Remaja kaki cabul ditahan – Utusan


Remaja kaki cabul ditahan

Oleh ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my

Suspek dipercayai mencabul.

KUCHING 16 Jan. – Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencabul kehormatan beberapa pelajar di atas jejantas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pending di sini sejak Oktober tahun lalu.

Suspek berusia 17 tahun ditahan ketika berada di atas jejantas sama oleh pengawal keselamatan sekolah tersebut bersama beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kira-kira pukul 7 pagi ini.

Difahamkan, suspek sebelum ini telah beberapa kali mencabul kehormatan pelajar perempuan dengan cara memeluk dan menanggalkan seluar mangsa.

Mangsa kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan sekolah namun usaha menangkapnya gagal kerana suspek bijak menyembunyikan diri.

Kegiatan tidak bermoral suspek dikatakan berterusan sehingga tengah hari semalam apabila seorang lagi pelajar perempuan mendakwa dicabul di lokasi sama.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130117/je_01/Remaja-kaki-cabul-ditahan#ixzz2IBcQ5qXy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pengusaha Shell rai 50 pelajar tahfiz berbuka – Harian Metro


Pengusaha Shell rai 50 pelajar tahfiz berbuka
JITRA: Pengusaha Shell Wilayah Utara Kedah/Perlis (Team AO5) meraikan 50 pelajar Maahad Tahfiz Al-Munir Bukit Pinang dalam majlis berbuka puasa di Darulaman Suite, Darulaman Golf & Country Club, di sini, kelmarin.

Pengerusinya, Rusdi Sulaiman, berkata program itu menjadi acara tahunan mereka setiap kali tibanya Ramadan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, dengan adanya majlis berbuka puasa itu juga, secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara pengusaha Shell dengan pelajar tahfiz diraikan.

Katanya, pelajar turut menerima sumbangan berupa duit raya dan juga hamper mengandungi makanan harian.
Sumbangan dikongsi bersama itu diharap membawa keberkatan kepada kedua pihak, sekali gus meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan.
“Kita juga bukan sekadar menumpukan pada Ramadan bagi mengadakan aktiviti ini, sebaliknya mengadakan pelbagai program membabitkan anggota keselamatan seperti polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta rukun tetangga di kawasan setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06

‘Tak ingat nombor ayah’ – Metro


‘Tak ingat nombor ayah’
Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Saya tak ingat nombor telefon bapa saya,” itu antara alasan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin hingga 4 pagi semalam membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu, tujuh lagi lelaki berusia 20-an hingga 48 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, siasatan mendapati remaja itu menunggang motosikal berseorangan tanpa lesen dari rumahnya di Meru, Klang kira-kira 35 kilometer dari sini semata-mata untuk berseronok di bandar raya ini. Katanya, remaja terbabit berpura-pura tidak tahu nombor telefon bimbit bapanya kerana tidak mahu bapanya tahu dia ditahan polis. Sementara itu, dalam operasi sama seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan kerana disyaki cuba menyeludup diesel untuk dijual di pasaran gelap.

“Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan dadah. Kami turut merampas lori yang digunakan untuk menyeludup itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30

NUTP syor bendung segera remaja samseng – Berita Harian


NUTP syor bendung segera remaja samseng
2012/06/20

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan remaja samseng menyerang sekolah supaya kejadian buruk seumpama itu tidak berulang.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata usaha untuk mengekang kegiatan seperti itu daripada berulang tidak hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab sama harus dipikul ibu-bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka.
“Isu mengenai keselamatan di sekolah ini sememangnya sudah lama kita bincangkan mengenainya termasuk ada cadangan untuk menempatkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah bagi menjaga keselamatan pelajar.

“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.

Pelajar ponteng kena baca al-Quran – Berita Harian


Pelajar ponteng kena baca al-Quran

2012/02/07

KOTA BHARU: Seramai 29 pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah di jajahan ini yang ditahan kerana ponteng, semalam diarah mengikuti kaunseling dan membaca al-Quran.

Semua pelajar terbabit ketika ditahan masih beruniform dan mereka dipercayai keluar tanpa pengetahuan sekolah, serta ada sudah membawa pakaian lain untuk menukarnya.

Kebanyakan yang ditahan dipercayai keluar untuk membeli dan menghisap rokok di tempat tersembunyi yang sering kali dijadikan `port’ ponteng bersama rakan lain.

Pengarah Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang, berkata semua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot di sini, untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun itu ditahan di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Kesemua pelajar menjalani ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengesan sama ada mereka mengambil dadah.

“Ibu bapa pelajar juga dipanggil untuk datang bagi melihat sendiri keadaan anak mereka supaya tahu apa yang dilakukan pelajar terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hussin berkata pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu yang dipanggil ‘Ops Ponteng” itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), AADK serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).