Permohonan Bagi Mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Ambilan 2/2012 Anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB)


Permohonan Bagi Mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Ambilan 2/2012 Anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB)

Sukacita dimaklumkan bahawa Institut Aminuddin Baki (IAB) akan menganjurkan Program Kelayakan Profesional Untuk Pemimpin Pendidikan Kebangsaan/National Profesional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) di bawah program Program Latihan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Akademik 2012 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang layak. Program ini dilaksanakan dalam tempoh 5 bulan dan menggunakan kaedah bersemuka (face to face) dan juga e-learning. Ini membolehkan peserta menjalani kursus ini tanpa perlu memohon cuti belajar dan melepaskan jawatan hakiki yang disandang.

Sasaran peserta adalah kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang berkhidmat di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Bahagian-Bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Pihak IAB akan mula membuka permohonan Program NPQEL Ambilan 2 Tahun 2012 melalui laman web rasmi IAB www.iab.edu.my mulai 15 Mac 2012 hingga 15 April 2012.

Sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan program ini bolehlah menghubungi terus Puan Nik Marini binti Nik Abdull Malik di talian 03-61056137/013-3611221/ nikmarini@iab.edu.my atau urus setia di talian             03-61056296      .

Bayar segera wang bantuan pelajar – Utusan


Bayar segera wang bantuan pelajar

BATU PAHAT 21 Jan. – Kementerian Pelajaran meminta sekolah-sekolah swasta tidak melewatkan pembayaran bantuan persekolahan kepada pelajarnya kerana wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun sekolah pada 17 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kira-kira 38,720 pelajar sekolah swasta di seluruh negara terlibat dalam bantuan fasa pertama itu dan mereka sepatutnya menerima bantuan RM100 bagi setiap pelajar bermula semalam.

“Sekolah swasta yang layak menerima bantuan adalah sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran termasuk sekolah persendirian dan sekolah agama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada masyarakat Cina di sini hari ini.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Mohd. Puad yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat menyumbangkan 6,000 hamper kepada masyarakat Cina di kawasan diwakilinya dalam program selama lima hari berakhir esok.

Menurut Mohd. Puad, bantuan dibuat dalam dua fasa bagi mengelakkan ada kalangan pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta berbincang dengan kesatuan-kesatuan berkaitan berhubung cadangan penempatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada JPA untuk menimbangkan keputusan terbaik tetapi berharap perbincangan antara kedua pihak perlu dibuat supaya aspek pembelaan dan kepentingan guru-guru diberi keutamaan.

Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 27 kesatuan dan persatuan guru menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya termasuk di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi, Institut Aminuddin Baki (IAB) dan sekolah.

Pertubuhan itu yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara memutuskan hanya guru berupaya melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan.