Guru didik generasi intelek, berakhlak – Berita Harian


Guru didik generasi intelek, berakhlak

2013/05/17 – 05:03:42 AMCetakEmel Kawan
Islam mengajar umatnya memandang tinggi jasa dan pengorbanan guru yang sangat besar baktinya dalam membangun serta mendidik generasi berpendidikan dan berakhlak mulia. Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun bertujuan meraikan pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka.

Mereka lakukan demi melahirkan generasi berilmu pengetahuan dalam membina sebuah negara yang maju dan makmur. Sesungguhnya ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, Allah SWT mewajibkan kita menuntut ilmu.

Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah)

Peranan guru

Guru memainkan peranan penting menyebarkan ilmu pengetahuan. Daripada hasil usaha merekalah, lahirnya bangsa yang berilmu dan berpengetahuan luas, tugas mereka tidak terbatas hanya mengajar di bilik darjah, malah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk akhlak masyarakat.

Yakinlah tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia pasti dalam kegelapan kerana ilmu itu cahaya menerangi kehidupan. Bayangkanlah tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.

Paling penting, dengan ilmu sahajalah seseorang itu akan terselamat daripada tipu daya syaitan. Firman Allah SWT: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah al-Baqarah, ayat 269)
Tugas guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak didiknya, malah lebih penting ialah membina negara bangsa yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri dan perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

Rasulullah SAW terkenal sebagai negarawan bersemangat patriotisme yang sentiasa menyeru umatnya cintakan negara. Rasulullah SAW sendiri sebagai pemimpin umat dan ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya.

Baginda menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Inilah contoh pimpinan sebenar kerana bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi manusia berguna, bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidupnya menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara kerana inilah jalan hidup dituntut Allah.

Sudah pasti dalam membina negara bangsa ia berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih kepada negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, ulama bersepakat mengatakan taat kepada pemerintah adalah fardu, manakala menderhaka satu dosa besar.

Cerminan masa depan negara

Justeru, semangat membina negara bangsa khususnya kepada pelajar adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Jika mereka tidak dididik dan diasuh dengan betul, pastinya sesebuah negara itu akan menempah kehancuran.

Ingatlah bahawa amanah dan peranan guru bukan hanya sekadar mengajar, malah turun berperanan untuk melahirkan pelajar yang hebat inteleknya, mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang jitu. Itulah antara perkara yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan – Bernama


Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan

23 April 2013
Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani plak pada majlis perasmian Kolej Komuniti Seberang Jaya di Permatang Pauh. – Foto Bernama

BUTTERWORTH – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berganjak daripada mempertahankan Dasar Pendidikan Negara selagi masyarakat perlu kepada kemudahan pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen berterusan kerajaan sejak dari dulu itu adalah semata-mata untuk memastikan setiap warga Malaysia tidak terlepas daripada memperoleh peluang untuk terdidik dengan ilmu pengetahuan yang berguna.

Menteri Pelajaran itu berkata dalam arus dunia yang makin mencabar, kerajaan sedar tidak ada yang lebih tinggi untuk seseorang itu dihormati selain ketinggian ilmu pengetahuan yang diperoleh.

“Maka, sejak dahulu lagi kita dapat lihat setiap perdana menteri memberi tumpuan khusus pada bidang pendidikan, tujuannya adalah untuk meningkatkan darjat rakyat dengan  membekalkan ilmu pengetahuan kepada mereka tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

“Komitmen kerajaan BN menyediakan segala keperluan supaya setiap warga menjadi anak-anak yang terdidik dengan ilmu pengetahuan perlu dihargai kerana kita sedar tuntutan kepada masyarakat berilmu adalah lebih hebat di masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Timbalan Perdana Menteri berkata sedar negara kini berada di ambang pembangunan luar biasa dan akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi tujuh tahun lagi, kerajaan BN memperuntukkan RM36 bilion kepada sektor pendidkan sebagai usaha menyediakan modal insan yang cemerlang bagi memenuhi tuntutan sebuah negara maju.

Katanya lebih 10,000 sekolah juga telah dibina dengan keupayaan menampung 5.4 juta pelajar, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada 465,000 guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara ketika ini.

“Jadi, dalam tempoh untuk sampai ke tahun 2020 dan bagi memastikan usaha serta agenda yang dirancang dan sedang dilaksanakan berjalan lancar kita perlu mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya dan disambut laungan kerajaan BN oleh tetamu yang memenuhi tiga khemah panjang yang disediakan.

Muhyiddin berkata dalam usaha memenuhi seluruh kehendak masyarakat, termasuk di Sabah dan Sarawak tentu ada sedikit kelemahan di pihak kerajaan tetapi ia telah ditampung dengan pelbagai manfaat yang diperoleh serta dinikmati rakyat kini.

