Suami, isteri jadi contoh anak-anak – Metro


Suami, isteri jadi contoh anak-anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: “Bukan mudah untuk menjalankan tugas sebagai pekerja, ibu bapa dan pelajar dalam satu masa. Namun demi masa depan keluarga dan menjadi contoh baik kepada enam anak, kami teruskan juga.”

Demikian perasaan dikongsi pasangan suami isteri, Saiful Bahrin Husaini, 44, dan Hazlin Mohamed, 45, yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Bahasa Melayu) dalam istiadat konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-40, di sini, semalam.
Menurut Saiful, dia dan isteri tekad untuk menyambung pelajaran setakat diploma sebelum ini ke peringkat lebih tinggi bagi meningkatkan kualiti diri selain mahu memberi contoh baik kepada enam anak mereka berusia antara 11 dan 18 tahun.

 

“Setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak pada 2008, bermulalah tugas kami sebagai pelajar setiap hujung minggu kerana pada hari biasa kami sibuk bekerja.
“Situasi tahun pertama amat mencabar kerana saya masih tidak pandai membahagikan masa antara kerja, ketua keluarga, suami dan pelajar,” katanya.
Selain itu, katanya, dia juga perlu berdepan cabaran psikologi apabila ada di kalangan adik beradiknya seakan tidak yakin kemampuan dia dan isteri memikul tugas sebagai penuntut universiti pada usia lanjut.

 

 

Saiful yang juga Pembantu Pegawai Pengurusan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi berkata, tanggapan itu lama kelamaan hilang setelah mereka membuktikan pelajaran bukan sesuatu membebankan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23

HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN – SPP


HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN
 

Program Hari Mesra Pelanggan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2012 (Selasa) dari pukul 9.30 pagi hingga 4.00 petang.

 

Anggota Perkhidmatan Pelajaran yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pelantikan dan perkhidmatan serta orang awam yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dan Anggota Kumpulan Sokongan dijemput hadir.

 

Muat naik pada 18 Oktober 2012

Sistem dan organisasi IPGM perlu disemak semula – Utusan


Sistem dan organisasi IPGM perlu disemak semula

BANGI 18 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik mampu dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

“Saya telah meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara-perkara ini.

“Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja yang kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (Kads1m) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pada masa yang sama beliau berharap IPGM akan terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru-guru berwibawa dan cemerlang. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121018/dn_22/Sistem-dan-organisasi-IPGM-perlu-disemak-semula#ixzz29ip2zk9d
© Utusan Melayu (M) Bhd

10,715 cikgu baru – Berita Harian


10,715 cikgu baru

2012/10/06 – 05:18:58 AM Oleh Syuhada Choo AbdullahCetakEmel Kawan
pix_gal0

Kumpulan pertama siswazah lulusan IPGM, IPTA akan diberi penempatan mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi penempatan, tahun depan.

Mereka adalah kumpulan pelajar yang sudah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini di IPGM serta IPTA, dan akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

“Kepada mereka yang akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan itu tertakluk kepada graduan yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga dikendalikan SPP.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 2,960 graduan terbabit dikenal pasti sudah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai lalu dan dijadualkan menjalani temu duga oleh SPP.

Penempatan interim
“Mereka adalah 2,478 graduan program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain), 368 dari program TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 90 dari program KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) IPGM dan IPTA termasuk mereka dari Program Pelajar Cemerlang (PPC), 14 dari program Bahasa Perancis, dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

“Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, Kementerian Pelajaran akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan ini mulai 16 Oktober ini. Pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusan temu duga oleh SPP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu bagi baki 7,755 pelajar yang menamatkan pengajian selepas Jun lalu, Muhyiddin berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada SPP untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

“Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat tahun depan. Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” katanya.

10,715 graduan guru diberi penempatan – Utusan


10,715 graduan guru diberi penempatan

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

“Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

“Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121005/dn_35/10715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28QmR8bqf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Graduan Pendidikan Dilantik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah – Bernama


Graduan Pendidikan Dilantik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah

KUALA LUMPUR: Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (Pendidikan) yang menamatkan pengajian tahun ini, berpeluang dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelantikan itu tertakluk kepada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, telah memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temuduga kendalian SPP.

Mengikut rekod kementerian, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 2,960 graduan yang menamatkan pengajian sebelum 1 Julai dijadualkan untuk ditemuduga SPP, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mereka yang terlibat ialah seramai 2,478 orang daripada program J-Qaf; program TESL (368); Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Institut Pendidikan Guru Malaysia, Institut Pengajian Tinggi Awam (Pendidikan) dan Program Pelajar Cemerlang (90); Program Bahasa Perancis (14) dan 10 calon mengulang temuduga berdasarkan keperluan opsyen.

“Sementara SPP menyelesaikan urusan temuduga, kementerian akan membuatpenempatan secara interim bagi kumpulan itu mulai 16 Okt ini,” katanyasambil menambah bahawa pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusantemuduga SPP.

Muhyiddin berkata bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian selepas Jun tahun ini iaitu seramai 7,755 orang, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temuduga dapat disegerakan.

Katanya penempatan kumpulan itu yang lulus temuduga SPP akan dibuat pada tahun depan.

Muhyiddin berkata keputusan penempatan itu setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan dedikasi,” katanya. BERNAMA

SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah – Bernama


SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah

2012/10/02 – 16:03:21 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah ke dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, cadangan memasukkan modul tersebut ke dalam mata pelajaran Pendidikan Agama, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral itu telah dihantar ke kementerian pada Jun lepas, malah pihaknya juga sudah berbincang dengan Jabatan Kokurikulum kementerian itu berhubung cadangan berkenaan.

“Selain itu, kita juga sudah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru untuk menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah di semua pusat latihan perguruan bagi melatih guru-guru pelatih berkaitan nilai-nilai murni seperi amanah, jujur, ikhlas dan integriti, iaitu antara elemen yang akan dimasukkan dalam modul itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pencegahan Rasuah bersama Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya modul itu, peranan pihak sekolah dalam membentuk modal insan yang cemerlang juga akan menjadi lebih berkesan.

Sutinah berkata penekanan nilai-nilai integriti dari bangku sekolah mampu menjadi benteng kukuh dalam menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam aktiviti rasuah selepas memasuki alam pekerjaan.

“Dalam membentuk modal insan yang cemerlang pihak sekolah juga mempunyai peranan penting dan sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita yakin pelajar-pelajar akan menjadi lebih berwibawa dan berintegriti apabila bekerja kelak,” katanya. – BERNAMA

Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan – Bernama


Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Kementerian Pelajaran sedang membangunkan “1Unified Instrument” atau instrumen bersepadu untuk menilai tahap kompetensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan penilaian itu, pegawai yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompetensi ditetapkan akan diberi latihan melalui modul latihan bersesuaian, mengikut tahap kompetensi mereka.

“Dalam konteks ini, tenaga kepakaran di institut pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran akan digembeleng dan digerakkan sebagai jurulatih utama untuk melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme, diterajui sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Guru,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – BERNAMA

Ketua jabatan didakwa terima rasuah – Utusan


Ketua jabatan didakwa terima rasuah

JOHOR BAHRU 19 Sept. – Seorang ketua jabatan institusi perguruan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor berjumlah RM37,069.40, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azmi Hassan, 49, didakwa menerima sekeping cek Malayan Banking Bhd. (Maybank) bernombor 025330 daripada Sulaiman Adom, 42.

Lelaki tersebut mendapat kontrak untuk melakukan kerja naik taraf sistem kumbahan di flat pekerja bernilai RM198,927 dan kerja ubah suai flat pekerja kepada kediaman di kampus berkenaan yang bernilai RM198,999.

Azmi yang mempunyai lima anak, bertugas di Jabatan Sains, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini ditangkap pada 7 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No. 02-04, Larkin Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 24 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd. Haldar Abdul Aziz menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd. Malik manakala tertuduh diwakili peguam Vijaya Sandran.

Pelajar parah jatuh tingkat tiga – Berita Harian


Pelajar parah jatuh tingkat tiga

 Bangunan blok E  lokasi yang dipercayai tempat  pelatih terjatuh dari tingkat tiga.Bangunan blok E lokasi yang dipercayai tempat pelatih terjatuh dari tingkat tiga.

Johor Bahru: Seorang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPG-KTI) parah selepas dikatakan terjatuh daripada tingkat tiga asramanya, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, gadis berusia 18 tahun dan mendaftar memasuki pusat pengajian terbabit pada Jun lalu, cedera parah di bahagian tulang belakangnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pusat pengajian terbabit sebelum menghubungi polis.

Cedera parah

“Berdasarkan laporan awal, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asramanya menyebabkan dia cedera serius di bahagian tulang belakangnya.

“Menurut seorang saksi, sebelum kejadian itu, mangsa dilihat berlegar-legar di tingkat berkenaan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Samad berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan stabil, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.
“Kita akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk punca kejadian ini boleh berlaku. Saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi. Saya mohon kerjasama orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Enggan ditemubual

Sementara itu, usaha untuk menemubual mangsa tidak berhasil, apabila wanita dipercayai ibunya yang menemani di sisi katil dalam wad, enggan ditemubual wakil media yang meninjau keadaan gadis terbabit tengah hari semalam.

Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPG-KTI pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dengan alasan kes itu kini diserahkan kepada siasatan polis.

“Kami belum boleh memberi apa-apa reaksi mengenai kejadian berkenaan kerana sudah menjadi kes polis,” katanya.