Mengaku salah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku salah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

KUANTAN – “Biarlah orang nak kata saya salah. Saya nak ajar dia,” kata seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nasir Abd Manaf, 34, ketika ditanya Majistret dalam kandang tertuduh berkata, dia mahu mengajar anak tirinya yang berusia 14 tahun kerana tidak mendengar kata selepas dipukul.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Semporna dalam tempoh empat bulan.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM2,000 denda dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, mangsa diperlakukan tertuduh sejak November tahun lalu sehingga Mac lepas dengan meraba seluruh badan mangsa beberapa kali dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu pada jam 2.30 petang.

Noor Zaihan bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan itu dan insaf selepas menerima hukuman penjara.

“Saya harap kamu tidak ulangi lagi kesalahan ini. Perbuatan kamu ini sungguh jijik. Dalam penjara nanti kamu berfikir dan insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari dalam pendakwaannya meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya kerana membabitkan anak tiri walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan – Bernama


Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan

 

GEORGE TOWN 12 Sept. — Seorang koperal polis dihukum penjara 100 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia enam tahun pada 2011.

Hakim Zainol Rashid Hussain memerintahkan hukuman ke atas Aziri Sahid, 55, bermula hari ini.

Aziri yang dituduh memasukkan jari ke dalam vagina kanak-kanak berkenaan, didakwa mengikut Seksyen 77CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 28 Mei dan 12 Jun 2011 pada sebelah petang di rumah bernombor 54-4, Berek Polis, Fasa 1, Bandar Baru Air Itam.

Tertuduh diwakili peguam bela S Yagoo manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130912/ma_09/Cabul-kanak-kanak-koperal-polis-dipenjara-100-bulan#ixzz2eflX5wOs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rogol: Bekas ahli kumpulan hiphop dipenjara 20 tahun – Utusan


Rogol: Bekas ahli kumpulan hiphop dipenjara 20 tahun

 

KAJANG 6 Sept. – Seorang bekas ahli kumpulan hiphop popular sekitar tahun 2000, dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, Februari tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jaminan ke atas tertuduh dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM80,000 berserta syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga rayuan selesai.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai guru vokal di beberapa kementerian kerajaan dibawa ke Penjara Kajang pada pukul 4 petang selepas gagal membayar jaminan.

Dalam penghakimannya Nor Hazani berkata, mahkamah mendapati keterangan pengadu mempunyai kredibiliti.

Menurut beliau, selepas kejadian, pengadu memberitahu perkara itu kepada dua guru kaunselingnya yang turut memberikan keterangan di mahkamah.

“Mahkamah mempercayai keterangan kedua-dua guru itu, masing-masing saksi pendakwaan keenam dan ketujuh yang merupakan saksi bebas.

“Selain itu, keterangan doktor juga mengesahkan terdapat koyakan pada alat sulit pengadu,” kata beliau.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah sebaliknya telah mengukuhkan kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Gombak di sini pada pukul 9 pagi, 9 Februari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130906/ma_02/Rogol-Bekas-ahli-kumpulan-hiphop-dipenjara-20-tahun#ixzz2e7rOYKBp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis siasat kes tiga beradik hilang ikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan – Berita Harian


Polis siasat kes tiga beradik hilang ikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan

2013/08/15 – 17:15:40 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Polis menjalankan siasatan kes tiga beradik yang dilaporkan hilang di rumahnya di Taman Meru di sini dan ditemui di Selangor malam tadi, mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan sah di sisi undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, tiga beradik berusia antara 6 hingga 11 tahun itu ditemui di rumah saudara terdekat mereka di Rawang, Selangor, kira-kira jam 8.30 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan kemudian dibawa kembali ke sini awal pagi tadi.

“Ketiga mereka iaitu Syafaruddin Syazwan Rizauddin, 11; Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiah, 6, dibawa ke Rawang oleh seorang saudara mereka tanpa pengetahuan ibu mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 363 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

‘Kamu mohon maaf’ – Metro


‘Kamu mohon maaf’

 0  1 Google +0  0  0

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang guru diperintah membayar kompaun RM1,000 kepada suami bekas isterinya atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan mengacu parang, Oktober tahun lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad turut memerintahkan Raja Kechik Raja Omar, 52, membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Abd Malek Harun, 53 yang bekerja sebagai peniaga selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Raja Kechik turut diminta membaca permohonan maaf mengikut bacaan teks secara terbuka terhadap mangsa di mahkamah.

 

Selepas membaca teks permohonan maaf berkenaan, Raja Kechik menyerahkan wang kompaun RM1,000 itu kepada mangsa sebelum saling bersalaman.
“Saya ingin berpesan kita ada undang-undang dan masalah perlu diselesaikan secara baik,” nasihat Nik Habri.
Mengikut pertuduhan, Raja Kechik didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Abd Malek Harun, 53, dengan mengacukan parang terhadap mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tunjung Dalam di sini, pada jam 10 malam, 28 Oktober 2012.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 32 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Liyana Md Zukri mengendalikan kes pendakwaan.

