Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah – Sinar Harian


Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah
Penghulu kampung turut hadir dalam Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

PASIR MAS – Ibu bapa diingatkan memantau pergerakan anak-anak, terutama remaja yang pernah terlibat dalam kancah dadah.

Ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yam berkata, dia akan menemani anaknya, Mamat, 16, setiap sesi kaunseling di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan dekat Lubok Jong.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik ini dibebaskan dari pusat pemulihan Februari lalu selepas mengambil pil kuda.

“Tindakannya itu turut menyebabkan Mamat tidak lagi mahu ke sekolah, sebaliknya menghabiskan masa di rumah.

“Saya tidak pernah berputus asa mendidiknya agar menghargai diri demi masa depannya kelak,” katanya selepas Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

Dalam majlis itu, Ketua Jajahan, Mohd Ghazali Mohamad turut menasihati remaja agar tidak mengambil mudah isu dadah, kerana ia hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak menjatuhkan hukuman kepada bekas penagih dadah di atas setiap jenayah yang berlaku di kampung.

“Serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyiasat dengan terperinci.

“Tindakan masyarakat memberi tekanan kepada bekas penagih dan keluarga, menyebabkan mereka menghadapi beban berat,” katanya.