Ibu bersama tiga anak maut dalam nahas ngeri – Utusan


Ibu bersama tiga anak maut dalam nahas ngeri

 

Oleh NORAZRIN MARZUKI

HULU LANGAT 9 Sept. – Seorang ibu bersama tiga anaknya maut dalam nahas ngeri selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Kajang-Banting di Bangi Lama di sini hari ini.

Dalam nahas pukul 12.10 tengah hari itu, kesemua mangsa iaitu Rohaya Md. Rabi, 35, yang memandu kereta tersebut serta anak-anaknya dikenali sebagai Nornabila Al Huda, 9, Nornabila Al Hana, 7, dan Mohd Nabil Loffi Al Hadi, 1, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pemandu lori terlibat dan sebuah lagi kenderaan yang turut terbabit dalam nahas itu cedera parah dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130909/je_15/Ibu-bersama-tiga-anak-maut-dalam-nahas-ngeri#ixzz2eOtwR1SE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar tunggu keputusan SPM maut dipanah petir – Utusan


Pelajar tunggu keputusan SPM maut dipanah petir

Oleh AZRAI MOHAMMAD

HULU LANGAT 17 Mac – Seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah di sini maut dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang Sekolah Kebangsaan Kajang Utama di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang.

“Mangsa maut di tempat kejadian, bagaimanapun lima lagi rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menurut sumber, mangsa yang hanya dikenali sebagai Khairul, 18, tinggal di Flat Citra 3, Taman Kajang Utama.

“Mangsa merupakan bekas pelajar SMK Sultan Abdul Aziz Shah yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130317/je_01/Pelajar-tunggu-keputusan-SPM-maut-dipanah-petir#ixzz2NmT3TvKD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000 – Bernama


Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000

SHAH ALAM 8 Feb. – Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lalu.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130208/ma_09/Guru-Besar-didakwa-minta-pengusaha-kantin-RM3000#ixzz2KJZk3Anx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000 – Bernama


Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000

SHAH ALAM: Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lepas.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. –BERNAMA

Sebak kenang kawan – Metro


Sebak kenang kawan

Oleh MOHD HELMI IRWADI MOHD NOR
mohdhelmi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Biarpun lebaran tahun ini disambut meriah, namun mengenangkan 11 rakan yang sudah tiada, ia sesuatu yang memilukan,” kata Muhammad Awie Abdul Latif, 13, penghuni Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah (Rayda Hijrah) yang dahulunya dikenali sebagai Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat, di sini.

Muhammad Awie yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Ismail Sani di Padang Pekan Batu 14, Hulu Langat, semalam, berkata, dia masih terkenangkan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa 11 rakannya, Mei tahun lalu.
“Saya sebak mengenangkan rakan yang tiada, apa lagi ketika meraikan sambutan Aidilfitri. Saya sangat merindui mereka,” katanya.

 

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil itu berkata, sudah dua kali Aidilfitri diraikan selepas kejadian itu, namun setibanya lebaran, perasaan sedih semakin bertambah.
“Saya seronok berhari raya, mendapat pakaian dan duit raya, tapi semua ini tidak dapat dikongsi bersama 11 rakan yang sudah tiada,” katanya.
Berkongsi pengalaman rayanya, anak yatim tujuh beradik itu berkata, tahun ini dia meraikan lebaran bersama ibu, abang, kakak dan adiknya di rumah mereka di Kajang.

 

 

“Raya tahun ini sangat seronok berbanding tahun lalu kerana banyak sumbangan dan duit raya diterima,” katanya.
Zulkhairi Aminuddin, 14, yang juga pelajar SMK Abdul Jalil berkata, pengalaman belajar di Rayda Hijrah sesuatu yang menggembirakan kerana dia dan rakan menuntut ilmu dunia dan akhirat.

 

“Saya dihantar ke Rayda Hijrah kerana degil tapi bersyukur diri ini sudah berubah dan ibu bapa turut gembira dengan perubahan ini,” katanya.
Pengetua Rayda Hijrah, Khairrul Anwar Mohd Amin berkata, nama madrasah itu ditukar kerana pihaknya mewujudkan pentadbiran baru.
Katanya, selepas kejadian tanah runtuh, mereka ditempatkan di Lembah Azwin Resort selama seminggu sebelum dipindahkan sementara di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Baru-baru ini, kami diberi penempatan baru di Lot 833, Jalan Semungkis, sehubungan itu tindakan mengubah nama madrasah turut dibuat,” katanya yang memberitahu 31 pelajar kini di bawah jagaannya. Ismail berkata, program tahunan itu dibuat bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri dan pelbagai kunjungan kaum diterimanya.

Murid tahun lima menang Proton Preve – Utusan


Murid tahun lima menang Proton Preve
Nor Juliana Suhaila Sudirman (tiga dari kiri) bersama kereta Proton Preve yang dimenanginya pada Program Pemacuan i-Think di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, bapanya, Sudirman Mat Toufik (dua dari kiri), ibunya, Sarmila Saparuddin (kanan) dan adiknya, Nur Anisa Suhaila.
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lui, Hulu Langat, Nor Juliana Suhaila Sudirman, 11, dipilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Proton Preve pada majlis kemuncak Program Pemacuan i-Think.

Menurut Nor Juliana Suhaila, dia tidak menyangka memperoleh hadiah yang begitu bermakna dan besar nilainya.

“Saya juga berpuas hati dapat mempelajari tentang lapan ‘Peta Minda’ i-Think yang sangat berguna dalam kemahiran berfikir tahap tinggi.

“Peta minda tersebut amat berfaedah dan dapat digunakan dalam pembelajarannya serta persediaan untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan,” katanya selepas menerima replika kunci Proton Preve daripada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Mark Rozario pada majlis penghargaan majlis i-Think, di sini hari ini.

Program Pemacuan i-Think yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Mac lalu merupakan projek bersama Kementerian Pendidikan dan AIM.

Sebanyak 10 sekolah menjalankan projek perintis di bawah kendalian Unit Inovasi Khas (Unik) dan AIM. Kerajaan menyasarkan 1,000 lagi sekolah akan menerapkan sistem i-Think ini pada tahun depan manakala semua sekolah menjelang 2014.

Selain Nor Juliana Suhaila, pelajar tahun lima dari SK Seksyen 18, Shah Alam, Siti Nurhajar Mohd. Shukri dan guru SK Batu 9, Cheras, Suzilina Mohd. Sarom turut memenangi seunit iPad.

Ketiga-tiga pemenang tersebut adalah antara 140,000 pelajar daripada 390 buah sekolah dan 2,000 pengunjung komuniti berhampiran yang telah menghadiri program tersebut yang diadakan di 12 buah sekolah sejak Jun lalu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Eko-Sistem Pendidikan AIM, Eddie Razak berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk memperkenalkan kaedah dan metodologi berfikir dalam kalangan pelajar sekolah.