Ibu tunggal mahu semula tiga anak – Metro


Ibu tunggal mahu semula tiga anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Ibu tunggal, Noor Hamidahwati Abdul Hamid, 31, berjanji melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bagi menjaga empat anaknya sebaik mungkin sekiranya tiga anaknya yang kini mendapat perlindungan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipulangkan.

Hamidahwati atau lebih mesra dengan panggilan Hamidah berkata, dia berharap diberi peluang menjalani kehidupan bersama anak-anaknya dan belajar daripada kesilapan lalu.
Menurutnya, dia bercadang menjalankan perniagaan menjahit baju di rumah bagi membolehkannya meluangkan lebih masa dengan anak berbanding di tempat kerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.

 

“Saya ingin menumpukan perhatian kepada anak sekiranya mereka dibenarkan tinggal bersama saya selepas ini.
“Mungkin sebelum ini saya terdesak untuk bekerja lebih masa hingga gagal menguruskan mereka, namun saya berjanji masalah sama tidak timbul pada masa depan,” katanya.
Hamidah berkata, dia memasang impian untuk membesarkan anaknya sebaik mungkin supaya memiliki sahsiah mulia selain berguna kepada masyarakat.

 

 

Menurutnya, dia tidak sabar untuk memikul tanggungjawab itu dan yakin mampu mewujudkan keluarga bahagia.
“Hanya buat masa ini, saya masih bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang.

 

“Saya bercadang menjalankan perusahaan menjahit secara kecil-kecilan di rumah dan meminta bantuan sekiranya ada pihak yang sanggup menaja mesin jahit,” katanya.
Sementara itu, pegawai JKM Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertemu ibu tunggal itu bagi mengetahui masalah dihadapinya bagi membantu ibu tunggal terbabit.
“Kami akan bertemu dengannya esok (hari ini) bagi mengetahui lebih lanjut tentang masalah dialaminya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan rayuan seorang ibu tunggal supaya JKM memulangkan semula tiga anaknya.
Dia mendakwa rela memberi anak makan nasi berlauk kicap setiap hari daripada melihat mereka membesar dalam keadaan serba kekurangan di rumah perlindungan JKM di Kuantan, Pahang.
Hamidah dipetik sebagai berkata, tiga anaknya tidak dijaga dengan baik sejak ditempatkan di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak kelolaan JKM sejak setahun lalu.
Tiga anaknya yang mendapatkan perlindungan di situ ialah anak kedua, Muhammad Imran Hakim Abdullah, 9, Nur Fatin Nadiah, 7, (ketiga) dan bongsu, Nur Hamzah Nadiah, 5, manakala anak sulungnya, Nur Aini Nadirah Abdullah, 11, tinggal bersamanya.