Dengan budak bolehlah kau… – Metro


Dengan budak bolehlah kau…

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Gara-gara didakwa terlanggar motosikal diparkir hingga tumbang, seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) bisu, bermasalah pendengaran dan jantung berlubang berumur lapan tahun dipukul pemilik motosikal berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam kejadian di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Azmeen Mustama ditemui ibunya, Rosmiha Karim, 45, dalam keadaan ketakutan dan menangis di koridor flat itu jam 5.20 petang.
Rosmiha yang ditemui di Klinik Otorinolaringologi (ORL) Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika membawa mangsa mendapatkan rawatan pakar berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi kekecohan di pekarangan bawah flat dan disangkakan orang bergaduh.

 

“Ketika itu saya, suami dan anak sulung berehat di ruang tamu rumah kami di tingkat satu. Walaupun menyangka bunyi kecoh itu bunyi orang bergaduh, tetapi saya rasa tak sedap hati sebab anak bongsu saya tiada di rumah.
“Saya menjenguk dari atas dan terdengar suara lelaki memarahi seseorang yang lain, namun tak jelas siapa. Kemudian saya turun dan alangkah sedih melihat anak istimewa saya menyorok di koridor dalam keadaan takut dan menangis teresak-esak.
“Dengan menggunakan bahasa isyarat, anak saya memberitahu dipukul di kepala serta telinga kiri dan terdapat bekas kemerahan di bahagian itu,” katanya.

 

FotoROSMIHA bersama anaknya, Muhammad Azmeen.

Katanya, seorang jiran wanita kemudian datang kepadanya menyatakan dia melihat kejadian itu, tetapi tidak berani membantu kerana lelaki yang memukul kanak-kanak itu bengis.
Rosmiha berkata, dia bimbang kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan serius kepada anaknya kerana tempat dipukul pernah dibedah dua kali akibat masalah pendengaran.

 

Menurutnya, Muhammad Azmeen juga penghidap jantung berlubang dan dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2006 untuk dipasang alat khas menutup lubang di jantungnya.
Sehubungan itu, Rosmiha dan suaminya, Mustama Chanan Din, 62, membuat laporan di Balai Polis Jinjang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan penuh daripada hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Siti biayai kos bedah 3 kanak-kanak – Utusan


Siti biayai kos bedah 3 kanak-kanak

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

Siti Nurhaliza Tarudin menyampaikan replika cek kepada Mohd. Riza Sidek (kiri) sambil diperhatikan oleh M. Thila di Taman Tema Legoland, Nusajaya, Johor, semalam.

NUSAJAYA 28 Mac – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi kempen SimplySiti Di Hati 2012 menyumbang sebanyak RM57,166 kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bagi menampung kos pembedahan dan rawatan tiga pesakit kanak-kanak.

Menurut Siti Nurhaliza, sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan jualan produk Dermagic yang diperoleh pihaknya sepanjang mengadakan kempen tersebut di lima lokasi di seluruh negara sebelum ini.

Katanya, tiga kanak-kanak tersebut, Huang Si Han yang berusia sembilan tahun dan Muhammad Lukman Yusri serta G. Sharadha, masing-masing berusia 11 tahun sudah selamat menjalani pembedahan namun kini masih mendapatkan rawatan susulan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130329/dn_20/Siti-biayai-kos-bedah-3-kanak-kanak#ixzz2OspzPmtd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Adik koma selepas dibedah – Sinar Harian


Adik koma selepas dibedah
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012

Keadaan Nur Syamira Ezzety yang masih koma selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.
JASIN – Jika ibu bapa lain sibuk membuat persiapan untuk anak-anak menjelang Syawal tidak lama lagi, namun bagi ibu tunggal Sorina Abas, 46, dia hanya mampu menatap wajah anaknya yang lebih dua hari koma selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), 2 Ogos lalu.

Menurutnya, bukan mudah untuk menerima ujian apabila anak bongsu kesayangannya, Nur Syamira Ezzety Ibrahim, 11, yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ menjalani pembedahan kerana memahami risiko maut yang bakal dihadapi.

“Sempena bulan penuh keberkatan ini, saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT.

“Pembedahan yang mengambil masa selama sembilan jam berjaya dilakukan dengan dua proses termasuk menampal jantung berlubang dan membetulkan kedudukan jantung yang terbalik pada Nur Syamira,” katanya.

Sorina berkata, dia seolah-olah hampir kehilangan anaknya itu apabila selepas pembedahan, Nur Syamira koma dan kritikal sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan terlalu banyak pendarahan sehingga terpaksa menggunakan 15 beg darah untuk menyelamatkannya.

“Alhamdulillah, biarpun sekarang dia masih koma, namun perkembangannya semakin positif dan bersyukur pembedahan berjaya dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, jauh di sudut hati Sorina terbit rasa gusar mengenangkan kos hospital yang tidak mampu dibiayai memandangkan warung makan yang diusahakan bukan sahaja tidak beroperasi sepanjang Ramadan, malah dia perlu menemani anaknya itu di IJN.

