Pelajar baling mercun diburu – Bernama


Pelajar baling mercun diburu
28 Julai 2013
< 1 / 0 >

KUALA TERENGGANU – Polis kini memburu dua pelajar tingkatan lima di Besut kerana disyaki membaling mercun kepada dua kanak-kanak di kampung Gong Manok, Besut Rabu lepas.

Kejadian pada pukul 9.20 malam itu menyebabkan dua beradik berusia tiga dan tujuh tahun itu cedera di bahagian mata, paha dan kaki kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manohanaran berkata dua pelajar yang menaiki motosikal membaling mercun itu ketika dua beradik berkenaan bersama dua lagi abang mereka bermain basikal di halaman rumah mereka.

“Pembonceng motosikal terbabit menyalakan mercun bola dan membalingnya ke arah empat beradik itu…mercun itu jatuh berhampiran kedua kanak-kanak itu.

“Kami sudah mengenal pasti kedua-dua suspek yang berusia 17 tahun itu dan mereka dipercayai tinggal sekampung dengan mangsa. Gerakan memburu sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini.

Manoharan berkata kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun cedera parah di bahagian mata kanan dan paha manakala kakaknya yang berusia tujuh tahun cedera di kaki kanan.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaan mereka dilapor stabil, katanya. – Bernama

Putus jari manis akibat dituduh rogol – Sinar Harian


Putus jari manis akibat dituduh rogol

MOHD TAHA YAACOB
29 Mei 2013
Putus jari manis akibat dituduh rogol
NOORZAINY

KAMPUNG RAJA – Seorang lelaki putus jari manis tangan kiri selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika mangsa mahu menyerangnya selepas mendakwa dia merogol kekasihnya.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, Ahad lalu, mangsa berusia 26 tahun dari Jalan Bukit Keluang di sini, dilibas suspek ketika mangsa pergi ke rumah suspek di Kampung Pengkalan Nyireh dengan membawa sebilah parang.

Dikatakan, mangsa yang bekerja sebagai nelayan berang terhadap suspek berusia 21 tahun kerana mendakwa telah merogol kekasihnya berusia 17 tahun pada 8 Mei lalu di rumah gadis itu di Jertih.

Menurut sumber, mangsa cuba menyerang suspek menyebabkan berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun suspek berjaya mengambil sebilah parang di pintu rumahnya lalu melibas ke arah mangsa menyebabkan jari manis mangsa putus.

Menyedari kecederaan dialaminya, mangsa segera melarikan diri,” katanya.

Difahamkan juga, jari mangsa yang terputus berjaya ditemui polis di tempat kejadian sejurus kemudian dan dihantar ke Hospital Besut.

Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Mangsa bertindak demikian kerana dikatakan marah terhadap suspek yang didakwa merogol teman wanita di dalam bilik tidur rumah kekasihnya di Jertih.

Suspek dikatakan sebelum itu berbual dengan pelajar perempuan itu di luar rumah sebelum masuk ke dalam bilik tidurnya bersama suspek untuk berbual panjang.

Menurut sumber, suspek telah merogol pelajar itu walaupun dia cuba melawan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, polis telah menahan reman suspek untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan tangkapan tersebut.

Amukan suami cemburu – Metro


Amukan suami cemburu

Oleh Zaid Salim
am@metro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang guru lelaki parah selepas menjadi mangsa amukan seorang suami yang dipercayai cemburu dengan hubungan mesra guru berkenaan dengan isterinya dalam kejadian di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, guru berkenaan cedera parah di belakang badan, tangan dan kaki akibat ditetak lelaki terbabit menggunakan sebilah parang panjang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, guru berusia 35 tahun yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, dihubungi seorang wanita yang mahu membeli barangan kosmetik daripadanya.

 

Menurutnya, bagi memudahkan menyerahkan barangan kosmetik itu, wanita berkenaan meminta guru itu menunggunya di depan Maktab Perguruan Sultan Mizan sebelum mangsa tiba di kawasan dijanjikan pada jam 6.20 petang.
“Selepas kira-kira 10 minit menunggu, guru yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun, dikejutkan dengan ketibaan dua kereta dinaiki sekumpulan lelaki.
“Dua lelaki termasuk seorang mereka memakai topeng biru dan bersenjatakan parang, turun dari sebuah kereta lalu menyerang mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

 

 

Menurutnya, serangan itu menyebabkan guru berkenaan cedera di badan, tangan dan kaki akibat ditetak dengan parang oleh seorang daripada lelaki terbabit.
Manoharan berkata, adik mangsa tidak berani melawan dan hanya mampu melihat abangnya ditetak sebelum membawa mangsa ke Hospital Besut untuk rawatan selepas kumpulan lelaki berkenaan meninggalkan tempat kejadian.

 

“Mangsa yang kehilangan banyak darah, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Laporan kejadian dibuat adik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Hasil siasatan awal polis percaya kes berkenaan bermotifkan cemburu dan kami kini memburu suspek yang berasal dari Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Empat lagi hospital sertai projek sekolah dalam hospital – Bernama


Empat lagi hospital sertai projek sekolah dalam hospital

12 Oktober 2012

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih menyertai projek ‘Hati Nurani’ iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata dengan pembukaan empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai tahun lepas.

