Minda: Ibu bapa perlu lebih terbuka – Metro


Minda: Ibu bapa perlu lebih terbuka

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BIJAKNYA remaja sekarang kerana mampu mengarang cerita yang hebat, penuh debaran dan sensasi hingga berjaya menarik perhatian ratusan, malah mungkin ribuan orang yang mempercayainya serta mengundang simpati.

Jika mereka ada bakat menghasilkan karya yang bagus, mengapa tidak kelebihan itu digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah, misalnya menulis novel atau skrip drama?

Sia-sia saja kelebihan yang ada digunakan untuk satu tujuan tidak berfaedah, bukan hanya memalukan diri sendiri, malah seluruh keluarga turut menanggung aib atas perbuatan dilakukan remaja berkenaan.

Sejak akhir-akhir ini, lepas satu, satu kes mengenai remaja dilaporkan di media massa. Ada pelbagai insiden dramatik di awal cerita, namun di penghujungnya, balik-balik kes yang sama – lari dari rumah.

 
Antara kes penuh ‘drama’ yang dilaporkan ialah insiden seorang remaja perempuan diculik. Selepas polis menjalankan siasatan, rupanya, gadis terbabit yang merancang penculikan sendiri. Seorang remaja perempuan yang ditemui di Bangkok, Thailand bersama sekumpulan remaja warga Myanmar yang juga rakannya, mendakwa dia diculik oleh van putih dan dipaksa menjadi pengemis di negara Gajah Putih itu. Namun, selepas diselidik, didapati dia sendiri yang menjadi ketua yang merancang melarikan diri ke negara jiran untuk mengemis.

Kes kanak-kanak dan remaja lari dari rumah seolah menjadi trend. Asal ada masalah, jalan keluar yang mereka nampak ialah lari dari rumah tanpa menyedari dunia luar yang mereka sangkakan menjanjikan kebahagiaan dan keseronokan yang dicari sebenarnya penuh pancaroba berbanding getir hidup dalam rumah sendiri.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata jika selama ini kita hanya menumpukan perhatian pada peningkatan kes kanak-kanak dan remaja lari dari rumah dan usaha menyedarkan masyarakat, sudah sampai masanya kita ke langkah seterusnya dalam membendung gejala itu.

Menurutnya, senario berlaku hari ini ialah pendidikan media iaitu isu sosial diketengahkan media massa. Bermakna media sudah memainkan peranan melaporkan kanak-kanak dan remaja diculik atau gadis lari dari rumah.

“Bagaimanapun, apa peranan ahli masyarakat dalam menangani masalah kanak-kanak dan remaja lari dari rumah? Kita bukan saja mahu memberitahu masyarakat mengenai anak diculik atau lari dari rumah. Tahap seperti itu sudah tidak boleh kerana kita bukan setakat mahu menyedarkan masyarakat mengenai adanya kes remaja atau kanak-kanak lari dari rumah.

“Langkah berikutnya ialah untuk komuniti atau ahli masyarakat sama-sama terbabit dalam membantu pihak berkuasa polis, kementerian dan media massa mengenai bagaimana cara membantu menangani masalah ini. Kita hanya akan dapat membantu sekiranya kita memahami siapa yang terbabit,” katanya.

“Kita hanya dapat membantu sekiranya tahu siapa yang terbabit, bagaimana boleh terbabit serta faktor dan aspek ibu bapa, bagaimana kawalan ibu bapa, tingkah laku mereka dan tingkah laku ibu bapa itu sendiri,” katanya.

Hasil kajian dijalankan ISM pada 2010, daripada seramai 379 kanak-kanak dan remaja yang sememangnya ‘kaki’ lari rumah dan 54 ibu bapa yang disoal selidik, kajian menunjukkan remaja paling ramai lari dari rumah ketika berusia 16 hingga 18 tahun. Mereka lari dari rumah kali pertama ketika berumur 13 hingga 15 tahun malah ada yang lebih awal berbuat demikian iaitu pada umur sembilan atau 10 tahun.

