KUALA TERENGGANU: “Doktor memaklumkan anak saya mungkin koma sepanjang hayat dan jika benar, kami sekeluarga reda menerima keadaan itu sebagai ketentuan Allah.
“Apapun saya bersyukur kerana mulanya doktor menjangkakan anak saya hanya mampu hidup selama tiga hari, namun Allah memberi kami peluang bersamanya,” kata Nik Aini Mohammad, 53, ibu kepada Iman Adam Raman, 9, yang koma sejak terbabit kemalangan jalan raya pada 2 Mei tahun lalu.
Menurutnya, hari ini genap setahun anaknya itu koma dan sejak kemalangan itu, Iman sudah menjalani 20 pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
“Pada 14 Mei ini, dia sekali lagi akan menjalani pembedahan di kepala di hospital sama dan kami berharap ia membawa perubahan positif,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Penyakit Kronik kerajaan negeri bernilai RM15,600 disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Kampung Kebor Besar, Manir, semalam.
Bapa Iman Adam, Raman Abdullah, 58, ketika mengimbau kejadian itu berkata, kemalangan itu berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir ketika dia menuju ke kedai runcit di depan sekolah.
“Pada mulanya, Iman tidak bercadang mengikut saya ke kedai dan menunggu dalam kereta yang tidak dimatikan enjin.
“Ketika melintas, saya rasa tidak sedap hati dan menoleh ke belakang sebelum terkejut melihat dia mengekori saya melintas.
“Ketika itu, sebuah motosikal dalam keadaan laju gagal mengelak dan terus melanggarnya sebelum melarikan diri,” katanya.