Ibu bapa pelajar perempuan ditahan – Utusan


Ibu bapa pelajar perempuan ditahan

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 26 Okt. – Polis menahan ibu bapa kepada pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, yang disyaki terlibat bersubahat membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat dekat sini malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Mohd. Nashir Ya berkata, kedua-duanya yang berusia 45 tahun itu ditahan petang semalam di rumah mereka, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian, bagi membantu siasatan kes.

Beliau berkata, penahanan itu menjadikan kesemua yang ditahan oleh pihak polis setakat ini berhubung kes tersebut kini berjumlah enam orang.

“Sebelum ini, polis menahan remaja perempuan itu dan teman lelakinya yang kedua-duanya berusia 17 tahun selain sepupu dan abang kepada remaja perempuan terbabit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Katanya, bedah siasat masih dijalankan ke atas mayat bayi berkenaan bagi memastikan punca kematiannya yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

Dalam kejadian itu, polis menahan dua remaja kerana disyaki membuang seorang bayi yang baru dilahirkan oleh rakan sebayanya ke dalam Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat di sini.

Kedua-dua remaja lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai mencampakkan bayi perempuan yang cukup sifat dari atas sebuah jambatan ke dalam sungai berkenaan kira-kira pukul 9.20 malam.

Polis yang menjalankan siasatan menemukan mayat bayi malang itu pukul 1.15 pagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121027/je_02/Ibu-bapa-pelajar-perempuan-ditahan#ixzz2AWFWDtqE
© Utusan Melayu (M) Bhd