Seorang maut, 3 cedera parah – Sinar Harian


Seorang maut, 3 cedera parah

ZUMURNI HAMZAH
15 Julai 2013
Seorang maut, 3 cedera parah
MPV yang dinaiki empat sekeluarga rosak teruk selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang- Pasir Puteh, kelmarin.

MACHANG – Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini  pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14,  meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.

Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah  yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.

Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah  Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.

“Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

“Lori  yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV  itu.  Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pelajar sekolah mati selepas dijangkiti kencing tikus – Bernama


Pelajar sekolah mati selepas dijangkiti kencing tikus

 

KOTA BAHARU 19 Jun – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka di sini meninggal dunia semalam akibat terkena jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis) selepas mengikuti perkhemahan pada bulan lepas di Bukit Bakar, Machang.

Sheikh Mohd Alif Sheikh Mohd Fauzi, 17, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, pada 30 Mei lalu berikutan demam yang dihidapinya selepas perkhemahan tersebut.

Ibu saudara mangsa, Nur Ilyana Che Mat, 33, berkata Sheikh Mohd Alif mengikuti perkhemahan yang dianjurkan sekolahnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Anak saudara pergi ikut perkhemahan tersebut beberapa hari sebelum cuti pertengahan tahun baru-baru ini dan kemudiannya pulang ke rumahnya di Paka, Terengganu.

“Mohd Alif kemudiannya kembali ke sekolah selepas tamat cuti sekolah tersebut, namun tidak mengikuti sesi riadah dan ulangkaji sehinggalah seorang guru yang membuat pemeriksaan di asrama menemui beliau berada dalam keadaan lemah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nur Ilyana berkata guru tersebut kemudiannya membawa Mohd Alif ke HUSM Kubang Kerian untuk menerima rawatan dan pihak hospital mengesyaki beliau terkena demam denggi, namun pemeriksaan susulan mendapati terkena jangkitan virus kencing tikus.

“Mohd Alif meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi semalam dan dikebumikan di kampung ibunya di Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu pada hari sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HUSM Kubang Kerian Datuk Dr Zaidon Kamari dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini mengesahkan mengenai kematian pelajar tersebut akibat virus jangkitan kencing tikus.

Beliau juga mengesahkan bahawa pesakit itu, sebelum ini, dimasukkan ke HUSM Kubang Kerian. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130619/je_13/Pelajar-sekolah-mati-selepas-dijangkiti-kencing-tikus#ixzz2Wf7qdL00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Putus jari manis akibat dituduh rogol – Sinar Harian


Putus jari manis akibat dituduh rogol

MOHD TAHA YAACOB
29 Mei 2013
Putus jari manis akibat dituduh rogol
NOORZAINY

KAMPUNG RAJA – Seorang lelaki putus jari manis tangan kiri selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika mangsa mahu menyerangnya selepas mendakwa dia merogol kekasihnya.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, Ahad lalu, mangsa berusia 26 tahun dari Jalan Bukit Keluang di sini, dilibas suspek ketika mangsa pergi ke rumah suspek di Kampung Pengkalan Nyireh dengan membawa sebilah parang.

Dikatakan, mangsa yang bekerja sebagai nelayan berang terhadap suspek berusia 21 tahun kerana mendakwa telah merogol kekasihnya berusia 17 tahun pada 8 Mei lalu di rumah gadis itu di Jertih.

Menurut sumber, mangsa cuba menyerang suspek menyebabkan berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun suspek berjaya mengambil sebilah parang di pintu rumahnya lalu melibas ke arah mangsa menyebabkan jari manis mangsa putus.

Menyedari kecederaan dialaminya, mangsa segera melarikan diri,” katanya.

Difahamkan juga, jari mangsa yang terputus berjaya ditemui polis di tempat kejadian sejurus kemudian dan dihantar ke Hospital Besut.

Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Mangsa bertindak demikian kerana dikatakan marah terhadap suspek yang didakwa merogol teman wanita di dalam bilik tidur rumah kekasihnya di Jertih.

