Sekolah di Terengganu punyai ‘bank’ kitar semula – Bernama


Sekolah di Terengganu punyai ‘bank’ kitar semula

17 November 2012

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan bank kitar semula di semua sekolah, di Terengganu mulai, tahun depan.

Pengarahnya Fatimah Ahmad berkata bagi merealisasikan hasrat itu, PPSPPA Terengganu akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi menggalakan pelajar terlibat dalam program kitar semula.

“Pelajar akan membawa bahan kitar semula seperti kertas, tin aluminium, atau botol ke sekolah dan agen PPSPPA akan datang untuk menimbang dan membeli. Duit hasil jualan bahan-bahan terbuang itu akan diserahkan kepada guru untuk diserahkan semula kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar di sini, hari ini.

Menurut Fatimah pelajar juga diberi peluang untuk membuka akaun bank sekirannya mereka terlibat secara aktif dalam program kitar semula yang
dijalankan itu.

Beliau berkata PPSPPA negeri Terengganu telah memulakan projek perintis mengitar semula bahan buangan melibatkan pelajar prasekolah dari 19 buah Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) di daerah Hulu Terengganu.

Melalui projek itu, Tadika berkenaan telah menunjukkan peningkatan mendadak dalam menghasilkan bahan kitar semula yang dibawa oleh kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun untuk dijual kepada agensi PPSPPA.

Katanya meskipun PPSPPA hanya mendedahkan program tersebut kepada kanak-kanak prasekolah, namun ia secara tidak langsung turut melibatkan ibu bapa mereka.

“Bila hari pungutan sisa pepejal dilakukan, pelajar akan minta ibu bapa mereka simpan bahan-bahan terbuang untuk dijual kepada kami,” katanya.

Program larian yang turut diadakan serentak di beberapa negeri di seluruh negara itu, melibatkan penyertaan seramai 6,000 peserta.  – Bernama

Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan – Bernama


Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Kementerian Pelajaran sedang membangunkan “1Unified Instrument” atau instrumen bersepadu untuk menilai tahap kompetensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan penilaian itu, pegawai yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompetensi ditetapkan akan diberi latihan melalui modul latihan bersesuaian, mengikut tahap kompetensi mereka.

“Dalam konteks ini, tenaga kepakaran di institut pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran akan digembeleng dan digerakkan sebagai jurulatih utama untuk melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme, diterajui sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Guru,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – BERNAMA

Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu – Bernama


Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan nyaris maut setelah kediaman mereka di Kampung Wakaf Mempelam, di sini hangus dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Mangsa Mohd Kamarul Arifin Ismail, 39, berkata ketika kejadian 9 malam itu dia sedang menonton televisyen di tingkat bawah manakala isteri dan tiga anaknya baru naik ke tingkat atas untuk masuk tidur.

Terhidu bau terbakar datang dari dalam rumah, beliau yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, Hulu Terengganu lantas memeriksa seluruh rumah namun tidak menemui sebarang kejadian pelik.

Beliau kemudiannya membuka pintu hadapan rumah dan ternampak kepulan asap serta bahang api dari kedai pendawaian elektrik bersebelahan rumahnya dan api telah mula menjilat sebahagian kediamannya.

 
“Panik dengan kejadian itu, saya terus menjerit menyuruh anak dan isteri keluar selamatkan diri dan tidak lama kemudian, api mula marak membakar rumah saya. Saya hanya sempat menyelamatkan komputer riba saja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai pendawaian elektrik dan butik pakaian wanita, Safarin Ismail berkata sebelum kejadian, bekalan elektrik kedainya tiba-tiba terputus dan kemudian dia terlihat kepulan api mula membakar pekarangan luar bangunannya.

“Masa itu saya bersama isteri dan anak berada di butik pakaian dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Masa nak keluar melihat apa terjadi, saya nampak api dan terus arahkan keluarga saya lari tanpa sempat menyelamatkan barangan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Zulkhairul Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.13 malam di mana lima jentera dengan 29 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya ketika pihak bomba sampai, api membakar kira-kira 60 peratus rumah serta dua premis itu.

