripada saya untuk ke Bandar Kinrara bagi mencari abangnya berusia 15 tahun yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah kerana merajuk. Arwah cakap rindukan abangnya dan mahu cari sampai jumpa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.32 petang dan satu jentera bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.

 

 

“Kami dibantu lapan penyelam dari Unit Skuba bagi mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui di dasar lombong sedalam kira-kira sembilan meter berhampiran tempat dia dikatakan tergelincir kira-kira jam 6.10 petang,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.