Merempat belakang medan selera – Metro


Merempat belakang medan selera

 31  3 Google +1  1  0

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Ramadan yang disambut umat Islam hari ini sepatutnya membawa kegembiraan, namun ia tidak dirasai empat beranak yang terpaksa hidup merempat di belakang sebuah medan selera di Lapang Besar, di sini, selepas rumah sewa didiami mereka selama 22 tahun terpaksa dikosongkan untuk projek pembangunan.

Itu realiti terpaksa ditempuh Rosli Abdul Ghani, 49, dan isterinya, Salbiah Mohammid, 47, yang sudah sebulan hidup bergelandangan di belakang medan selera berkenaan kerana ketiadaan tempat tinggal selain tidak mampu mencari rumah baru akibat kesempitan hidup.

Lebih memilukan anak pasangan itu, Amirul Azhar, 14, dan Shamil Al Muhaimi, 8, masing-masing belajar di Sekolah Pendidikan Khas Indera Mahkota dan Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, di sini, sudah dua minggu tidak ke sekolah kerana yang masalah dihadapi ibu bapa mereka.

Kesedihan tidak dapat disembunyikan dari wajah empat beranak itu yang apabila terpaksa menempuh kehidupan yang tidak pernah mereka minta apatah lagi pada Ramadan ini.

FotoROSLI sekeluarga hidup serba daif di belakang medan selera.

Rosli yang mencari rezeki sebagai nelayan berkata, dia hanya mahukan rumah yang selesa untuk anak dan isteri menjalani ibadat puasa dengan sempurna.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10

Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS – Sinar Harian


Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013
Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS
Tiong Lai meninjau pelan pembangunan Bandar KotaSAS termasuk tapak SRJK (C) Panching yang diserahkan kepada pemegang amanah sekolah itu, semalam.

KUANTAN – Lima buah sekolah dirancang akan dibina dalam kawasan Bandar Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), Indera Mahkota,  di sini, bagi menampung populasi penduduk yang dijangka mencecah 45,000 orang pada masa akan datang.

Berdasarkan perancangan itu, tapak seluas 21.6 hektar diperuntukkan bagi tujuan tersebut membabitkan dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah kelulusan dan peruntukan Kementerian Pelajaran (KPM).

Bagi merealisasikan cadangan itu, tapak seluas 3.2 hektar diserahkan untuk  pembinaan sebuah SJKC baru di KotaSAS bagi menggantikan SRJK (C)  Panching yang  kini mengalami masalah kekurangan pelajar saban tahun.

Penyerahan disempurnakan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pemegang Amanah SRJK (C) Panching diwakili Datuk Ti Lian Ker dan KotaSAS Sdn Bhd  melalui Pengarah Eksekutifnya, Tengku Datuk Zubir Tengku Datuk Ubaidillah disaksikan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.

Tiong Lai berkata, penyerahan tapak sekolah itu penting bukan sahaja kepada masyarakat Cina, tetapi turut membuka peluang kepada semua penduduk Bandar KotaSAS dan kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka menerima pendidikan di situ, kelak.

“Paling penting, dengan adanya sekolah baru yang lebih selesa, operasi SRJK (C)  Panching yang kini menghadapi masalah kekurangan pelajar dapat dipindahkan ke sini.

“Barisan pemegang amanah akan berusaha mendapatkan kelulusan dan peruntukan daripada KPM bagi pembinaan sekolah baru itu, selain kelulusan pemindahan SRJK (C) Panching ke Bandar KotaSAS ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Tiong Lai berkata, pihaknya menjangkakan peruntukan itu akan diluluskan KPM melalui peruntukan pelan pusingan keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), tahun depan.

“Kita minta kelulusan bagi tujuan ini dipercepatkan dan  proses pembinaannya dijangka bermula tahun depan secara berperingkat mengikut keperluan semasa bergantung kepada populasi penduduk KotaSAS dan kawasan sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai juga akan mempertimbangkan kelulusan pembinaan  sebuah klinik dalam kawasan Bandar KotaSAS bagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pada masa akan datang.

Cabul dalam tandas – Sinar Harian


Cabul dalam tandas
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Jun 2012
KUANTAN – Seorang warga Nepal dihadapkan di Mahkamah Trafik, di sini, semalam selepas menghadapi pertuduhan mencabul seorang remaja bawah umur di dalam tandas sebuah restoran pada Mac lalu.

Tertuduh, M Arjun Raja yang juga pekerja kilang di Indera Mahkota didakwa menggunakan kekerasan terhadap mangsa berusia 17 tahun di dalam tandas sebuah restoran di Jalan Pasar Kuantan dengan memeluk badan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 11 Mac lalu kira-kira jam 9.45 malam dan ditangkap pada hari kejadian.

Tertuduh boleh disabitkan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Majistret, Nurunaim Abdullah menetapkan tarikh sebutan kes pada 11 Julai depan, pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin.

Arjun juga dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 selepas menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki lain pada September tahun lalu.

Tertuduh, Zaizam Mustaffa, 36, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada seorang lelaki berusia 28 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Cherating pada 29 September tahun lalu, kira-kira jam 7.45 malam.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 2 Oktober tahun sama. Zaizam boleh dikenakan di bawah Sesyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Tiga remaja didakwa merompak – Sinar Harian


Tiga remaja didakwa merompak
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
KUANTAN – Tiga remaja termasuk dua yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang remaja laindi tepi padang, Lorong IM2/78, Bandar Indera Mahkota di sini, 14 Jun lalu.

Amierul Muhayat Saiful Amran, 19 dari Bukit Istana di sini bersama dua rakannya berusia 17 dan 18 tahun masing-masing dari Pekan dan Indera Mahkota di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Samsuddin di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga remaja ini didakwa secara bersama melakukan rompakan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun di lokasi itu kira-kira jam 11 malam, 14 Jun lalu.

Dalam kejadian itu ,mereka bertiga bertindak merampas sebuah telefon bimbit bernilai RM500 milik mangsa.

Mereka juga didakwa turut menggunakan sebilah parang dalam rompakan tersebut sehingga boleh mendatangkan ketakutan, kecederaan dan menyebabkan kematian kepada mangsa.

Ekoran kesalahan jenayah yang dilakukan itu, ketika-tiga rakan terbabit dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan seterusnya kes tersebut.