 

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di rumah isterinya tiba-tiba bekas suami kepada isteri mangsa iaitu Raja Kechik menjerit dan menghalau Abd Malek keluar dari rumah.
Dia turut mengambil parang dan mengacu ke arah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul – Sinar Harian


Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2013
Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul
Remaja terbabit (dua kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.

KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memukul abangnya dengan tukul, April lalu.

Hukuman terhadap pesalah juvenil dari Kampung Perupok, Bachok itu bagaimanapun ditangguhkan kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap abangnya yang berusia 23 tahun itu di rumah mereka pada jam 4 petang, 14 April.

Dalam kejadian itu, dia dikatakan meminta wang daripada ibunya, bagaimanapun berang dan bercakap kasar selepas permintaan tidak dipenuhi.

Abang tertuduh yang ikut campur dengan niat meredakan keadaan diserang pula oleh remaja itu dengan senjata tukul menyebabkan dia cedera di telinga kiri.

Tuduhan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, remaja berkenaan turut dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan doktor dan juga laporan akhlaknya.

Kes bersambung 24 Julai depan.

Pensyarah sambilan dituduh cabul remaja – Metro


Pensyarah sambilan dituduh cabul remaja

 2  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Seorang pensyarah sambilan sebuah kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul remaja lelaki yang berusia 15 tahun pada bulan lalu.

Tertuduh, Vasuthevamenon, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Saiful Akmar Said.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta di di tepi Jalan Raja Uda, Kampung Baru di sini antara jam 7.30 malam hingga 10 malam, 30 Mei 2013.

 

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sarihan Abdul Shatar menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh namun lelaki itu tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin.
Mahkamah mengekalkan jaminan dan menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan kes.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Nelayan 13 anak kekal dipenjara 18 tahun rogol anak tiri – Utusan


Nelayan 13 anak kekal dipenjara 18 tahun rogol anak tiri

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 April – Seorang bapa kepada 13 orang anak kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun atas sabitan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya yang ketika kejadian berusia tujuh tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun membenarkan sebahagian rayuannya agar hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 21 Januari 2007.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin meminda hukuman bermula dari tarikh tangkapan, bukannya dari tarikh keputusan diumumkan iaitu pada 17 Disember 2009.

Nelayan berusia 75 tahun itu disabitkan melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah rumah di Daerah Tumpat, Kelantan di antara pukul 4 petang dan 7 malam, 19 Januari 2007.

Penghujahan bertulis pihak pendakwaan turut menyatakan, ibu mangsa telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan bersubahat membantu suaminya merogol mangsa.

Perayu diwakili oleh peguam Ahmad Nizam Mohamed manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130408/ma_06/Nelayan-13-anak-kekal-dipenjara-18-tahun-rogol-anak–tiri#ixzz2PsV8kC8h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak – Sinar Harian


Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak
Marazki ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi menghadapi tuduhan mengedar dadah sebelum ini.

KUANTAN – Seorang nelayan yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mengedar 82 gram heroin sekali lagi diheret ke mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Marazki Mohammad, 35 dari Sungai Isap Perdana di sini didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu di rumahnya kira-kira jam 1.30 tengah hari, 10 Disember tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jeeseca Diamis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Tertuduh ditawarkan ikat jamin RM6,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM4,500 selepas dia membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dalam mahkamah yang sama.

Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan – Utusan


Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Mac – Seorang pemuda berusia 26 tahun dihukum penjara 14 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menambah hukuman penjara terhadap Mohd. Muhsinun Wahab daripada tujuh tahun kepada 14 tahun dan sebatan selepas menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meminda hukuman tersebut.

Pada 11 April 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman itu pada 21 Februari tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, hukuman diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam keputusannya, panel itu berpendirian, hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan sangat tidak mencukupi berbanding berat kesalahan yang dilakukan.

Hakim Jeffrey menyatakan, faktor kesalahan pertama lelaki itu tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan hukuman jika melibatkan perbuatan yang serius.

Mohd. Muhsinun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2008 di sebuah pondok di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim.

Perayu ketika itu berusia 21 tahun manakala mangsa masih bersekolah. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Keterangan kes menyatakan, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama seorang rakan wanitanya berada di sebuah pusat beli-belah. Dia kemudian menelefon abang angkatnya agar menghantarnya pulang.

Abang angkatnya tiba bersama Mohd. Muhsinun menaiki dua buah motosikal. Abang angkatnya menghantar rakan wanita mangsa manakala gadis tersebut dihantar pulang oleh perayu.

Mohd. Muhsinun sebaliknya melencong ke arah ladang kelapa sawit dan merogol mangsa di pondok tersebut. Dia kemudian menelefon tujuh lagi rakannya agar datang ke situ lalu mangsa dirogol bergilir-gilir.

Perayu diwakili oleh peguam Aqbal Shiffuddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130308/ma_06/Rogol-pelajar-Pemuda-dipenjara-14-tahun-sebatan#ixzz2N3FhVtwL
© Utusan Melayu (M) Bhd