Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000 – Harian Metro


Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mendera anak lelakinya berumur lapan tahun dengan merotan dan meletakkan tangan mangsa di atas api dapur, tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas Lai Suk Phing, 38, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas tuduhan dibacakan.
Beliau juga memerintahkan Lai dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda.

 

Dia didenda RM15,000 bagi setiap tuduhan pertama dan kedua serta RM4,000 bagi tuduhan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.
Jurujual itu didakwa mendera anak lelakinya Tham Ming Tong dengan merotan paha mangsa kira-kira enam kali dan kira-kira enam kali di kedua-dua belah peha mangsa dan meletakkan bahagian belakang tangan mangsa di atas api dapur.

Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000 – Bernama


Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000

2011/06/27

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan mendera anak kandung lelakinya berusia lapan tahun pada November tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lai Sok Ping, 37, menukar pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarkan setahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

Pada prosiding pagi tadi, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu. Bagaimanapun tertuduh menukar pengakuan bersalahnya pada sebelah petang.

Bagi pertuduhan pertama, Lai dikenakan denda RM15,000 kerana merotan kedua-dua paha Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di No.18A, Jalan Klang off Jalan Sungai Besi, di sini, pada 10.30 malam, 27 November 2010.

Wanita itu yang bekerja sebagai promoter jualan, turut dikenakan denda RM15,000 kerana meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, Lai didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Atas tuduhan ketiga, Lai turut didenda RM4,000 kerana membiarkan kanak-kanak tersebut tanpa pengawasan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Lai diwakili oleh peguam Wan Azmir Wan Majid manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias. – BERNAMA