Enam sekeluarga sesat empat jam di hutan rekreasi
KULAIJAYA 7 Feb. – Hasrat enam sekeluarga menjalankan aktiviti fizikal sebagai persiapan menyertai satu pertandingan renang tidak lama lagi berakhir dengan mereka tersesat selama empat jam di Hutan Rekreasi Gunung Pulai di sini semalam.
Mangsa ialah Gan Kock Kiong, 42, bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16; Gan Jie Ying, 12, dan Gan Hong Jun, 10. Dua lagi ialah anak saudara Kock Kiong, Gan Kai Boon, 15, dan Gan Kai Qi, 9.
Mereka dilaporkan hilang oleh keluarganya di hutan itu pukul 5.30 petang dan hanya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 9.30 malam sebelum dibawa keluar dua jam kemudian.
Kesemua mereka sebelum itu dikatakan pergi ke pusat rekreasi itu untuk beriadah dan menjalani latihan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan renang.
Mereka kemudian memilih untuk menggunakan jalan denai dan bukan trek yang biasa digunakan pendaki lain.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahaya berkata, pihaknya difahamkan keenam-enam mereka membuat keputusan menggunakan jalan itu kerana menganggap lebih mencabar dan lasak.
“Ahli keluarga lain yang menunggu di kaki gunung mula bimbang apabila mereka tidak muncul selepas sejam menunggu sebelum menghubungi polis.
“Sejurus menerima laporan, kami menjalankan operasi bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Kesemua mangsa akhirnya berjaya ditemui 700 meter dari trek utama dan dibawa turun dua jam kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak polis menggunakan alat pengesan kedudukan (GPS) bagi mengesan kedudukan mangsa berdasarkan isyarat telefon bimbit sebelum melepaskan tembakan lampu ke udara.
Katanya, ketika ditemui mangsa berada agak jauh dari tempat rekreasi pengunjung.
Zulkefly memberitahu, hasil siasatan awal mendapati laluan trek yang berbukit serta agak curam serta gelap dipercayai punca menyebabkan mangsa keliru dan gagal untuk mencari jalan keluar.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan telah pulang ke rumah selepas menerima rawatan awal daripada unit kecemasan perubatan yang turut bersiap sedia di kawasan pergunungan itu semasa operasi mencari dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Kock Kiong berkata, dia bersama keluarga pergi ke pusat rekreasi itu untuk mendaki bagi meningkatkan stamina sebagai persiapan menyertai pertandingan renang di Johor Bahru bulan ini.
Katanya, pada mulanya mereka menggunakan laluan mendaki biasa sebelum mengubah ke laluan hutan yang dianggap lebih mencabar.
“Selepas sejam melalui jalan hutan, kami gagal mencari jalan keluar. Mujur saya membawa telefon bimbit dan menghubungi isteri untuk mendapatkan bantuan,” katanya.