Ibu maut, tiga anak parah kemalangan – Utusan


Ibu maut, tiga anak parah kemalangan

BESUT 16 Feb. – Seorang ibu maut manakala tiga anaknya yang membonceng sebuah motosikal cedera parah dalam kemalangan di Kampung Padang Landak dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Norhaima Mamat, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah mengambil dua anaknya yang baru selesai menghadiri Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah berdekatan.

Mangsa sebelum itu membawa bersama anak bongsunya, Nik Mohamad Haries Haikal, 4, sementara menunggu dua lagi anaknya, Nik Mohamad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Hafizudin, 10.

Selepas selesai kelas Kafa kedua-duanya membonceng motosikal ibu mereka dan melintasi jalan melalui pembahagi jalan untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun sebuah kereta yang datang dari arah Pasir Puteh Kelantan yang dipandu oleh seorang jurujual berumur 31 tahun gagal mengelak daripada merempuh motosikal yang dinaiki empat beranak itu.

Norhaima yang cedera parah di bahagian kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Tiga anaknya dibawa oleh penduduk kampung ke hospital.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian.

Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan – Bernama


Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan

2012/02/16

BESUT: Seorang wanita terbunuh manakala tiga anaknya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi wanita berkenaan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput dua daripada anaknya dari sekolah.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, motosikal yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Jerteh–Pasir Putih dekat Kampung Padang Landak, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Norhaima Mamat, 44, yang tinggal di Kampung Padang Landak, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superitendan Noor Zainy Mohd Noor kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dikenali sebagai Yeoh Thean Yunn, 31, seorang jurujual yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian itu, Norhaima seorang suri rumah pergi ke Sekolah Kebangsaan Padang Landak bersama seorang anaknya yang berumur 4 tahun untuk menjemput dua lagi anaknya pulang daripada belajar kelas agama di sekolah itu.

“Dalam perjalanan pulang mangsa melintasi satu lorong kecil di satu pembahagi jalan untuk ke sebelah kanan jalan dua hala itu,” katanya.

Katanya, kereta yang dipandu Yeoh dari arah Pasir Putih, Kelantan dipercayai gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
Akibat kejadian itu ketiga-tiga anak Norhaimi cedera parah, dua daripadanya patah kaki dan ketiga-tiganya dikejarkan untuk rawatan lanjut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Tiga anak mangsa dikenali sebagai Nik Mohamad Hafizudin Nik Ismail,10; Nik Muhammad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Haries Haikal,4 tahun. – BERNAMA