Suspek dikatakan sebelum itu berbual dengan pelajar perempuan itu di luar rumah sebelum masuk ke dalam bilik tidurnya bersama suspek untuk berbual panjang.

Menurut sumber, suspek telah merogol pelajar itu walaupun dia cuba melawan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, polis telah menahan reman suspek untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan tangkapan tersebut.

Remaja derita tulang belakang bengkok – Sinar Harian


Remaja derita tulang belakang bengkok

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Remaja derita tulang belakang bengkok
Keadaan tulang belakang Aminatul Najwa Azzahra yang bengkok.

SIK – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Begitulah penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang remaja akibat penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak dua tahun lalu.

Aminatul Najwa Azzahra Fisaul, 16, berkata, penyakit yang mula dikesan sejak di tingkatan dua itu menyebabkannya sering sesak nafas dan tidak boleh mengangkat beban atau melakukan kerja berat.

Menurutnya, hasil laporan ujian imbasan sinar X (X-ray) menunjukkan tulang belakangnya semakin menekan paru-paru, selain fizikal bahu tidak sama dengan lebih bengkok di sebelah kanan.

“Hanya ALLAH SWT dan keluarga terdekat yang tahu bagaimana saya mengharungi kehidupan seharian. Sepanjang malam tidur dengan mengiring kerana belakang tidak rata, ketika bersolat juga sukar.

“Saya juga tidak boleh menggalas beg dengan kedua-dua belah bahu seperti rakan-rakan lain sebaliknya guna sebelah bahu dan pegang buku tambahan di tangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Ibunya, Haminah Che Ali, 45, berkata, anaknya perlu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan 5 Jun depan tetapi buntu kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi membiayai rawatan itu.

Dia dan suami, Fisaul Abdul Rahman, 45, hanya bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan tidak menentu untuk menanggung enam anak yang masih bersekolah termasuk Aminatul.

“Jika diikutkan doktor pakar, anak ketiga saya itu perlu dibedah tiga bulan lalu namun disebabkan tidak cukup wang, kami minta tangguh sementara ikhtiar cara lain termasuk rawatan tradisional.

“Namun sewaktu berjumpa dua minggu lalu, doktor mengesahkan tulang belakang anak semakin bengkok dan perlu dibedah segera untuk menggelakkan sebarang risiko seperti lumpuh,” katanya.

Menurutnya, pembedahan yang dijadualkan bulan depan membabitkan kos kira-kira RM15,000 untuk memasukkan besi serta 12 skru membetulkan semula struktur tulang belakang anaknya.

“Hati ibu mana yang tidak risau bila mengenangkan anak perlu melalui pembedahan hampir 14 jam, tambah lagi melibatkan tulang belakang. Namun demi memastikannya dapat hidup seperti orang lain, saya reda dan berusaha kumpul duit.

“Jika ada pihak sudi memberi sumbangan ikhlas, saya amat hargai dan berbesar hati kerana dapat meringankan sedikit beban kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui BSN bernombor 03112-29-84529543-7 atau menghubungi talian 013-4768305.

Tiga Lagi Sekolah Dalam Hospital Dibuka April Dan Julai Ini – Norainee – Bernama


Tiga Lagi Sekolah Dalam Hospital Dibuka April Dan Julai Ini – Norainee

KUALA LUMPUR: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan dilaksanakan di tiga buah hospital lagi pada April dan Julai tahun ini agar pesakit tidak terpinggir daripada mendapat akses kepada pendidikan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman berkata tiga hospital itu ialah Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Hospital Umum Sarawak di Kuching dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Sabah.

SDH kini dilaksanakan di tujuh hospital iaitu Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah, di Johor Baharu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

“SDH di Muar sedang dalam proses renovasi dan dijangka mula beroperasi April ini manakala di Sabah dan Sarawak pula akan mula dibuka pada Julai tahun ini,” kata Norainee, yang juga penaung Projek Hati Nurani, kepada pemberita selepas melawat SDH PPUKM di sini Rabu.

Beliau berkata dalam tempoh Julai 2011 hingga Februari 2012 pelaksanaanya, ketujuh-tujuh SDH itu mencatat sejumlah 16,839 kehadiran pesakit merangkumi kanak-kanak pra sekolah sehingga menengah.

