Ibu bapa diminta tidak terpedaya – Sinar Harian


Ibu bapa diminta tidak terpedaya

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Januari 2013
Ibu bapa diminta tidak terpedaya
K Anjadevi, 52, (kiri) dari Kampung Sungai Yu lega menerima sumbangan RM100 untuk menampung perbelanjaan persekolahan empat cucunya.

TANJONG KARANG – Ibu bapa diminta tidak mudah terpedaya dengan helah pembangkang berhubung bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan termasuk Bantuan Persekolahan RM100 yang kini disalurkan di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihak sekolah perlu memastikan supaya bantuan RM100 itu diberikan sepenuhnya kepada murid-murid tanpa sebarang potongan.

Menurutnya, isu bayaran yuran dikenakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) bukan untuk kerajaan tetapi membiayai aktiviti dirancang demi pembangunan pendidikan anak murid.

“Tidak timbul isu yang mendakwa yuran berkenaan dinaikkan selepas kerajaan persekutuan memberikan bantuan RM100 kepada murid.

“Ini satu dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana yuran PIBG bukan untuk tabung kerajaan sebaliknya untuk aktiviti persatuan berkenaan di sekolah masing-masing.

“Perkara ini perlu diterangkan, kita tidak mahu ibu bapa keliru dan pihak tidak bertanggungjawab putar belit isu ini sedangkan yuran persekolahan memang diberikan percuma oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan IBu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Sungai Terap dan Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 Parlimen Tanjong Karang, di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, pembangkang tidak akan bersetuju dengan program dan bantuan diberikan dan akan buat macam-macam tuduhan seperti ‘tangan kanan memberi, tangan kiri ambil semula’.

Beliau turut meminta semua pihak supaya berhati-hati terutamanya mereka yang menguruskan bantuan berkenaan kepada rakyat, agar mesej dan tujuan utama kerajaan persekutuan mencapai sasaran iaitu bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Tuduhan dibuat sangat tidak masuk akal, jadi setiap mesej bantuan yang kita berikan perlu jelas dan mengikut ketetapan yang dibuat.

“Seperti bantuan persekolahan ini, kita mahu ia sampai terus kepada murid-murid dan ibu bapa tanpa perlu dipotong hanya dengan alasan mereka mempunyai tunggakan,” katanya.

Muhyiddin: Tiada sekolah jenis kebangsaan ditutup walau pelajar sedikit – Bernama


Muhyiddin: Tiada sekolah jenis kebangsaan ditutup walau pelajar sedikit

7 Jun 2012
HULU SELANGOR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi pendirian kerajaan bahawa tiada mana-mana sekolah jenis kebangsaan yang akan ditutup walaupun bilangan pelajarnya adalah kecil.

Timbalan Perdana Menteri berkata dasar yang dipegang kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama itu tidak akan berubah kecuali masyarakat di tempat berkenaan memutuskan bahawa sekolah itu perlu berpindah.

“Sebahagian besar sekolah-sekolah Tamil menghadapi masalah sama iaitu kekurangan murid di mana ada sekolah yang hanya mempunyai 10 orang murid dengan tujuh guru.

“Tetapi kerana dasar kerajaan, kita tidak akan tutup kecuali masyarakat berpendapat tempat itu sudah tidak sesuai dan perlu berpindah ke tempat lain, maka kerajaan akan benarkan mereka pindah.

“Jadi kalau ada orang kata bahawa ada niat kerajaan tak melayan permintaan sesetengah pihak dengan tujuan nak menutup sekolah-sekolah tertentu, ini tidak betul,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Bukit Minyak di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan.

Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak menyimpan niat sebegitu sebaliknya setiap permintaan untuk bangunkan projek sedemikian dinilai berdasarkan kepentingan semasa penduduk di sesuatu kawasan kerana pembinaan sekolah memerlukan peruntukan yang besar.

Katanya sebagai Menteri Pelajaran dan pimpinan dalam kerajaan, beliau, khususnya Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil kira setiap permohonan bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata walaupun sistem pendidikan negara menggunakan bahasa Malaysia atau Melayu sebagai bahasa pengantar utama namun ia tetap mengiktiraf kepentingan bahasa-bahasa yang menjadi bahasa kaum lain untuk dipertahankan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan BN tidak akan sama sekali mendiskriminasi perkara berkaitan pendidikan, malah pertambahan sekolah jenis kebangsaan membuktikan kerajaan mengiktiraf hak setiap kaum mempelajari dan mempertahankan bahasa ibunda masing-masing.

“Inilah yang dikatakan 1Malaysia, satu keistimewaan negara ini yang kita semua hargai di mana pendirian dan keputusan kerajaan mengenainya perlu diiktiraf dan oleh sebab itulah hari ini kita dapat lihat sekolah-sekolah seperti itu terus dibina oleh kerajaan.

