Impian 95% murid celik huruf hampir tercapai – Harian Metro


Impian 95% murid celik huruf hampir tercapai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan melihat murid tahap satu dan dua celik huruf selain mampu menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira semakin menjadi kenyataan.

Ini berdasarkan pencapaian cemerlang inisiatif literasi dan numerasi di bawah program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) yang mencapai sasaran lebih awal daripada jangkaan kerajaan.
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Tengku Azian Tengku Shahriman berkata, pihaknya sebelum ini berpendapat sasaran 95 peratus murid celik huruf hanya dicapai menjelang hujung tahun.

 

“Bagaimanapun, setakat separuh pertama tahun ini (berakhir Jun) sudah 90 peratus dicapai untuk literasi Linus, manakala kadar numerasi Linus sudah memenuhi sasaran, 95 peratus. “Ini memberi ruang untuk pertumbuhan peratusan yang lebih besar berbanding sasaran tahunan kita….satu perkembangan sangat baik,” katanya ketika membentangkan laporan terkini Inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) separuh tahun pertama 2011, di sini, semalam.
Laporan diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), membabitkan enam NKRA termasuk Mengurangkan Jenayah, Membanteras Rasuah, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar serta Mempertingkat Pengangkutan Awam di Bandar.