Cemerlang akademik, sahsiah – Utusan


Cemerlang akademik, sahsiah

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin bersama pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Seri Puteri selepas menyampaikan hadiah dan slip peperiksaan kepada pelajar cemerlang SPM sekolah berkenaan di Cyberjaya, semalam.

CYBERJAYA 21 Mac – Kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi dorongan lebih kuat kepada Kementerian Pelajaran untuk menjadikan para pelajar manusia yang berjaya secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sememangnya menjadi hasrat kementerian mahu memastikan para pelajar bukan setakat cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga menjadi insan kamil.

“Kami komited untuk meningkatkan prestasi pelajar kita di seluruh negara dengan keputusan cemerlang yang kita terima hari ini,” katanya ketika berucap selepas menyampaikan hadiah kepada 14 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini.

Pelajar cemerlang terbabit masing-masing menerima iPad dan wang tunai RM300 sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Sekolah Seri Puteri menduduki senarai tempat kedua terbaik daripada 50 buah sekolah terbaik di seluruh negara dengan 96 daripada 171 pelajarnya memperoleh 9A.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan terus membuat penelitian dan analisis terhadap pencapaian pelajar dalam bidang mata pelajaran utama, prestasi antara luar bandar dan bandar serta pencapaian antara kaum untuk subjek-subjek tertentu.

“Matlamat kita ialah bagaimana hendak meningkatkan lagi kecemerlangan kalau boleh untuk setiap pelajar dalam sistem pendidikan kita.

“Saya yakin kejayaan anak-anak kita seperti di sekolah ini adalah hasil kerjasama erat yang dijalinkan di antara kementerian, Jabatan Pelajaran di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, peranan yang dimainkan oleh PIBG sekolah itu turut membantu meningkatkan prestasi para pelajar.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang anak mereka tidak mencatat keputusan cemerlang seperti yang dihajati agar tidak berputus asa.

Hal yang demikian, katanya, kerana sebahagian daripadanya akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pra universiti, matrikulasi dan sebagainya.

Katanya, cita-cita pelajar tidak terhenti setakat pencapaian di peringkat SPM semata-mata sebaliknya merupakan permulaan sebuah perjalanan menuju ke masa hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130322/dn_03/Cemerlang-akademik-sahsiah#ixzz2OHIuctxC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru muda perlu bersungguh jayakan pelan pendidikan – Utusan


Guru muda perlu bersungguh jayakan pelan pendidikan

ALOR SETAR 16 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih 200,000 guru muda di seluruh negara perlu meningkatkan kesungguhan dan komitmen sebagai ejen pelaksana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tegas beliau, mereka yang berusia 23 hingga 40 tahun itu juga perlu menjadi ikon kepada para pelajar bagi menghasilkan insan kamil yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi memiliki sahsiah dan budi pekerti mulia.

“Semangat profesionalisme patriotisme, kejujuran, keikhlasan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan guru muda perlu ditingkatkan sampai ke tahap persaraan wajib,” katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat zon utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, peningkatan itu boleh dicapai berlandaskan ketekunan, keikhlasan dan bersedia mengubah cara bekerja supaya menjadi lebih efektif serta tersusun, selain menimba pengalaman daripada guru yang lebih senior.

“Isu yang biasa kita dengar seperti keluh-kesah dan rungutan dalam kalangan guru muda sewaktu menghadapi profesion ini harus dielakkan dan menjadi harapan agar warga pendidik dilihat sentiasa sempurna di depan anak didik walaupun mereka adalah manusia biasa yang mempunyai kekuatan dan kelemahan,” katanya.

Menurut beliau, ini penting untuk membimbing anak bangsa menjadi manusia yang berakhlak dan beretika tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130217/dn_07/Guru-muda-perlu-bersungguh-jayakan-pelan-pendidikan#ixzz2LFE4cFOc
© Utusan Melayu (M) Bhd