Pelajar bakal SPM maut dalam kemalangan – Bernama


Pelajar bakal SPM maut dalam kemalangan

5 Oktober 2012

BESUT – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan terbunuh apabila motosikal yang dibonceng bersama rakan sekolahnya terbabit dengan kemalangan di Jalan Batu Tumbuh dekat Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Alor Lintang di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian pada pukul 7.35 pagi itu, mangsa Aiman Hakimi Zainuddin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah meninggal dunia di Hospital Daerah Besut selepas empat jam lebih bertarung nyawa ketika dalam rawatan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal itu Mohd Sihar Yusof, 17, sedang dalam perjalanan menunju ke sekolah mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kemalangan.

“Difahamkan Mohd Sihar telah memotong sebuah kereta berhadapan kawasan IKM Alor Lintang tetapi telah terbabas dan pada masa yang sama, datang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Besut dari arah bertentangan.

“Kakitangan awam itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan hingga kedua-dua pelajar itu terpelanting,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata kedua-kedua pelajar tersebut telah dikejarkan ke Hospital Daerah Besut untuk menerima rawatan tetapi Aiman Hakimi yang cedera di kepala akibat hentakan di atas jalan raya telah meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Mohd Sihar pula hanya mengalami luka di jari tangan dan lutut manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama

Anak maut, Pengarah IKM Perlis parah kemalangan – Utusan


Anak maut, Pengarah IKM Perlis parah kemalangan

SUNGAI PETANI 29 Mei – Kegembiraan empat sekeluarga balik kampung sempena musim cuti sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 90.8 (arah utara), Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur keluar Sungai Lalang di sini awal pagi ini.

Nahas berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi apabila kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki keluarga itu gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan balak, sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah belakang.

Akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Mukhrizah Marzuki maut sementara bapanya, Marzuki Mahamad Radzi, 36, yang merupakan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis parah. Turut cedera parah ialah kakak Mukhrizah, Muslihah, 6, sementara seorang lagi, Muzafirah, 9, cedera ringan. – UTUSAN