11 resolusi bela guru – Berita Harian


11 resolusi bela guru

pix_gal0

KONGRES cadang tubuh bank untuk manfaat pendidik, murid

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru.Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.

Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.

Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

Cadangan lain ialah:

  • Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.
  • Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.

Trasnformasi sekolah ke kolej, tingkat keyakinan dalam bidang kemahiran – Bernama


Trasnformasi sekolah ke kolej, tingkat keyakinan dalam bidang kemahiran

14 November 2012

KUALA LUMPUR – Masyarakat mempunyai tanggapan bahawa pelajar di sekolah vokasional adalah kurang cemerlang berbanding pelajar di sekolah menengah lain.

Ramai juga percaya bahawa sekolah vokasional hanya tertumpu kepada bidang kemahiran berbanding sekolah biasa yang lebih kepada akademik dan pelajarnya berpeluang melangkah seterusnya kepada pendidikan lebih tinggi di universiti.

Bagaimanapun, tranformasi pendidikan yang dilakukan kerajaan dengan menaiktaraf sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional dilihat sebagai usaha untuk menaiktaraf status pelajar di sekolah-sekolah vokasional.

Dengan meningkatkan tahap kelulusan daripada sijil kepada diploma, bakal melonjakkan keyakinan pelajar aliran kemahiran yang selama ini sering merasakan mereka adalah kumpulan pelajar kelas kedua berbanding pelajar aliran akademik.

Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Setapak, Kuala Lumpur adalah satu daripada 14 buah sekolah menengah vokasional lain di seluruh negara dipilih
untuk projek rintis di mana ia akan dinaiktaraf sebagai kolej vokasional.

TRANFORMASI SEKOLAH KEPADA KOLEJ

Menjadikan kolej vokasional pilihan utama pelajar dalam bidang kemahiran bukan cabaran yang mudah. Ditambah dengan stigma yang masih melihat imejnya sebagai sebuah sekolah.

Ia memerlukan anjakan paradigma terutama mengubah pemikiran seluruh pelajar dan kakitangan agar berfikir seperti sebuah institusi pengajian tinggi.

Segalanya harus berubah dari segi mutu pendidikan, prasarana, kursus-kurus yang dilaksanakan agar ia setanding dengan kolej-kolej lain agar dipandang tinggi dan menjadi pilihan utama, menurut Pengarah Kolej ERT Setapak, Norhana Mustapha.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah persepsi itu, beliau berkata ia memerlukan masa untuk membuktikan kemampuan bagi melahirkan pelajar-pelajar berkualiti selain mampu memenuhi kehendak pasaran.

“Misi dan visi kami ialah untuk menjadikan kolej ERT Setapak sama seperti kolej-kolej ternama yang ada di dalam negara dan ia bukan sekadar tukar nama daripada sekolah kepada kolej semata-mata,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menyediakan kursus-kursus hospitaliti iaitu bidang seni kulinari, kosmetologi dan fesyen, setiap pelajar perlu menghabiskan empat tahun pengajian bagi memperoleh diploma kemahiran dalam bidang-bidang yang dipilih.

“Dengan tranformasi yang dijalankan, kita berharap apabila pelajar keluar daripada kolej nanti, 70 peratus daripadanya akan mendapat pekerjaan, 20 peratus pelajar yang cemerlang akan menyambung ke peringkat ijazah dan 10 peartus lagi boleh memulakan perniagaannya sendiri,” katanya yang menerima 155 pelajar untuk pengambilan pertama diploma pada Januari lepas.

Mulai tahun hadapan, Kolej ERT Setapak akan menambah dua lagi kursus iaitu kursus asuhan kanak-kanak dan komputer networking dengan jumlah pengambilan pelajar keseluruhan juga akan bertambah kepada 250 pelajar.

PENTINGKAN AKADEMIK

Penubuhan Sekolah Vokasional ERT Setapak pada tahun 1975 adalah bertujuan membantu pelajar-pelajar yang kurang dari segi akademik dengan memberi latihan kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka.

Walaupun mereka kurang cemerlang dalam akademik, tidak seharusnya wujud perasaan rendah diri itu sebaliknya harus berbangga dengan kemahiran yang dipelajari dan dimiliki, ujar Norhana.

“Ibu bapa juga harus memahami anak, sekiranya mereka kurang dalam akademik, mungkin mereka lebih kepada kemahiran. Dengan mengikuti kemahiran dan vokasional tidak bermakna anak mereka tidak didedahkan kepada mata pelajaran akademik,” katanya.

Terdapat enam subjek teras yang harus diambil oleh pelajar-pelajar di kolej vokasional dan mereka wajib lulus dalam peperiksaan subjek tersebut iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Agama, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Maklumbalas yang diterima sangat positif terutama untuk permohonan secara online yang diterima pada sesi tahun hadapan.

Buktinya, setelah empat hari permohonan dibuka pada Oktober lepas, lebih 400 permohonan diterima dan dijangka akan bertambah sebelum ia berakhir pada 31 Dis.

“Pihak kolej akan membuat sesi temuduga bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak dan berminat sahaja yang akan diterima. Ini bagi menjamin kualiti pelajar yang akan kita keluarkan, adalah yang terbaik,” katanya.

Walaupun hanya dikenakan syarat minimum untuk mengikuti pengajian diploma di kolej vokasional, namun sekiranya ada pelajar yang mendapat keputusan yang lebih baik daripada itu, sudah tentu keutamaan diberikan kepada mereka, katanya.

CONTOH PELAJAR BERJAYA

Melahirkan ramai bakat yang berpotensi besar dalam bidang fesyen menjadi kebanggaan buat kolej ini.

Rasta Rashid, Syomi Izwa antara nama yang tidak boleh dinafikan bakatnya dan berjaya membina nama dalam industri fesyen tempatan dan luar negara.

Pereka fesyen kanak-kanak yang juga pemilik butik Rasta Creation, Rasta Rashid mengakui rasa rendah diri dan malu menyebabkan ramai dalam kalangan bekas pelajar sekolah vokasional tidak mahu menonjolkan diri atau mengakui mereka adalah keluaran sekolah kemahiran.

Bekas pelajar sekolah vokasional ERT Setapak tahun 1990/91 dalam bidang fesyen ini berkata sekolah vokasional telah melahirkan ramai individu yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Cuma mereka tidak mahu tampil dan kembali menyumbang sesuatu kepada sekolah. Mungkin disebabkan oleh persepsi yang masih berlegar dalam masyarakat bahawa mereka yang bersekolah vokasional adalah mereka yang kurang bijak dalam akademik,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Rasta berkata beliau memilih bidang fesyen selepas mendapat keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kerana sudah menanam minat dan cita-cita dalam bidang tersebut untuk dijadikan kerjaya pada masa hadapan.

Dari kecil lagi beliau telah fokus dalam bidang tersebut dan pemilihan sekolah vokasional adalah tepat untuknya mendapatkan asas dalam bidang fesyen.

Beliau yang kini menjalankan perniagaan pakaian kanak-kanak terutama pakaian ballet kini boleh berbangga dengan kejayaannya apabila jenama Rasta Creation semakin kukuh sejak lebih enam tahun lepas.

Ujarnya, banyak halangan dan cabaran yang terpaksa ditempohi untuk sampai ke tahap ini, namun hanya usaha dan keyakinan mampu membawa seseorang itu berjaya.

“Saya sedikitpun tidak malu mengakui saya adalah pelajar sekolah vokasional kerana di sinilah saya mendapat ilmu dan kemahiran asas dalam bidang fesyen sebelum melanjutkan pelajaran ke kolej lain bagi mendapatkan diploma dalam bidang yang sama.

“Apa yang penting kita harus ada minat, sentiasa fokus dan berusaha menambah ilmu dan kemahiran yang ada untuk menjadi seorang yang berjaya,” katanya.

Dilantik sebagai Naib Pengerusi Komuniti ERT Setapak, Rasta berkata apa yang diperolehnya kini cuba dikongsi bersama pelajar lain agar boleh dijadikan inspirasi untuk lebih berjaya.

Ujarnya menaiktaraf daripada sekolah vokasional kepada kolej vokasional adalah tranformasi yang dilihat mampu meningkatkan taraf pendidikan vokasional di negara ini.