Beliau berkata aspek pendidikan yang baik, keamanan terjaga dan keharmonian kaum yang terbela di bawah kerajaan BN tidak harus diganti dengan mencuba sesuatu yang baharu yang belum tentu sepertimana yang diinginkan.

“Bila semua sudah baik dan berjalan lancar, kenapa perlu ditukar, kita juga dapat lihat gelombang biru berada di mana-mana di Pulau Pinang dan arus itu dijangka terus meningkat dan yakin akan terus memuncak pada (hari pengundian) 5 Mei depan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pembangunan dan infrastruktur SMK Desa Murni adalah amat  luar biasa yang perlu dilihat penduduk setempat sebagai sumbangan besar kerajaan pusat kepada mereka.

Dibina dengan kos RM18.2 juta pada pertengahan tahun 2007, SMK Desa Murni yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kepala Batas merupakan antara bangunan sekolah yang tertinggi di negara ini.

Mula beroperasi pada Ogos 2010, sekolah itu mempunyai satu blok sembilan tingkat, satu blok tujuh tingkat dan satu blok tiga tingkat yang dilengkapi kemudahan lif. – Bernama

‘Saya biar anak berjaya dahulu’ – Metro


‘Saya biar anak berjaya dahulu’

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERDANG: Prinsip pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi pegangan Penolong Pengarah Bahagian kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Roziah Idrus, 54, membuatkannya terus gigih untuk menghabiskan pengajian dan layak memperoleh Sarjana Pembangunan Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Walaupun sudah mempunyai empat orang cucu, namun Roziah tidak pernah menganggap usia sebagai halangan untuknya menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan taraf kerjayanya ke peringkat yang lebih tinggi.
Roziah berkata, suami serta anak-anak menjadi pendorong utamanya untuk menyambung pengajian dan banyak membantu dalam mendapatkan bahan rujukan sepanjang dua tahun pengajiannya.

 

Katanya, dia tidak berkesempatan sebelum ini untuk menyambung pelajaran disebabkan tugasan kerja serta rumah tangga dan membuat keputusan untuk menangguhkan hasratnya itu buat seketika.
Menurutnya, rakan sekuliah banyak memberikan bantuan dan kebanyakan daripada mereka dianggap seperti anak sendiri membolehkannya dapat menyesuaikan diri dengan suasana kampus.
“Saya biar anak berjaya dahulu, seorang sudah menjadi jurutera Petronas di India, dua orang lagi doktor dan seorang lagi sedang menyambung pengajian dalam bidang akaun di United Kingdom.

 

 

“Bila semua sudah berjaya, barulah saya berasa senang hati meneruskan pengajian dalam Sarjana dan kemungkinan menyambung lagi pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah selepas ini walaupun sudah bersara dari kerjaya,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16

Galak guru jadi imam, bilal – Sinar Harian


Galak guru jadi imam, bilal

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Galak guru jadi imam, bilal
Sebahagian imam dan bilal yang hadir pada Program Multaqa Imam dan Bilal Masjid anjuran Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu bertempat di Dewan Auditorium Jaheat.

KUALA TERENGGANU – Guru agama dan kakitangan kerajaan di negeri ini digalakkan menjadi imam dan bilal secara sukarela atau sambilan bagi mengatasi masalah ketiadaan khidmat tersebut sekiranya imam dan bilal tetap mengalami keuzuran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ramai kalangan guru sekolah dan kakitangan kerajaan yang tidak boleh memberi komitmen tetapi berminat dan bersedia berkhidmat sebagai imam atau bilal.

Namun katanya ada kalangan mereka ini memang telah memberi khidmat walaupun tidak secara formal.

“Imam dan bilal atau pengerusi masjid disarankan dapatkan khidmat orang agama sekitar yang terdiri daripada kalangan guru agama dan kakitangan kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan imam dan bilal.

“Nama mereka boleh diberikan kepada Pejabat Agama supaya dapat dibuat pelantikan secara formal dan memberi sijil tauliah sebagai imam dan bilal sukarela atau sambilan.

“Saya percaya ada kalangan mereka ini berminat tetapi tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya seperti mana imam dan bilal lantikan tetap,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, mereka tiada halangan sekiranya khidmat mereka diperlukan pada bila-bila masa secara sukarela sekiranya imam atau bilal tetap dalam keuzuran.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Masjid daerah Kuala Terengganu di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat).

Hadir sama, Pengarah Jaheat, Samsiah Awang dan juga Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh.

Program yang dianjurkan  Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu itu disertai 300 peserta.

Mengulas lanjut, Khazan berkata, imam dan bilal digalakkan meningkatkan ilmu pengetahuan dengan mengikuti kelas dan kursus supaya kefahaman lebih meluas dan mendalam dalam sesuatu perkara  untuk disampaikan kepada orang ramai.