Luluh hati ibu – Metro


Luluh hati ibu

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Keseronokan tujuh sekeluarga mandi-manda di sebuah taman tema di Rembau, berakhir tragedi menyayat hati apabila seorang daripada mereka ditemui lemas dipercayai tergelincir di dalam terusan yang mengelilingi kolam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Putra Syakirin Ahmad Syahir, 6, maut dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.
Ibunya, Mushitah Zahari, 26, berkata, dia bersama suami, ibu serta adik-beradik lain pergi ke taman tema itu untuk mandi.

 

“Tiba-tiba, kami menyedari ‘Bobob’ (Mohd Putra) hilang sebelum dikejutkan dengan teriakan budak lemas oleh orang ramai. “Namun, saya tidak menjangkakan yang lemas itu anak sulung sehinggalah saya melihat petugas taman tema itu mengangkat seorang budak yang memakai seluar sama seperti anak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJS, di sini, semalam. Mushitah yang bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berkata, itu kali pertama dia dan suami, Ahmad Syahir Abd Aziz, 26, membawa anak mereka ke situ dan tidak menyangka percutian itu berakhir dengan tragedi.
“Hancur luluh hati sebaik melihat itu adalah anak lelaki saya dan bergegas meminta bantuan daripada pihak pengurusan taman tema itu. “Ketika itu anak saya masih bernyawa berikutan ada air terkeluar daripada mulutnya dan kedengaran nafasnya, saya terus meminta penyelamat yang berada di situ untuk membuat pernafasan mulut ke mulut, tetapi tiada siapa pun tahu melakukannya,” katanya. Menurutnya, dia percaya, anaknya berkemungkinan tergelincir ke dalam terusan kolam itu dan jarak antara tempat kejadian dengannya hanya 50 meter. “Sebaik sedar tiada bantuan dapat diberikan, saya dan suami kemudian membawa anak ke sebuah klinik, tetapi mereka tidak berani untuk merawatnya sebelum suami bergegas memecut kereta menghala ke HTJS,” katanya. Mushitah berkata, bagaimanapun, dalam perjalanan ke HTJS, anaknya sudah tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia kira-kira 3.30 petang.
“Saya kesal dengan pihak pengurusan taman tema itu, sepatutnya mereka menyediakan penyelamat yang tahu asas menyelamatkan orang lemas. “Malah, sekiranya rawatan awal diberikan, berkemungkinan anak saya masih dapat diselamatkan, bagaimanapun saya reda dengan kehilangannya dan menganggap ajalnya sudah tiba,” katanya. Jenazah Mohd Putra dijangka akan dikebumikan di kampung halaman Mushitah di Kedah, hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian kes itu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10

Remaja edar dadah ditahan – Sinar Harian


Remaja edar dadah ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Oktober 2012
Remaja edar dadah ditahan
Baharom (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.

PORT DICKSON – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai pengedar dadah antara 16 suspek yang ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Port Dickson dan Seremban hujung minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Baharom Othman berkata, remaja yang sudah tidak bersekolah sejak setahun lalu itu ditahan bersama lelaki yang berasal dari Johor Bahru di sebuah rumah di kawasan taman perumahan Bandar Dataran Segar, Lukut pada 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Menurutnya, daripada pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui sejumlah wang tunai dan pelbagai jenis dadah iaitu 800 biji pil eramin 5, 10 paket syabu, satu paket ketamin, satu paket ganja, beberapa biji pil estacy serta peralatan menghisap dadah.

“Hasil ujian saringan kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu. Siasatan juga mendapati lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai penjaga kedai mesin judi itu mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan satu kesalahan jenayah.

“Kedua-dua mereka direman sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Baharom berkata, dalam serbuan kedua pula, tiga lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di Port Dickson pada jam 7 malam, hari sama.

Katanya, setelah pemeriksaan, polis menjumpai tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 500 gram.

“Ketiga-tiga suspek yang merupakan pelajar sebuah kolej, jurujual dan penganggur itu berusia antara 20 hingga 26 tahun berasal dari Selangor.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing, salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya. Mereka ditahan reman hingga esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan kerjasama anggota polis IPD Port Dickson.

Beliau berkata, manakala dalam serbuan ketiga pada Sabtu lalu, seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ditahan di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan Sendayan, Seremban pada jam 10.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 125 paket plastik berisi serbuk dadah jenis heroin dan syabu.

“Suspek yang berusia 50 tahun itu didapati mempunyai kesalahan lalu melibatkan enam kes di bawah Akta dadah berbahaya dan lapan rekod jenayah. Suspek akan direman sehingga Jumaat ini,” katanya.

Menurutnya, kawasan perumahan itu dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah bagi mendapatkan bekalan.

“Malah sepanjang operasi, polis berjaya menahan 10 penagih dadah yang mana mereka datang ke lokasi ini untuk mendapatkan bekalan tanpa menyedari ada serbuan.

“Mereka yang kesemuanya lelaki adalah penduduk di kawasan berhampiran berusia antara 23 hingga 35 tahun,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga serbuan itu membabitkan jumlah keseluruhan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM35,600 tidak termasuk wang tunai berjumlah RM22,238.

“Kesemua 16 suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.