Ibu tabah jaga anak buta, lembam – Sinar Harian


Ibu tabah jaga anak buta, lembam

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2012
Ibu tabah jaga anak buta, lembam
Wan Salman (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Robiatul Adawiyah (tiga, kanan) yang ditemani ibunya, Ramlah (dua, kanan).

JENGKA – Walaupun sudah berusia 57 tahun, seorang ibu tidak pernah jemu menjaga kebajikan anaknya yang buta dan lembam.

Ibu terbabit, Ramlah Bakar berkata, walaupun anaknya, Robiatul Adawiyah, 17, berkeadaan demikian, dia tidak sedikit pun rasa terbeban untuk membesarkan anaknya itu.

“Walaupun sudah berusia 17 tahun, anak saya ini masih memerlukan perhatian saya untuk melakukan kerja-kerja sehariannya seperti mandi, makan dan memakai pakaian.

“Walaupun sudah beberapa kali diajar untuk berdikari, namun anak saya seperti sukar untuk mempelajarinya, justeru segala urusan dirinya dilakukan saya,” katanya.

Biarpun begitu, Ramlah bersyukur kerana sejak setahun lalu anaknya itu sudah tidak perlu menggunakan lampin lagi.

“Sekurang-kurangnya di sudah tidak memerlukan lampin, malah sudah pandai untuk membuang air di tandas,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 111 orang kelainan upaya (OKU), 95 warga emas berusia 75 tahun ke atas dan 94 orang pesakit kronik menerima sumbangan berjumlah RM200 disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Menurut Wan Salman, sebanyak RM60,000 disalurkan untuk golongan terbabit yang menetap di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Jengka bagi membantu meringankan beban mereka.