Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik – Menteri – Bernama


Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik – Menteri

 

IDRIS Jusoh bersama atlet-atlet Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Malaysia Ke-5 2013 pada majlis pra pelancaran SIPMA 2013 itu di Putrajaya hari ini. – BERNAMA

PUTRAJAYA 8 Julai – Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik.

“Kementerian telah mengadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat, menambah baik dan memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik. Kita cuba cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, 2013 di sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu berlarutan kerana permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongannya hanya setakat 2,000 hingga 3,000 tempat sahaja.

Menyentuh, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, beliau berkata, mereka dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

“Kerajaan belum buat keputusan sama ada mereka perlu balik atau tidak,” katanya.

“Kita masih mendapat berita mengatakan keadaan tidak begitu tegang sangat.

“Kalau pelajar-pelajar kita tak keluar, duduk dalam keadaan selamat, mereka masih selamat,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130708/dn_58/Isu-pertukaran-guru-Diselesai-cara-baik—Menteri#ixzz2YSP4KI70
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bantu sekolah, rumah ibadat dapat potongan cukai – Bernama


Bantu sekolah, rumah ibadat dapat potongan cukai

20/03/2012 3:19pm

 

KUALA LUMPUR 20 Mac — Kerajaan bersetuju untuk memberikan potongan cukai kepada syarikat dan orang perseorangan yang memberikan sumbangan tunai kepada institusi pendidikan rendah dan menengah termasuk sekolah, yang tidak berorientasikan keuntungan serta tempat ibadat yang berdaftar.

Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim Siang Chai berkata, potongan cukai yang diberikan kepada individu adalah sebanyak 7.0 peratus, manakala bagi syarikat, potongan cukai yang akan diberi adalah sebanyak 10 peratus.

Bagi melaksanakan keputusan itu pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan 1967 sedang dilaksanakan, katanya.

“Sementara menunggu pindaan perundangan dikuatkuasakan, mereka yang ingin mendapatkan potongan cukai kini bolehlah mengemukakan permohonan terus kepada Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Siang Chai, pelaksanaan pemotongan cukai itu dijangka hanya dilakukan pada tahun depan.

Bagi melayakkan individu atau syarikat mendapatkan potongan cukai itu, katanya kesemua sumbangan hendaklah dalam bentuk tunai dan setiap permohonan mestilah disertakan dengan dokumen lengkap termasuk resit yang disahkan oleh sekolah atau rumah ibadat terbabit.

Potongan cukai bagi sumbangan tunai kepada sekolah dan tempat ibadat di bawah seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2012. — BERNAMA

Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran – Sinar Harian


Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
kem-anak-soleh

TOK BALI – Kem Anak Soleh yang diadakan di enam masjid di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semerak memberi pendedahan agama Islam kepada kanak-kanak di sini.

Pengarah program, Mahmud Jaafar berkata, walaupun pendidikan Islam sudah diajar di sekolah masing-masing tetapi penekanan perlu untuk memantapkan lagi ilmu agama dalam kalangan­ anak-anak.

“Pada peringkat ini anak-anak dalam proses mempelajari cara solat, membaca al-Quran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Masjid Tok Bali di sini.

Kem solat yang diadakan pada musim cuti sekolah tersebut dikendalikan pihak Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Kelantan.

Mahmud berkata, sepanjang kem tersebut peserta didedahkan dengan cara mengambil air sembahyang dengan betul dari segi bacaan dan cara melakukannya.

Beliau berkata, dari segi bacaan dan cara mengerjakan solat juga turut diberikan penekanan serta tidak lupa mengajar mereka menghafal doa harian.

“Melihat kepada sambutan­ yang diterima kami harap program seumpama ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia dilihat lebih mudah difahami dan dituruti oleh peserta.

“Tidak lupa tanpa kerjasama ibu bapa yang sanggup melepaskan anak-anak masing-masing untuk menyertai kem ini kami pasti ia tidak akan berjaya,” katanya.

Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah KPM Secara Dalam Talian


Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah KPM Secara Dalam Talian

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) secara dalam talian telah dibuka melalui Education Research Application System (eRAS). Sistem ini bertujuan memudahkan urusan permohonan para penyelidik dan mempercepatkan kelulusan menjalankan kajian.

Untuk permohonan, mohon rujuk ruangan E-Perkhidmatan Portal Rasmi KPM

Sekian, terima kasih.