Norainee berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada hospital kerajaan supaya sekolah berkenaan ditubuhkan namun kekangan ruang membuatkan cadangan pembinaan SDH tidak dapat diteruskan. – BERNAMA

Tiada lagi senyuman – Metro


Tiada lagi senyuman

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: “Sejak empat bulan lalu anak saya tidak mampu bergerak atau berbuat apa-apa termasuk tersenyum,” kata Norhakimah Ghazali, 45, ibu kepada Hakim Aizuddin Ismariza, 7, yang lumpuh seluruh badan akibat dilanggar lori 10 September lalu.

Hakim yang sepatutnya memasuki tahun dua di Sekolah Kebangsaan Islah di sini, Selasa ini, kini terlantar di atas katil dan perlu sentiasa diberi perhatian rapi.
Menurut Norhakimah, dia dan suaminya, Ismariza Dollah, 36 tetap positif anak ketiga daripada lima beradik itu pulih nanti.

 

“Kami kena kuat untuk menyakinkan anak lain Hakim pulih. Setiap kali mereka bertanya, saya beritahu Hakim perlu berehat secukupnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Lalat di sini, baru-baru ini.
Mengimbas kejadian 10 September itu, Norhakimah berkata, dia di dalam rumah menidurkan seorang anaknya manakala Hakim bermain di hadapan rumah.
Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada jiran memberitahu anaknya dilanggar lori ketika melintas jalan dan dibawa ke klinik Kedai Lalat untuk rawatan.

 

 

“Saya bergegas ke klinik dan sempat melihat Hakim diusung ke dalam ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan dirawat di hospital itu selama 18 hari,” katanya. Menurutnya, doktor memaklumkan anaknya kritikal dan memerlukan penjagaan rapi kerana saraf mengawal pergerakan tidak berfungsi akibat pelanggaran kuat.

 

“Alhamdulillah, beberapa hari kemudian Hakim menunjukkan perkembangan positif dengan membuka mata dan dimasukkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun, selepas itu dia sering demam panas diikuti beberapa bahagian badannya termasuk tangan dan kaki membengkok. Doktor memberitahu Hakim kemungkinan lumpuh seumur hidup,” katanya.
Norhakimah yang juga seorang guru berkata, anaknya itu diberi minum susu enam kali sehari menerusi tiub dan dimandikan dua kali sehari serta memakai lampin pakai buang.
“Kami perlu menggunakan mesin menyedut kahak jika dia batuk bagi mengelak dia sesak nafas,” katanya yang membelanjakan RM1,000 sebulan untuk kos penjagaan dan rawatan anaknya itu.
Katanya, Hakim juga perlu dibawa ke hospital untuk rawatan fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Niat murni bapa bertukar tragedi – Sinar Harian


Niat murni bapa bertukar tragedi

SAPINAH AB GHANI
3 Disember 2012
Niat murni bapa bertukar tragedi
Ramli (empat, kanan) sayu melihat jenazah Mohamad Fikri di Klinik Kesihatan Balai, Bachok sebelum dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat, kelmarin.

KOTA BHARU – Niat murni seorang bapa memberi pendedahan fardu ain bertukar tragedi apabila menerima khabar kematian anak lelakinya selepas lemas ketika mandi di Pantai Senak di sini, kelmarin.

Ramli Isnin, 53, berkata, anak bongsu daripada lapan beradik itu dihantar mengikuti program di masjid berhampiran rumah mereka sebagai mengisi masa lapang sempena cuti sekolah.

“Pengajian tersebut selama tiga minggu, dan akan berakhir 6 Disember nanti,” katanya kepada media ketika ditemui di Klinik Kesihatan Balai, Bachok, di sini, kelmarin.

Ramli berkata, kali terakhir dia berjumpa Mohamad Fikri yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Langgar Khamis lalu, sebelum anaknya menyuarakan hasrat untuk pulang ke rumah.

