Emak jadi ibu ayam – Metro


Emak jadi ibu ayam
Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Ibu durjana. Itu gelaran paling sesuai untuk seorang wanita yang menjadikan dua anak gadisnya berusia 16 dan 17 tahun sebagai hamba seks dengan melacurkan mereka sejak dua bulan lalu dengan alasan untuk menampung kehidupan.

Perbuatan terkutuk wanita berusia 35 tahun itu terbongkar apabila dia bersama teman lelakinya yang juga orang tengah dalam memperdagangkan tubuh dua beradik terbabit, dicekup dalam Ops Noda di sebuah hotel di Bayan Lepas, dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini pernah ditahan dan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak kerana melakukan perkara sama, namun dia dibebaskan Disember tahun lalu.

Nyata, dia rupa-rupanya masih belum insaf dan kali ini bersekongkol dengan teman lelakinya berusia 27 tahun untuk melacurkan dua anaknya dengan menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi mencari pelanggan.

Remaja insaf mahu kembali ke sekolah – Kosmo


Remaja insaf mahu kembali ke sekolah

 

Oleh LILY YEAN
lily.yean@kosmo.com.my

 

TIANG XIANG (dua dari kiri) meminta maaf kepada Chee Sin sambil diperhatikan Yoke Sim (kanan) dan Liew di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – “Saya sudah insaf, berilah saya peluang untuk kembali ke sekolah.”

Begitulah luahan seorang remaja berumur 13 tahun yang sering ponteng sehingga dia dibuang sekolah pada awal tahun ini.

Pelajar tersebut, Yen Tiang Xiang, sebelum ini belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) On Pong 2 di sini tetapi tidak memiliki sijil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana tidak mengambil peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, dia mahu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam tingkatan peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mewah di sini walaupun tidak mempunyai sijil berkenaan.

“Saya tahu saya telah melakukan kesilapan kerana merokok, minum arak dan ketagih bermain permainan video.

“Tapi kini saya sudah insaf, saya mahu kembali ke sekolah dan sambung belajar. Berilah saya peluang untuk mengubah diri,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Bahagian Pandan di sini baru-baru ini.

Tai Xiang yang tinggal di Flat Pandan Mewah di sini turut ditemani datuk, Yen Chee Sin dan neneknya, Chan Yoke Sim pada sidang akhbar tersebut.