‘Ibu mengerang’ – Metro


‘Ibu mengerang’
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: “Saya sempat mendengar arwah ibu mengerang kesakitan beberapa kali sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Saiful Khairul Amiruddin, 21, anak lelaki kepada Rohana Ahmad, 43, mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Terowong Menora, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 256.6 arah selatan itu, kereta Honda City dinaiki Saiful bersama empat ahli keluarganya hilang kawalan akibat jalan licin sebelum merempuh belakang lori berhenti di tepi jalan.
Kejadian menyebabkan bapanya, Amiruddin Basaruddin, 45, parah, manakala dia dan dua adiknya, Mohamad Aiman Hakimi, 13 dan Noralina Anum, 19, hanya cedera ringan.

Saiful berkata, dia terkilan kerana tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan arwah ibunya sebaliknya hanya mampu melihat ibunya mengerang kesakitan di tempat duduk bahagian hadapan.
Katanya, sejurus kemalangan, dia terus keluar dari kereta bagi memeriksa keadaan ibu dan bapa serta dua adiknya yang turut mengalami cedera ringan.