“Saya nasihatkan agar menghabiskan program tersebut tambahan ia hanya berbaki seminggu, dia akur,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui Mohamad Fikri dibawa ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan daripada rakannya memaklumkan kejadian itu kira- kira jam 4 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Mohamad Fikri antara 21 pelajar yang sedang mengikuti Kem Motivasi Solat, Program Penghayatan al- Quran dan Sunah di Masjid Pasir Lada, Pasir Hor bermula 18 November hingga 6 Disember dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Senang, Telipot malam kelmarin.

Manakala, tiga lagi rakannya yang nyaris lemas dalam kejadian itu, Muhammad Noriman Mat Fadzli, 15, dihantar ke HRPZ II, selain Mohd Faiz Abdul Majid, 13, dan Ahmad Mohd Syed, 12, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan lanjut kini dilaporkan stabil.

Murid tahun enam mati lemas ketika sertai kem bestari solat – Utusan


Murid tahun enam mati lemas ketika sertai kem bestari solat

Ramli Isnin (kanan) di sisi jenazah anaknya, Mohd. Fikri yang mati lemas di Pantai Senok, Bachok, kelmarin.

BACHOK 2 Dis. – Seorang murid tahun enam yang menyertai satu kem bestari solat sempena musim cuti persekolahan ini mati lemas ketika dibawa berkelah di Pantai Senok di sini petang semalam.

Mohd. Fikri Ramli, 12, dari Sekolah Kebangsaan Langgar, Kota Bharu mati lemas manakala tiga lagi rakannya berjaya diselamatkan penduduk dalam kejadian pada pukul 3.40 petang itu.

Mereka ialah Muhamad Noriman Mohd. Fadzli, 15, dan Mohd. Faiz Abdul Majid, 13, yang dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut manakala Ahmad Mohd. Syed, 12, dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) Kota Bharu.

Bapa Mohd. Fikri, Ramli Isnin, 53, dari Kampung Puteh, Kota Bharu ketika ditemui berkata, anaknya itu telah dihantar menyertai kem Motivasi Solat, Penghayatan al-Quran dan al- Sunnah yang dianjurkan Masjid Mukim Pasir Lada, Telipot.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121203/dn_12/Murid-tahun-enam-mati-lemas-ketika-sertai-kem-bestari-solat#ixzz2DwaRqXYd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hadiah cemerlang dari pelajar UPSR buat guru besar koma – Bernama


Hadiah cemerlang dari pelajar UPSR buat guru besar koma

19 November 2012

BESUT – Tiada apa yang lebih bermakna buat seorang guru besar yang baru sedar dari koma selepas menjalani ketumbuhan otak sekiranya beliau hadir menyaksikan 61 calon pelajarnya berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja di sini, Rosli Abdul Ghani yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), telah mula membuka matanya pagi ini selepas koma selama 9 hari.

Pencapaian terbaik julung-julung kali dicatatkan sekolah itu telah menempatkannya sebagai antara sekolah terbaik UPSR bagi daerah Besut tahun ini.

Seramai 61 atau 44.85 peratus pelajar sekolah berkenaan memperoleh semua A, manakala 17 orang atau 12.50 peratus mendapat 4A1B dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.61.

Ketika menyampaikan keputusan kepada pelajar sekolah berkenaan, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof berkata keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik bagi sekolah berkenaan setakat ini.

Katanya sekiranya Rosli bersama dalam majlis pengumuman hari ini sudah pasti beliau merupakan orang yang paling berbangga dengan pencapaian murid-muridnya hari ini.

“Sebelum dimasukkan ke HUSM, Cikgu Rosli pernah melahirkan kebimbangannya sekiranya pelajar UPSR sekolahnya tahun ini gagal melakukan yang terbaik hingga menyebabkan beliau runsing sebelum diserang penyakit,” katanya.

Di HULU TERENGGANU, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu terletak di pedalaman Terengganu di sini mencipta sejarah apabila muncul sekolah terbaik buat kali pertama dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seluruh Terengganu apabila 16 daripada 20 muridnya memperoleh 5A.

