Ingin anak berlari – Metro


Ingin anak berlari
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya teringin melihat dia merangkak, berjalan dan berlari, namun apakan daya dia tidak mungkin kembali normal,” begitu keluhan Fazilah Osman, 39, ibu kepada Mohd Farhan Aidil Roslan, 12, kanak-kanak malang yang lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya ketika berusia dua bulan.

Berikutan kejadian itu, Mohd Farhan kini hanya mampu terbaring sepanjang masa di rumah keluarganya di Taman Bertuah, Chemor selain perlu diberi penjagaan rapi seperti bayi.
Lebih malang, Mohd Farhan juga tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya mampu merengek jika mahukan sesuatu selain perlu dikawal kerana sering sawan sejak dua tahun lalu.

 

Fazilah berkata, dia tidak menyangka kejadian kira-kira 12 tahun lalu itu meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada anak keduanya itu.
Menurutnya, doktor turut mengesahkan anaknya itu mengalami kecederaan dalaman di bahagian otak sekali gus menyebabkan fungsi derianya lumpuh.
“Saya pernah membawanya rawatan terapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tetapi doktor pakar mengesahkan dia sukar pulih kerana kecederaan dalaman dialaminya.

 

 

“Doktor turut memaklumkan tidak mampu berbuat apa-apa untuk memulihkan kecederaan dialami Mohd Farhan menyebabkan saya reda dengan nasib menimpanya dan hanya berharap dia mampu pulih,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Aidilfitri oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) Cawangan Perak di sini, semalam.
Sumbangan disampaikan Ketua Takaful Ikhlas Wilayah Perak, Zainal Rahmat Md Zain. Beliau berkata, sehingga kini, dia berusaha merawat Mohd Farhan termasuk melakukan terapi ringan selain memberi makanan kesihatan tambahan kepada anaknya.

 

“Dia umpama bayi kecil sejak 12 tahun lalu menyebabkan saya terpaksa menjaganya termasuk menyediakan susu dan memakaikan lampin pakai buang.
“Saya reda dengan kejadian yang berlaku, namun berharap dia pulih,” katanya.
Fazilah berkata, Aidilfitri yang disambut setiap tahun umpama hari biasa baginya sekeluarga memandangkan anaknya itu hanya mampu terlantar setiap masa.
Katanya, dia sudah membeli baju Melayu dan pakaian baru untuk Mohd Farhan sempena Aidilfitri kali ini.
“Saya kini bergantung kepada pendapatan suami, Roslan Talib, 43, yang berniaga kecil-kecilan di pasar malam selain bantuan kewangan RM300 sebulan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.