Katanya, walaupun kos pembedahan ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia masih memerlukan dana untuk menjelaskan bil hospital termasuk kos perubatan dan beberapan keperluan lain selepas anaknya dibenarkan keluar hospital kelak.

“Sebelum ini pihak IJN menganggarkan kos sebanyak RM15,000 bagi rawatan selepas pembedahan termasuk perubatan dan sebagainya, namun kos berkenaan lebih dari itu dan saya benar-benar memerlukan dana bagi meringankan beban.

“Sememangnya saya tidak dapat membalas jasa penderma sebelum ini dan mengharapkan keprihatinan masyarakat untuk terus membantu saya supaya adik dapat menjalani kehidupan seperti kanakkanak lain,” katanya.

Malah, katanya, dia juga berharap pihak yang telah berjanji untuk memberikan sumbangan tabung masjid sebelum ini dapat berbuat demikian dalam membantu dia menambahkan dana untuk kos pembiayaan selepas pembedahan.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan penderitaan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Selandar itu yang menghidap sakit jantung kritikal memerlukan dana bagi kos perubatan dan hospital termasuk keperluan lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan melalui akaun Bank Islam atas nama Sorina Abas (no akaun: 04033020189781) atau hubunginya di talian 017 2152313 .

Pelajar 12 tahun tidak patah semangat – Bernama


Pelajar 12 tahun tidak patah semangat

8 Mei 2012

KOTA BAHARU — Penyakit kronik yang dihidapi seorang pelajar perempuan di sini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan pelajaran dan mengejar cita-citanya menjadi seorang guru.

Kendatipun perlu didukung ibu bapanya untuk ke sekolah saban hari, Ling Yong Ying, 12, tetap bersemangat menimba ilmu.

“Saya mahu jadi guru. Saya mahu balas jasa ibu dan bapa saya yang hari-hari dukung saya untuk ke tingkat tiga kelas 6 Biru sekolah saya.

“Saya minta tuhan panjangkan umur saya untuk saya berjaya dan doakan saya mendapat yang terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapain Sekolah Rendah) nanti,” kata Ling kata pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Cheng kepada Bernama di sini, hari ini.

Tiga tahun lalu, Ling tiba-tiba mengalami sesak nafas di sekolahnya dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia selepas itu.

Namun keadaan kesihatan Ling yang tidak berubah, menyebabkan dia akhirnya dirujuk ke Hospital Selayang, Selangor dan disahkan menghidap penyakit yang jarang dihidapi iaitu berkaitan darah tersumbat atau secara saintifiknya “Polyateritis nodosa” dan pernah mendapat strok ringan dua tahun lalu.

Akibat penyakit itu, Ling kini menerima infeksi masalah bengkak jantung, darah tinggi, masalah darah tersumbat, masalah buah pinggang, limpa dan masalah di otak.

“Saya juga ada masalah pendengaran yang tidak seimbang dan saya diletakkan di depan sekali dalam kelas bagi senang saya mendengar apa yang guru kata,” katanya.

Ibu Ling, Wee Guet Chen, 52, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik itu akan ke Hospital Selayang pada setiap bulan untuk menerima suntikan ubat manakala ke Institut Jantung Negara sebanyak dua kali setahun.

“Setiap kali pergi (ke Kuala Lumpur) kami habiskan kira-kira RM400 bagi tambang,  penginapan dan makan minum di sana,” kata Wee, yang juga penghidap penyakit “kaki gajah” di sebelah kaki kanannya.

Suaminya, Ling Kok Leong, 55, dahulunya merupakan seorang mekanik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM800 itu kini tidak lagi bekerja untuk menjaga Ling yang terpaksa diurus pada setiap masa.

“Pendapatan kami kini adalah daripada bantuan sekolah, pertubuhan dan juga MCA yang simpati dengan kami,” katanya.

Ekoran kemiskinan, Wee turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan sejak Jan lalu.

Wee berkata mujurlah perbelanjaan perubatan untuk anaknya itu yang dianggarkan sebanyak RM50,000 setahun ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya tidak kisah untuk dukung dia setiap hari ke tingkat tiga kelas anak saya selagi saya dan suami masih sihat dan saya harap dia akan berjaya dalam pelajaran walaupun ada penyakit ini,” kata Wee.

Selain Ling, pasangan itu mempunyai dua lagi anak iaitu yang sulungnya lelaki berumur 21 tahun dan perempuan berusia 14 tahun yang masih bersekolah.

Pengerusi Pusat Khidmat MCA Kota Baharu, Ong Han Sein yang hadir sama ke sekolah itu berkata MCA akan membantu daripada segi kewangan bagi memastikan keluarga itu dapat menghantar Ling menerima rawatan sebaik yang mungkin.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wee di talian 09-7472088/019-9585406. – Bernama