Guru Besarnya Ahmad Shukri Ghaza berkata ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatat oleh sekolah berkenaan dan menyifatkan kejayaan itu adalah berkat komitmen semua guru, murid dan ibu bapa.

“Sebagai sebuah sekolah kampung, kejayaan ini membuktikan sesiapa sahaja boleh mencatat kecemerlangan tanpa mengira lokasi asalkan semua pihak memberi komitmen terhadap tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Sementara itu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail turut mengumumkan pihaknya akan mengadakan kenduri kesyukuran dengan menumbangkan dua ekor lembu bagi meraikan kejayaan SK Tapu itu tidak lama lagi.

Bagi Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu Shafrudin Ali Hussin pula, kejayaan SK Tapu itu terus meletakkan daerah itu sebagai daerah yang terus mencatatkan peningkatan dan konsisten di Terengganu walaupun dalam keadaan serba kekurangan berbanding daerah lain.

“Di sini tiada pusat tuisyen dan ini menyebabkan guru dan ibu bapa terpaksa memberi komitmen yang lebih untuk setiap program pendidikan di sekolah,” katanya.

Bagi Nurul Izzati Abdul Manang, pelajar SK Tapu yang memperoleh 5A, menganggap kejayaannya itu sebagai menebus kekecewaan ibunya, Jamilah Yusof yang terkilan kerana anak sulungnya gagal menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana kerana meninggal dunia.

“Insyaallah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang doktor muslimah dan merealisasikan impian ibu untuk menyaksikan seorang daripada lapan anaknya berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah,” katanya.

Di DUNGUN, pelajar UPSR yang dikategorikan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Nor Azira Nawan dari SK Durian Mas II (dua) di sini muncul antara pelajar cemerlang apabila memperoleh keputusan 5A.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini yang mengalami kecacatan fizikal di bahagian kaki sebelah kiri, muncul pelajar terbaik kategori calon berkeperluan khas Terengganu dan berjaya membuktikan OKU sepertinya mampu bersaing bersama 117 lagi calon lain di sekolah itu.

Azira pernah menangguhkan pelajaran selama setahun ketika berusia 10 tahun untuk menjalani pembedahan bagi membuang lebihan tulang di bahagian pinggul.

Namun itu bukanlah alasan untuknya berpatah semangat malah kekurangan itu dijadikan pendorong untuknya meraih kejayaan.

Menurutnya, dia hanya mengambil masa satu jam untuk belajar di rumah setiap hari manakala selebihnya dia hanya mengikuti program dan kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah.

“Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini. Ia merupakan hadiah kepada kedua ibu bapa dan guru yang sanggup berkorban selama ini.

“Saya belajar sama dengan pelajar lain tapi saya sentiasa bersaing dengan rakan-rakan saya untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dan saya berjaya melakukannya,” katanya kepada pemberita.

Anak kepada pemandu lori minyak ini bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan berhasrat menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains Dungun.

Sementara itu ibunya, Rahimah Rani, 47, berkata ini merupakan hadiah yang paling bermakna buat mereka sekeluarga.

Katanya kejayaan itu merupakan hasil kerja keras guru selain sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan Azira.

Suri Rumah ini berkata dia mula menyedari anaknya tidak dapat berjalan dengan sempurna ketika masih kecil dan mereka sekeluarga cuba berubat secara tradisional.

Bagaimanapun ketika Azira berusia sembilan tahun mereka membawa anaknya ke Hospital Dungun dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur sebelum menjalani pembedahan pada 2010.  – Bernama

Pelajar maahad tahfiz maut motorsikal bertembung kereta – Bernama


Pelajar maahad tahfiz maut motorsikal bertembung kereta

13 November 2012

KOTA BHARU – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pancor berdekatan jambatan Pok Nik Loh, Kampung Petani Sering, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, Muhammad Hakim Mat Jib, 15, yang juga pelajar sebuah maahad tahfiz, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata mangsa dikatakan menuju ke arah Pancor dari Padang Tembak sebelum memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta dari arah Kampung Petani Sering yang menghala ke Panji,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Pemandu kereta Wan Hassan Wan Ismail, 50 dan seorang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama