KEPUTUSAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 – SPP


KEPUTUSAN TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41

Keputusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah  (PPPS) Gred DG41 bagi calon graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang tamat pengajian sebelum 1 Julai 2012 boleh semak di sini mulai 6 Februari 2013. Bagi calon yang berjaya dalam urusan tersebut, surat tawaran pelantikan dan arahan penempatan akan dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
Muat naik pada 6 Februari 2013

SPRM Beri Pendedahan Bakal Guru Perangi Rasuah – mStar


SPRM Beri Pendedahan Bakal Guru Perangi Rasuah

Oleh KEMALIA OTHMAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi pendedahan mengenai jenayah rasuah kepada bakal guru menerusi program Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai langkah awal memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohamed berkata, sekretariat ini merupakan model percubaan SPRM sebelum dikembangkan ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS).

“Ia merupakan langkah SPRM membendung amalan ini dari peringkat awal. Kerjasama dengan IPG akan menjadi perintis dalam usaha awal penubuhan sekretariat ini.

“Kita akan adakan program-program di setiap IPG di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh SPRM peringkat negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan Guru, di sini, Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Puad Zarkhashi.

Tambah beliau, SPRM sudah merangka pelbagai program kesedaran untuk dilaksanakan oleh sekretariat tersebut dan bagi tujuan itu SPRM turut memperuntukkan sebanyak RM51,000 sebagai dana permulaan bagi mengerakkan sekretariat ini.

“Kita sudah merancang program-program bersama komuniti masyarakat setempat, penghayatan dan kesedaran tentang budaya rasuah sebagai satu jenayah yang harus diperangi di Malaysia.

“Sebagai dana awal untuk menggerakkan sekretariat ini, SPRM telah menyumbang sebanyak RM3,500 kepada 27 buah IPG di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, program ini merupakan latihan asas kepada semua bakal guru untuk disampaikan kepada pelajar mereka kelak.

“Kita mahu guru-guru terlebih dahulu diberi pendedahan tentang gejala rasuah ini. Ini kerana di sekolah kita tidak ada silibus atau mata pelajaran berkaitan rasuah, jadi adalah penting untuk semua bakal guru disiapkan dengan ilmu berkaitan bahaya rasuah agar mudah untuk diaplikasikan kepada anak murid nanti,” katanya.

Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah – Utusan


Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Modul integriti dan pencegahan rasuah mungkin dimasukkan dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan bagi dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam, Sivik dan Kemanusiaan serta Pendidikan Moral.

“Kita telah menerima cadangan SPRM dan dalam proses mengkaji. Bagaimanapun kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM pada aspek kokurikulum melalui pameran dan ceramah di sekolah serta membawa murid-murid melawat SPRM,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman tentang sejauh mana pendidikan pencegahan rasuah dimuatkan dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik di sekolah rendah serta menengah bagi melahirkan warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur dan antirasuah.

Mohd. Puad menambah, pendekatan aspek integriti dari bangku sekolah dapat membantu individu daripada terlibat dengan perbuatan korup apabila memasuki alam pekerjaan.

Menurut beliau, kementerian juga sedang berbincang dengan SPRM untuk mewujudkan pusat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi melatih bakal guru tentang nilai-nilai murni yang boleh diaplikasi apabila mengajar kelak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121214/pa_04/Kaji-modul-integriti-antirasuah-di-sekolah#ixzz2FGJaOBfB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS – Berita Harian


Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.

Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.

“Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.
Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

Bakal guru akan diberi penekanan sistem PBS – Bernama


Bakal guru akan diberi penekanan sistem PBS

21 November 2012

KUALA LUMPUR – Penekanan kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam usaha melengkapkan graduan pendidikan adalah antara 10 resolusi yang dicapai pada konvensyen antarabangsa pembelajaran dan pembangunan guru di sini.

Pengarah Penyelidikan Pembangunan dan Inovasi Institut Pendidikan Guru (IPG) Dr Mohamad Nor Mohamad Taib berkata penjelasan menyeluruh dan tepat perlu diberi kepada bakal guru agar mereka lebih bersedia melaksanakan PBS.

“Apa yang akan kita tekankan dalam masa terdekat ini adalah untuk kita berikan penjelasan sebaik-baiknya, sejelas-jelasnya dari segi teknikaliti tentang apa itu PBS kepada bakal guru,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup konvensyen itu hari ini.

Selain itu, beliau berkata penekanan dan latihan PBS akan turut diberi kepada guru sedia ada kerana sebilangan besar mereka belum jelas berhubung konsep serta kaedah pelaksanaan PBS.

Resolusi lain yang diterima pada konvensyen disertai lebih 400 peserta dan penyelidik dalam dan luar negara itu ialah penekanan kepada pendidikan berkualiti untuk murid pendidikan khas, pemantapan amalan terbaik dalam pengajaran dan penstrukturan semula IPG.

Mengulas lanjut, Mohamad Nor berkata resolusi itu akan dicadang kepada Kementerian Pelajaran untuk dimasuk ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menyentuh pendidikan berkualiti untuk pendidikan khas, beliau berkata kurikulum bagi tujuan itu akan dirangka bagi memastikan sistem pembelajaran akademik dan teknik kemahiran mereka berkualiti tinggi.

Beliau berkata sehingga kini, kementerian pelajaran melatih guru khas yang mencukupi bagi memastikan murid pendidikan khas tidak ketinggalan dalam proses transformasi pendidikan di negara ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dalam ucapannya berkata terdapat keperluan mendesak bagi pengajar guru untuk kekal fokus berkaitan latihan berkualiti.

Beliau berkata apabila bakal guru dilatih dengan sempurna, mereka akan berupaya melakukan perubahan dalam kelas dan hidup pelajar di seluruh negara.

Teks ucapan beliau dibacakan rektor IPG Datuk Dr Haili Dolhan.

Abdul Ghafar juga berkata pendidikan untuk guru perlu dipakej semula bagi memenuhi keperluan generasi masa kini, dan sehubungan itu, sebarang pengukuhan perlu dilakukan berasas kepada hasil penyelidikan di lapangan dan data prestasi pelajar. – Bernama

Kemahiran, kualiti guru dipertingkat – Berita Harian


Kemahiran, kualiti guru dipertingkat

Muhyiddin  merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.Muhyiddin merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.

Program Pembangunan Profesional Berterusan fokus 2 bidang

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.

Katanya, profesion guru abad ini dibina atas dasar persaingan, iaitu pendidikan selepas tamat persekolahan, latihan dan pembangunan kerjaya.

Justeru, ia perlu selari dengan visi dan misi negara ke arah menyediakan rakyat berilmu dan berkemahiran.

Dilatih jadi pemikir 

Katanya, bagi melahirkan guru berkemahiran abad ke-21 dan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat, mereka perlu dilatih menjadi pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai usahawan.

“Dalam dunia kompetitif hari ini, kelebihan daya saing terletak kepada kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi, iaitu kritis, kreatif, inovatif dan imiginatif,” katanya merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, kemahiran berfikir, pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi serta keyakinan kendiri perlu dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik serta mampu berfikir secara mencapah (divergent thinking) bagi menerokai kebenaran.

Katanya, dalam konteks pembangunan kerjaya guru, ia merentasi beberapa laluan dengan kemajuan dinilai berasaskan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan semata-mata.

Sistem perlu mekanisme 

Muhyiddin juga berkata, sistem pendidikan negara perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru yang dilahirkan benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan.

Katanya, transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, iaitu satu daripada 11 anjakan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepada peningkatan pembelajaran dan pembangunan guru.

Bagi melaksanakannya, beliau berkata, kementerian perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru cemerlang.

Latih bakal guru berfikir sebagai usahawan – Utusan


Latih bakal guru berfikir sebagai usahawan

KUALA LUMPUR 20 Nov.- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.

“Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang ‘luar biasa’ dan ‘berfikir di luar kotak’ merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121120/dn_14/Latih-bakal-guru-berfikir-sebagai-usahawan#ixzz2CkOaI29u
© Utusan Melayu (M) Bhd

HEBAHAN URUSAN PERMOHONAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG 41 BAGI GRADUAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) YANG MENAMATKAN PENGAJIAN SELEPAS JUN 2012 – SPP


HEBAHAN URUSAN PERMOHONAN KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG 41 BAGI GRADUAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) YANG MENAMATKAN PENGAJIAN SELEPAS JUN 2012
Berdasarkan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 5 Oktober 2012, graduan pendidikan keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang menamatkan pengajian selepas Jun 2012 hendaklah membuat permohonan untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 di www.jobsmalaysia.gov.my mulai 9 November hingga 30 November 2012. Calon boleh merujuk mengenai tatacara permohonan di sini.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi kaunter pertanyaan SPP di 03-8871 7330

Muat naik pada 9 November 2012

Tidak semua boleh jadi pendidik – Metro


Tidak semua boleh jadi pendidik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bakal guru yang akan berkhidmat dalam sektor pendidikan negara perlu sentiasa bersyukur kerana dipilih menyertai profesion itu, berikutan tugasan mendidik anak bangsa yang cukup istimewa dan disanjung tinggi.

Pesanan daripada bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu sebagai menyuntik semangat buat golongan berkenaan yang ketika ini dilihat kurang menyerlah berbanding generasi pendidik terdahulu.
Alimuddin berkata, bukan semua belia di negara ini terpilih untuk mengikuti kursus perguruan, malah ribuan permohonan yang diterima sepanjang tahun disaring dengan terperinci, memastikan hanya mereka berkualiti saja diambil berkhidmat.

 

“Kerana itu saya kata bakal guru kena bersyukur, mereka berada dalam profesion yang penting dan hanya berkualiti serta berkelayakan saja terpilih untuk menjadi seorang guru.
“Jadi, berilah masa dan kumpulkan tenaga untuk mendidik anak bangsa supaya mereka menjadi insan yang cemerlang, mempunyai pencapaian tinggi dan mungkin memimpin satu hari nanti. Itu cabarannya,” katanya di sini, semalam.
Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) yang dirasmikan Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Lee Boon Hua.

 

 

Alimuddin hadir sebagai tetamu jemputan bagi mini dialog yang membincangkan mengenai prestasi guru, perubahan pendidikan negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Menurutnya, Malaysia mengalami perubahan dalam sektor pendidikan setanding statusnya menghampiri negara maju, justeru guru perlu bergerak seiring dengan memfokus kepada bagaimana membangunkan modal insan cemerlang.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Guru ditetak gara-gara cemburu – Utusan


Guru ditetak gara-gara cemburu

KUALA TERENGGANU 24 Okt. – Seorang guru lelaki berusia 35 tahun cedera parah selepas ditetak dua lelaki bertopeng, dipercayai angkara cemburu di hadapan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Kuala Besut semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun tiba-tiba diserang dengan menggunakan parang panjang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang turut menjalankan perniagaan barangan kosmetik menerima panggilan daripada seorang wanita yang berminat untuk membeli produknya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, ketika menunggu pelanggan itu mangsa dan adiknya dihampiri dua buah kereta bercermin gelap.

“Dua lelaki bertopeng biru dan bersenjatakan parang panjang terus menuju ke arah mangsa lalu menyerangnya.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121025/je_06/Guru-ditetak-gara-gara-cemburu#ixzz2AHMCSB6T
© Utusan Melayu (M) Bhd