CUEPACS kemuka cadangan kenaikan elaun penjawat awam – Berita Harian


CUEPACS kemuka cadangan kenaikan elaun penjawat awam

2013/02/13 – 01:22:46 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: CUEPACS dijangka mengemukakan beberapa cadangan berhubung kenaikan elaun penjawat awam dalam pertemuan kesatuan sekerja itu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa di Putrajaya, hari ini.

Antaranya mengenai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Sara Hidup (COLA), tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebagai contoh CUEPACS mencadangkan supaya COLA diselaraskan kepada RM300, manakala ITP pula ditingkatkan daripada RM180 kepada RM450 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Omar berkata, mengenai tuntutan penginapan pula, pihaknya berharap ia akan ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM120 ketika ini, kerana kebanyakan hotel sudah menaikkan harga.

“Jumaat lalu, beliau (Ali) mengumumkan lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji semula dan memandangkan kepemimpinan tertinggi CUEPACS mengadakan pertemuan bersamanya esok (hari ini), maka kita akan turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.

“Kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula perkara (elaun) itu, menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melupakan soal kebajikan penjawat awam,” katanya kepada BH, semalam.

Tujuan lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri.
Omar berkata, selain itu CUEPACS juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum serta kadar kenaikan (gaji) yang bakal diperoleh mereka.

“Sebelum ini dimaklumkan bahawa mereka mungkin menerima kenaikan antara dua hingga lima peratus, bagaimanapun ia hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

“CUEPACS berharap kenaikan itu membabitkan semua kakitangan daripada kumpulan terbabit yang turut menyumbang kepada perkhidmatan awam. Kita juga akan berbincang mengenai peranan segelintir ketua jabatan yang kadang-kala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja,” katanya.

Kerajaan Tunai 18 Tuntutan Cuepacs Sejak 2007 – Omar – Bernama


Kerajaan Tunai 18 Tuntutan Cuepacs Sejak 2007 – Omar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 permohonan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ditunaikan kerajaan sejak 2007, menunjukkan kerajaan prihatin terhadap penjawat awam, kata Presidennya Datuk Omar Osman.

“Antara permohonan penting yang berjaya diselesaikan kerajaan ialah pelarasan gaji sebanyak dua kali, lanjutan usia pencen, pencen minimum, kenaikan elaun sara hidup, penambahbaikan gred perkhidmatan, cuti bersalin 90 hari serta pelbagai insentif yang lain.

“Ini merupakan bukti kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan 1.4 juta penjawat awam negara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Cuepacs Bersama Media di sini, Selasa.

Katanya kejayaan merealisasikan tuntutan itu menjadi pembakar semangat kepada penjawat awam serta sebagai pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan produktiviti mereka.

Cuepacs sedang mengusahakan beberapa lagi tuntutan antaranya kenaikan gaji penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksimum dan pelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan, katanya.

“Selain itu kita juga menanti pengumuman skim baru oleh suruhanjaya khas transformasi perkhidmatan awam dan Jabatan Perkhimatan Awam bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia setelah pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam,” katanya.

Pada majlis itu Omar turut menyampaikan sumbangan Cuepacs berjumlah RM10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad, yang diterima wakil media Ketua Unit Foto Bernama Mustaza Mohd Yusoff.-BERNAMA

Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula – Bernama


Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula

14 November 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

“Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

“Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.

“Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. – Bernama

CUEPACS harap kerajaan tambah imbuhan tetap perumahan penjawat awam dalam belanjawan – Bernama


CUEPACS harap kerajaan tambah imbuhan tetap perumahan penjawat awam dalam belanjawan

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

“Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baru, timbul masalah yang mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah,” katanya. – BERNAMA

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun – Berita Harian


Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.

Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan. Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.

“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.

Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.

Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.

“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.