“Tindakan pantas pihak bomba kami berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke keseluruhan premis separa kekal itu di mana kita mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan api,” katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11

IPGM Terengganu anjur Bicara Tokoh Datuk Razali Ismail – Bernama


IPGM Terengganu anjur Bicara Tokoh Datuk Razali Ismail

2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail akan menganjurkan Program Bicara Tokoh Allahyarham Datuk Razali Ismail di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, esok.

Setiausaha program Zahar Ibrahim berkata usaha itu sebagai penghargaan kepada bekas timbalan menteri pelajaran tersebut selain mahu masyarakat mencontohi ketokohan Razali dalam memimpin bidang pendidikan.

“Pada program itu nanti tiga panel yang merupakan orang paling dekat dengan Allahyarham dijemput iaitu anak sulungnya, Mohd Norazli, bekas setiausaha sulitnya, Wan Hashim Mohd dan S.M. Nor yang merupakan sahabat Allahyarham sejak kecil.

“Ketiga-tiga panel tersebut akan membicarakan pelbagai aspek mengenai ketokohan sebagai seorang bapa, penjawat awam dan politik serta seorang rakan yang amat baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga merupakan bekas pelajar Allahyarham akan menjadi moderator program.

Katanya program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kira-kira 2,000 orang dijangka menyertai program tersebut merangkumi golongan pendidik, pensyarah dan guru pelatih serta bekas pengarah IPGM wilayah Timur.

Allahyarham Razali yang berasal dari Hulu Terengganu merupakan bekas pengarah IPGM kampus itu sebelum dipilih menjadi Anggota Parlimen Kuala Terengganu, dan dianggap arkitek pendidikan di negeri ini.

Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. -Bernama

Pitam anak mandi darah – Metro


Pitam anak mandi darah

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Saya nyaris pitam melihat anak bermandi darah dan meraung meminta tolong.

“Walaupun takut melihat darah bercucuran dari kepalanya, saya kuatkan semangat mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” kata Asmah Lokman, 41, menceritakan detik cemas selepas anaknya, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, terjatuh dari tingkat atas rumah kakaknya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kua, Kuala Berang itu dikatakan terjatuh selepas tergelincir ketika bermain bersama kakak dan sepupunya di beranda tingkat atas rumah dua tingkat milik ibu saudaranya itu.

Kakak mangsa, Nor Diana, 13, dikatakan cuba mencapai tangan adiknya, tetapi gagal kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

 
Asmah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia tidak boleh melupakan kejadian yang hampir meragut nyawa anak bongsunya itu.

Budak lelaki jatuh 6 meter, terima 20 jahitan – Berita Harian


Budak lelaki jatuh 6 meter, terima 20 jahitan

2012/05/24

KUALA TERENGGANU: Seorang budak lelaki menerima 20 jahitan di kepala dan patah tangan kanan akibat terjatuh dari beranda tingkat atas rumah ibu saudaranya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, selepas bermain bersama kakak dan dua sepupunya, petang Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kua dikatakan tergelincir ketika bermain dan terjatuh setinggi enam meter selain kepala serta tangannya terhantuk bucu longkang di tingkat bawah.

Ibu mangsa, Asmah Lokman, 41, berkata beliau nyaris pitam melihat anaknya bermandi darah dan meraung meminta tolong selepas terjatuh.

Walaupun takut melihat darah yang bercucuran keluar dari kepala anak, saya kuatkan semangat untuk mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan. – Asmah Lokman, Ibu mangsa

“Walaupun takut melihat darah yang bercucuran keluar dari kepala anak, saya kuatkan semangat untuk mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian, anak beliau Nor Diana, 13, cuba menarik tangan adiknya daripada terjatuh tetapi gagal kerana kejadian itu terlalu pantas.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Mohd Syafiq duduk bersamanya ketika dia berbincang dengan saudara-mara mengenai persiapan kenduri kahwin anak kakaknya, yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Bapa mangsa, Saifudin Abd Rahman, 45, berkata ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di kampung sama dan bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai keadaan anaknya yang parah akibat terjatuh dari tingkat atas rumah.
“Walaupun tangan kanan Mohd Syafiq patah serta menerima lebih 20 jahitan di bahagian kepala namun saya dan isteri bersyukur kerana dia dilaporkan stabil,” katanya.

Mangsa selekoh tajam, 2 kereta guru bertembung – Sinar Harian


Mangsa selekoh tajam, 2 kereta guru bertembung

NOOR HAYATI MAMAT
10 Mei 2012
Mangsa selekoh tajam, 2 kereta guru bertembung
Orang ramai melihat keadaan kereta jenis Mazda setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, di Kampung Nasi Dingin, pagi kelmarin.

HULU TERENGGANU – “Sebaik mendengar bunyi dentuman, saya terus keluar dan melihat sebuah kereta sudah terbalik, manakala sebuah lagi terbabas di bahu jalan berhampiran kawasan rumah saya,” kata Osman Hamzah, 66.

Osman berkata, dia kemudian bergegas membantu mangsa dan ketika itu mangsa menyebut perkataan ‘sakit’ beberapa kali.

Osman turut membantu mangsa keluar dari kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13 Jalan Kuala Berang-Telemong, Kampung Nasi Dingin, kira-kira jam 7.30 pagi hingga 8 pagi kelmarin.

Kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Mazda dipandu seorang guru lelaki dari arah Kuala Telemong-Kuala Berang dengan sebuah Honda City dipandu seorang guru wanita, dipercayai dalam perjalanan ke Batu Rakit untuk mengikuti kursus.

Sebaik tiba di tempat kejadian, dua kenderaan itu dikatakan bertembung setelah salah sebuah kereta dipercayai masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kereta dipandu guru lelaki tersebut terbalik lalu merempuh pokok, manakala Honda City pula terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurut Osman, kemalangan seumpama itu bukan perkara asing di kawasan itu, apatah lagi terdapat satu selekoh tajam di situ yang sering menyebabkan kenderaan terbabas.

“Kemalangan di kawasan ini boleh dikatakan sering berlaku. “Pernah berlaku kenderaan terbalik di tempat sama sebelum ini. Tidak sangka, ia berulang dan syukurlah ia tidak membabitkan kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika ditemui semalam menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

85 pelajar ponteng dicekup – Sinar Harian


85 pelajar ponteng dicekup

RAHAYU MUSTAFA
2 Mei 2012
KUALA TERENGGANU – Tindakan beberapa pelajar tidak memasuki kelas sewaktu sesi persekolahan membawa padah apabila mereka ditangkap dalam satu operasi ponteng bersepadu yang diadakan di seluruh negeri ini, kelmarin.
Dalam operasi bersepadu tersebut, seramai 85 pelajar ponteng berjaya dicekup dan angka paling ramai dicatatkan di Kuala Terengganu iaitu seramai 43 orang, daripada jumlah itu tiga positif dadah.
Manakala di Kemaman, seramai 30 pelajar ponteng berjaya dicekup diikuti lapan di Hulu Terengganu dan empat di Marang.
Pelajar yang lengkap berpakaian sekolah itu sanggup bersembunyi di kawasan rumah terbiar dan melarikan diri ke dalam parit bagi mengelak dicekup apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila berjaya ditangkap.
Seorang pelajar yang ditangkap dan turut didapati positif dadah mengakui dia agak kerap ponteng selepas separuh waktu persekolahan berlangsung dengan alasan mahu makan di kedai di luar sekolah.
“Makanan di sekolah mahal jadi saya keluar lagipun dah dekat nak masuk waktu rehat,” katanya yang turut mengakui mengambil dadah.
Kata pelajar itu, dia mengambil dadah kerana mahu mencuba dan sanggup membeli bahan terlarang itu dengan menggunakan duit saku yang disimpan setiap hari.
“Saya baru dua kali ambil dan saya rasa bertenaga,” kata pelajar tingkatan empat itu.
Katanya, rakan membekalkan pil kuda kepadanya pada harga RM20 sebiji itu turut menawarkan dia pendapatan lebih untuk menjual dadah itu namun dia masih belum berani.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Terengganu, Zakaria Hussin ketika ditemui berkata, semua pelajar yang ditahan akan diberi kaunseling dan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.
Katanya, pihak sekolah akan diberi mandat untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar sama ada dikenakan tindakan tatatertib atau digantung sekolah.