“Mungkin selepas ini akan ramai lagi bekas pelajar yang akan tampil dan dengan cara ini juga akan meningkatkan keyakinan masyarakat tentang bidang kemahiran dan mampu melahirkan lebih ramai lagi individu yang berjaya,” katanya.  – Bernama

10,715 cikgu baru – Berita Harian


10,715 cikgu baru

2012/10/06 – 05:18:58 AM Oleh Syuhada Choo AbdullahCetakEmel Kawan
pix_gal0

Kumpulan pertama siswazah lulusan IPGM, IPTA akan diberi penempatan mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi penempatan, tahun depan.

Mereka adalah kumpulan pelajar yang sudah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini di IPGM serta IPTA, dan akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

“Kepada mereka yang akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan itu tertakluk kepada graduan yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga dikendalikan SPP.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 2,960 graduan terbabit dikenal pasti sudah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai lalu dan dijadualkan menjalani temu duga oleh SPP.

Penempatan interim
“Mereka adalah 2,478 graduan program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain), 368 dari program TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 90 dari program KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) IPGM dan IPTA termasuk mereka dari Program Pelajar Cemerlang (PPC), 14 dari program Bahasa Perancis, dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

“Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, Kementerian Pelajaran akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan ini mulai 16 Oktober ini. Pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusan temu duga oleh SPP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu bagi baki 7,755 pelajar yang menamatkan pengajian selepas Jun lalu, Muhyiddin berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada SPP untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

“Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat tahun depan. Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” katanya.

10,715 graduan guru diberi penempatan – Utusan


10,715 graduan guru diberi penempatan

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

“Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

“Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121005/dn_35/10715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28QmR8bqf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penjawat awam perlu segera inisiatif bajet – Berita Harian


Penjawat awam perlu segera inisiatif bajet

2012/09/30 – 07:56:18 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Penjawat awam perlu terus melipatgandakan kecemerlangan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, selaras prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam dalam Bajet 2013.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata semua kementerian, jabatan dan agensi hendaklah melaksanakan segera inisiatif Bajet 2013 demi kesejahteraan rakyat dan memacu ekonomi negara.

Katanya, rakyat secara keseluruhannya mendapat faedah dan manfaat menerusi bajet ini, khususnya program mensejahterakan rakyat.

Saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan atas bonus satu setengah bulan gaji dan bagi pesara kerajaan RM500 secara one-off dan pencen minimum RM820.

Kerajaan prihatin

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengambil berat kebajikan penjawat awam, baik yang sedang berkhidmat mahupun sudah bersara, katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ali berkata, Bajet 2013 mempunyai elemen pro pertumbuhan dan mesra rakyat yang terbukti menerusi inisiatif antaranya pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak, elaun sara hidup nelayan, rebat telefon pintar untuk belia, baucar buku untuk pelajar institusi pengajian tinggi dan diskaun pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Insentif khusus

Beliau berkata, BR1M 2.0 dengan RM500 bagi setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah dan RM250 kepada individu bujang berkelayakan membuktikan kerajaan menepati tema Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati.

Bajet 2013 juga menyediakan insentif khusus bagi memastikan agenda transformasi negara yang bertunjangkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi dijayakan, katanya.

Permohonan bagi mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) Anjuran Institut Aminuddin Baki dan Institusi Pengajian Tinggi Awam Sesi 2012 – 2015.


Permohonan bagi mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) Anjuran Institut Aminuddin Baki dan Institusi Pengajian Tinggi Awam Sesi 2012 – 2015.

Permohonan bagi mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) Anjuran Institut Aminuddin Baki dan Institusi Pengajian Tinggi Awam Sesi 2012 – 2015. Permohonan kini dibuka kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah yang layak bermula dari 9 September sehingga 1 Oktober 2012.

Untuk maklumat lanjut, sila layarihttp://www.iab.edu.my/index.php/component/content/article/87-awam/124-program-khas-pensiswazahan-guru-besar-pkpgb-sesi-akademik-2012-2015

Kes pukul guru, anak: Suspek utama serah diri – Bernama


Kes pukul guru, anak: Suspek utama serah diri

23 Ogos 2012

KUALA TERENGGANU – Seorang daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kes menyerang seorang guru dan anaknya di Jalan Sultan Mahmud di sini, 12.30 tengah malam semalam (Rabu) tampil menyerah diri malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek utama yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 11 malam hari yang sama.