Katanya SDH yang bakal dibuka adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang menjadi perintis kepada projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, hari ini.

MoU tersebut adalah antara Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.

Muhyiddin berkata sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga hospital tersebut.

Katanya Hospital Serdang mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital Ampang.

“Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Justeru itu, beliau telah meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhyiddin turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata pengurusan program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana rakan-rakan mereka di sekolah.

Katanya kejayaan SDH bergantung sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran hospital, guru serta ibu bapa pesakit.

Muhyiddin berkata kementerian juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital yang berkenaan.

Beliau juga membayangkan dalam satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak hospital di negara ini.

Projek ‘Hati Nurani’ merupakan cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti.- Bernama

Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan – Bernama


Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan

2012/02/16

BESUT: Seorang wanita terbunuh manakala tiga anaknya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi wanita berkenaan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput dua daripada anaknya dari sekolah.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, motosikal yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Jerteh–Pasir Putih dekat Kampung Padang Landak, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Norhaima Mamat, 44, yang tinggal di Kampung Padang Landak, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superitendan Noor Zainy Mohd Noor kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dikenali sebagai Yeoh Thean Yunn, 31, seorang jurujual yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian itu, Norhaima seorang suri rumah pergi ke Sekolah Kebangsaan Padang Landak bersama seorang anaknya yang berumur 4 tahun untuk menjemput dua lagi anaknya pulang daripada belajar kelas agama di sekolah itu.

“Dalam perjalanan pulang mangsa melintasi satu lorong kecil di satu pembahagi jalan untuk ke sebelah kanan jalan dua hala itu,” katanya.

Katanya, kereta yang dipandu Yeoh dari arah Pasir Putih, Kelantan dipercayai gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
Akibat kejadian itu ketiga-tiga anak Norhaimi cedera parah, dua daripadanya patah kaki dan ketiga-tiganya dikejarkan untuk rawatan lanjut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Tiga anak mangsa dikenali sebagai Nik Mohamad Hafizudin Nik Ismail,10; Nik Muhammad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Haries Haikal,4 tahun. – BERNAMA

Gadis bercakap ‘ganjil’ selepas kemalangan – Bernama


Gadis bercakap ‘ganjil’ selepas kemalangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BESUT: Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah yang cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu kini terlantar di rumahnya akibat kesan trauma kejadian berkenaan.

Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat sini mendakwa berperasaan luar biasa dan bercakap ganjil dalam bahasa tidak difahaminya dipercayai berpunca daripada kemalangan. “Dalam kejadian itu saya membonceng motosikal abang, Jefri Ismail yang terbabit dalam satu perlanggaran dengan sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang pada 10 Januari lalu dalam perjalanan pulang dari sekolah. “Akibat kemalangan itu saya terjatuh dan terhantuk kepala ke atas jalan raya dan dimasukkan ke Hospital Besut serta tidak sedarkan diri selama 11 jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang dekat Kampung Raja di sini, kelmarin.
Noraini kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan menjalani imbasan di bahagian kepala yang mendapati terdapat kesan darah beku. Menurut ibunya, Mansena Daud, 48, apabila anaknya itu menjalani imbasan kali kedua dan ketiga di hospital sama, doktor memberitahu bahawa kesan darah beku itu sudah tiada. Selepas tiga hari dirawat di HUSM, Kubang Kerian, anak keenam daripada tujuh beradik itu dibenarkan pulang ke rumah, tetapi keadaannya menjadi teruk hingga tidak dapat bercakap. Tidak lama kemudian, dia mula bercakap bahasa ‘ganjil’ tidak difahami yang didakwa bahasa Cina, Jepun, Korea dan Indonesia. Mansena berkata, anaknya kemudian dimasukkan semula ke hospital bagi rawatan seterusnya atas arahan doktor. Walaupun berperangai pelik, katanya, Noraini kelihatan sihat dan berselera makan serta ingatannya masih baik, namun sering mengadu sakit kepala pada waktu malam hingga terpaksa menghantarnya ke hospital. Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putra, Muhammad Pehimi Yusoff ketika ditemui meminta pakar membuat kajian teliti bagi mengetahui punca sebenar masalah dihadapi pelajar berkenaan. – Bernama

Miliki kebolehan luar biasa – Metro


Miliki kebolehan luar biasa

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2012
Budak ajaib

BESUT – Pelik tetapi benar tetapi itulah realiti kebolehan luar biasa seorang pelajar tingkatan lima yang secara tiba-tiba boleh bertutur pelbagai bahasa selepas dia terlibat dalam kemala-ngan jalan raya pada jam 2 petang, 13 Januari lalu.

Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alor Lintang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun sepanjang hayatnya tidak pernah ikuti kelas bahasa itu.
Menurutnya, kebolehan luar biasa itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dibonceng dirempuh oleh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.
“Ketika kejadian saya membonceng motosikal yang ditunggang abang saya, Jefri, 18, yang tiba-tiba dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk kepala atas jalan. Mujur saya pakai topi keledar,” katanya.
Sementara itu menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, kemalangan itu menyebabkan Noraini koma selama 11 jam dan sebaik sedar dia berada di Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Kata Ismail, selepas doktor menjalankan imbasan kali pertama mendapati terdapat darah beku di bahagian belakang kepalanya.
Bagaimanapun katanya, ketika dilakukan imabasan kali kedua untuk melakukan pembedahan, doktor terperanjat kerana mendapati darah beku tidak ada lagi.
“Bagi mengesahkan perkara itu, doktor HUSM mengulangi ujianebanyak tiga kali namun ternyata darah beku dikesan peringkat awal memang tidak ada,” katanya.

Bercakap bahasa Korea selepas terjaga dari tidur
Ismail berkata, pada jam 5 petang pada hari keempat selepas dibenarkan pulang ke rumah, sebaik Noraini terjaga daripada tidur tiba-tiba dia bercakap bahasa Korea.
Katanya, anaknya itu meminta air daripada ibunya dalam bahasa Korea namun ketika itu ibunya tidak mengetahui bahasa apakah yang dituturkan Noraini.
“Kami sekeluarga tidak faham maksudnya dan langsung tidak tahu bahasa Korea kerana ia mirip bahasa Cina tetapi selepas dia menunjukkan isyarat ingin minum air baru ibunya beri air,” katanya.
Kata Ismail, selain Korea dia juga kadang-kadang bertutur dalam bahasa Mandarin dan paling aneh lagi ketika dia berbahasa tersebut dia langsung tidak akan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Pada mulanya, Ismail dan keluarga meragui maksud bahasa yang dituturkan itu betul atau tidak tetapi apabila Noraini menonton cerita Korea di televisyen, dia dapat menterjemahkan cerita tersebut dengan tepat seperti sarikata dipaparkan pada skrin televisyen yang ditutup dengan tangan oleh ahli keluarganya.
Menurut Noraini, seorang doktor pakar berbangsa Cina di HUSM yang menjalankan rawatan susulan ke atasnya baru-baru ini juga menganggap kejadian dia boleh bertutur bahasa Cina juga aneh malahan kejadian itu pertama kali ditemuinya semenjak 17 tahun bertugas sebagai doktor.
“Doktor itu minta saya membaca nombor dalam bahasa Cina dan apa yang saya sebut adalah benar,” katanya.

Tidak boleh bercakap loghat Kelantan
Satu lagi keanehan pada Noraini ialah dia kini bertutur bahasa baku sepenuhnya malahan dia langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan lagi seperti pertuturan hariannya sebelum ini.
Menurutnya ibunya, Masina Daud, 48, sejak kemalangan anak keenam daripada tujuh beradik itu hanya boleh bercakap bahasa Melayu standard (baku) seperti loghat Kuala Lumpur sahaja manakala bahasa Kelantan sekarang dia boleh menyebut beberapa perkataan, seperti ‘mok’ dan ‘ayah’.
“Sebelum ini dia nak sebut perkataan mok (emak) memang langsung tidak boleh tetapi kalau perkataan Mama lancar. Saya pun hairan bagaimanana pertuturan boleh berubah,” katanya.
Dalam pada itu Noraini berkata, sejak belakangan ini dia hanya bertutur dalam bahasa Cina atau Korea sekiranya dia tidur semula selepas menunaikan solat Subuh.
“Kalau saya tidur semula selepas solat Subuh pasti apabila bangun saya tidak boleh langsung bercakap bahasa Melayu sebaliknya hanya boleh bertutur dalam bahasa Korea yang berlarutan sehingga jam 11 pagi pada hari sama sebelum boleh bertutur semula bahasa Melayu.
“Kalau saya tidak tidur selepas solat Subuh saya tidak akan bercakap korea,” katanya yang juga hairan dengan perubahan yang dialami.
Katanya, dia memahami bahasa Korea atau Cina di kaca televisyen hanya ketika dia boleh bertutur bahasa tersebut tetapi apabila ketika boleh bercakap bahasa Melayu, dia langsung tidak faham makna bahasa berkenaan.

Jalani rawatan alternatif
Bapanya pula agak tertekan dengan masalah yang dihidapi anaknya dan sudah beberapa kali dia membawa anaknya menjalani rawatan alternatif namun setakat ini tidak berhasil.
Kata Ismail, lebih memeritkan keadaan kerana boleh dikatakan setiap hari sama ada sebelum atau selepas Maghrib, Noraini akan tiba-tiba diserang sakit kepala menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besut untuk mendapat suntikan.
“Sekarang hampir setiap hari saya terpaksa membawa dia mendapat suntikan kerana Noraini tidak akan sedarkan diri jika lambat dibawa ke hospital,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini.
Ismail merayu orang ramai atau ahli perubatan alternatif untuk tampil membantu menyelesaikan masalah yang dihidapi anaknya kerana dia tidak berkemampuan untuk lebih kerap membawa anaknya mendapatkan rawatan.
Ismail menetap di alamat 2672, Kampung Baru Gong Medang dekat Tembila dekat Kampung Raja.