“Oleh kerana itulah sehingga hari ini kerajaan BN masih mempertahankan dasar ini dan tidak sama sekali ada niat untuk menutup mana-mana sekolah sekalipun, malah Menteri Pelajaran juga tidak diperuntukkan dengan kuasa untuk menutup mana-mana sekolah,” katanya.

Berhubung pembinaan sekolah di atas tapak seluas 0.8 hektar sumbangan Kumpulan UMW Holdings Berhad bernilai RM2.5 juta itu, Muhyiddin mengharapkan agar pembinaan sekolah itu akan memberi lebih keselesaan dan peluang pendidikan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Sambil mengharapkan projek itu disiapkan kurang daripada dua tahun, beliau juga mahu masyarakat, khususnya kaum India sedar bahawa hanya kerajaan BN yang mampu menunaikan setiap janji bukannya kerajaan negeri diterajui Parti Keadilan Rakyat yang hanya boleh menjanjikan ‘bulan dan bintang’ tanpa ada keupayaan menunaikannya.

“Dengan keupayaan kita menunaikan janji dan menyelesaikan masalah, saya yakin masyarakat India sudah tahu mana parti yang boleh membantu mereka,” katanya sambil disahut laungan Barisan Nasional oleh lebih 500 penduduk yang hadir. – Bernama

Syor sumbangan PIBG dikecuali cukai – Berita Harian


Syor sumbangan PIBG dikecuali cukai
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
2012/02/05

MUHYIDDIN  membakar sate jualan Maznani Ahmad di Pasar Malam Taman Medan Baru, semalam. Beliau meluangkan masa melawat peniaga di tapak itu sempena program turun padang ‘Sepetang Bersama TPM’ anjuran UMNO dan Barisan Nasional Petaling Jaya.

MUHYIDDIN membakar sate jualan Maznani Ahmad di Pasar Malam Taman Medan Baru, semalam. Beliau meluangkan masa melawat peniaga di tapak itu sempena program turun padang ‘Sepetang Bersama TPM’ anjuran UMNO dan Barisan Nasional Petaling Jaya.

Muhyiddin rujuk kepada PM galak sektor swasta hulur dana

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengenai cadangan memberi pengecualian cukai kepada penyumbang dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berpendapat langkah itu boleh menggalakkan lebih banyak sektor swasta dan masyarakat menyumbang kepada PIBG.

Beliau berkata, langkah itu membantu menambah baik kualiti pendidikan di sekolah, sekali gus mengurangkan beban kerajaan.

“Ketika ini, sumbangan itu tidak menerima pengecualian cukai,” katanya pada sidang media selepas bertemu warga pendidik, pesara guru dan pengerusi PIBG seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.

Perkara itu dicadangkan seorang wakil PIBG pada sesi dialog selama 15 minit mengenai sistem pendidikan negara.
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan peruntukan kementerian RM9.2 juta kepada tabung PIBG semua sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin meminta PIBG lebih komited membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri berkenaan.

Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja sukarela termasuk menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah berkenaan.

“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun. Ia terbukti apabila prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010.

“Saya percaya, kejayaan ini sedikit sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” katanya.

Ditanya tindakan kerajaan negeri mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, katanya, beliau kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab itu hanya atas alasan mahu mencairkan aset dan mengaut keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun diruntuhkan? Tak dengar pula nak diganti di mana.

“Dia (kerajaan negeri) kata nak diagihkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan. Kalau roboh bina baru tak apa tapi tak ada pun dengar begitu.

“Bagi saya ia satu perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan menyayat hati ramai rakyat Selangor,” katanya.

TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh – Utusan


TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri itu yang mengambil tindakan hanya untuk mencari keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun mahu diruntuhkan hanya kerana kalau dapat dibangunkan, dapat mencairkan aset dan mendapat untung. Tak dengar pula nak diganti di mana?

“Kerajaan negeri kata nak agih dan pindahkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Warga guru diminta terus beri sokongan – Utusan


Warga guru diminta terus beri sokongan

Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed bersama warga pendidik mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan di Kompleks YKK, Peringat, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri

 

KOTA BHARU 2 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lebih 500,000 warga pendidik di seluruh negara memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sokongan itu penting kerana pelbagai usaha telah dirancang oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat terutama umat Islam dapat dipertingkatkan.

Bagaimanapun, kata beliau, perancangan itu akan menjadi sia-sia jika kerajaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau tidak guru, siapa lagi kerana jumlah kita (guru) adalah sebanyak 500,000 orang dan inilah kekuatan utama kita. Saya tahu masing-masing mempunyai persepsi dan pegangan hidup dan sebagainya tetapi yang penting adalah soal memperkukuhkan masa depan negara.

“Lebih kukuh kedudukan kita, maka kita tidak diganggu-gugat kerana kalau kita tengok dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita telah memberi perhatian yang paling banyak dalam memajukan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 2,000 guru sempena Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.