Katanya suspek yang berusia 26 tahun itu juga turut membuat laporan polis dengan mendakwa anak guru yang berusia 20 tahun itu merupakan terlebih dahulu menimbulkan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah kepadanya serta empat lagi rakannya di dalam kereta.

“Kita sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua laporan yang telah dibuat dan polis juga akan mengambil tindakan ke atas semua pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Manoharan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara punca suspek bertindak sedemikian.

Semalam dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali lewat tengah malam di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud setelah dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki dua orang bersama kumpulan lima orang dalam Perodua Myvi.

Insiden tersebut difahamkan tercetus ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk di mana kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.

Namun guru yang berusia 46 tahun itu tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan dari Chendering ke Bandar Kuala Terengganu sehinggalah kenderaan guru itu dihalang kumpulan tujuh lelaki itu.

Mereka menarik keluar penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hingga menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Suspek yang menyerah diri itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan polis kini memburu baki kumpulan itu untuk disoal siasat.- Bernama

Guru dan anak cedera diserang samseng – Bernama


Guru dan anak cedera diserang samseng

22 Ogos 2012

KUALA TERENGGANU- Dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Sultan Mahmud di sini, lewat tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, guru yang berusia 46 tahun tersebut bersama isteri dan tiga anak mereka dalam perjalanan dari Chendering ke Kuala Terengganu.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk, kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.

“Guru berkenaan tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan. Namun ketika sampai di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud, kenderaannya dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki tiga lelaki, memaksanya berhenti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Manoharan berkata Perodua Myvi itu yang mengekori turut berhenti di sisi kereta guru berkenaan sebelum suspek bertindak membuka pintu kereta dan menarik anak lelaki guru tersebut yang berusia 20 tahun.

Kumpulan lapan lelaki itu kemudian memukul dan menendang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tersebut menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Isteri mangsa juga turut ditolak kumpulan lelaki tersebut, katanya.

“Mangsa tidak tahu punca sebenar dia dan anaknya dipukul sedemikian rupa dan polis masih menyiasat motif serangan sama ada perselisihan faham atau sebaliknya.

“Kita telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi dan gerakan memburu suspek bersama rakan-rakannya yang berumur lingkungan 28 tahun ke atas itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau juga meminta suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan itu agar tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan. Bernama

K’jaan P.Pinang Salur Bantuan RM100 Untuk 100,000 Murid Di Bawah Program Pelajar Emas Terus Kepada Ibu-Bapa – mStar


K’jaan P.Pinang Salur Bantuan RM100 Untuk 100,000 Murid Di Bawah Program Pelajar Emas Terus Kepada Ibu-Bapa
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi bantuan RM100 terus kepada keluarga 100,000 pelajar di negeri itu di bawah Program Pelajar Emas September ini kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut beliau kesemua pelajar itu melibatkan mereka di tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.

Wang itu katanya akan diberikan terus kepada keluarga agar ia tidak disalahgunakan oleh murid-murid untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

“Lagi pun bolehkah murid tahun satu mengendalikan wang RM100,” ujarnya di sini, Jumaat.

Sementara itu, beliau juga berkata, sejumlah 298 pelajar tahun pertama program diploma dari negeri ini yang mendapat tempat di semua institusi pengajian tinggi awam layak untuk menerima bantuan RM1,000 tahun ini.

Katanya, permohonan daripada pelajar yang ditawarkan tempat untuk program ijazah pula akan dibuka dari 8 Ogos hingga 30 September.

SEMAKAN ONLINE KEPUTUSAN TAWARAN BIASISWA PERGURUAN PERSEKUTUAN PROGRAM IJAZAH PERTAMA DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM BAGI TAHUN 2012


SEMAKAN ONLINE KEPUTUSAN TAWARAN BIASISWA PERGURUAN PERSEKUTUAN PROGRAM IJAZAH PERTAMA DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM BAGI TAHUN 2012

Semakan keputusan tawaran Biasiswa Perguruan Persekutuan Program Ijazah Pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi Tahun 2012 boleh dibuat mulai 09 Ogos 2012 menerusi url berikut:
http://apps.moe.gov.my/ijazah1/jaya