Dr Mohamed Fadzil berkata, mereka datang daripada keluarga yang agak ramai iaitu bilangan adik-beradik antara empat hingga enam orang. Agak mengejutkan apabila, peratusan remaja yang lari sebenarnya lebih ramai di kalangan mereka yang tinggal dengan ibu bapa kandung iaitu 50.9 peratus. Seramai 17.45 tinggal bersama ibu kandung saja, tinggal bersama ibu kandung dan bapa tiri (6.6%) dan tinggal bersama ibu bapa angkat (4.7%).

Seramai 75 peratus remaja lari dari rumah tinggal di rumah yang agak besar dan selesa, mempunyai tiga bilik ke atas. Ini memudahkan mereka merancang untuk lari dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa. Kekerapan mereka lari dari rumah ialah 8.84 hari dan kekerapan lari dari rumah ialah 72.8% seminggu.

Seramai 90.5% remaja lari dari rumah ketika masih bersekolah, 88.9% berada di sekolah harian manakala hanya 37.2% remaja yang lari dari rumah pernah mengalami peristiwa dihalau oleh ibu bapa dari rumah.

“Kajian menunjukkan majoriti 49.3% remaja lari menuju ke rumah kawan, 7.4% merayau di bandar, 7.1% ke rumah teman lelaki dan 5% merayau di pusat beli-belah. Tempat tinggal bagi remaja yang lari dari rumah pada kali pertama ialah rumah kawan (47.9%), rumah keluarga kawan (19.8%), rumah teman lelaki/ keluarga teman lelaki (10.8%), rumah ibu bapa saudara (7.1%),” katanya.

Purata lama tempoh remaja lari dari rumah kali pertama ialah 27.97 hari dan tempoh lari dari rumah pada kali terakhir ialah purata 58.14 hari. Kebanyakan mereka melarikan diri sendirian iaitu 63.6%, dengan kawan (27.2%) dan dengan teman lelaki (6.3%).

Apakah faktor utama yang mendorong remaja lari dari rumah? Jawapan berbeza diterima daripada remaja terbabit dan ibu bapa. Remaja mendakwa sebab pertama mereka lari dari rumah disebabkan tekanan keluarga terutama ibu bapa (185 daripada 379 responden), ajakan dan pengaruh rakan (105), rasa ingin bebas daripada kongkongan (55), bergaduh dengan ahli keluarga dan rakan (41), disebabkan bosan (38) dan kurang kasih sayang (36). Kali terakhir mereka lari dari rumah disebabkan mengikut pengaruh rakan (80), tekanan keluarga (64), ingin bebas (53), mengikut teman lelaki (40).

Ibu bapa pula mengatakan punca anak lari dari rumah disebabkan pengaruh rakan (33%), tekanan keluarga (14.8), ingin kebebasan (11.1%) dan lain-lain sebab termasuk bosan, memberontak atau merajuk (25%).

Kajian itu juga melihat beberapa profil ibu bapa dan kawalan ibu bapa terhadap anak. Apabila ditanya kepada ibu bapa sama ada mereka tahu anak berada di mana pada waktu malam, masa lapang atau selepas waktu sekolah, 41% ibu bapa tidak tahu langsung mengenai perkara itu. Seramai 38.5% ibu bapa pula mengatakan kadang-kadang mereka tahu manakala 21% ibu bapa saja yang tahu di mana anak dan apa yang sedang mereka lakukan. Ini menunjukkan ketidakpedulian ibu bapa sangat penting dalam menyumbang kes anak lari dari rumah.

Amalan sama ada ibu bapa boleh mengawal anak mereka atau sebaliknya dapat dilihat dengan tindakan mereka membenarkan anak bermalam di luar. Seramai 86.3% ibu bapa membenarkan anak mereka bermalam di luar manakala 17.7% lagi tidak membenarkan anak mereka berbuat demikian.

Indeks kebahagiaan keluarga dan sokongan ibu bapa sangat penting bagi mengelakkan remaja lari dari rumah. Seramai 55.7% peratus remaja yang lari dari rumah mengatakan tahap kebahagiaan keluarga mereka sangat rendah manakala 55.4% remaja pula mengatakan tahap kasih sayang dalam keluarga adalah rendah.

Seramai 63.4% remaja mengatakan ibu bapa mereka mempunyai tingkah laku menghukum yang tinggi iaitu tanpa soal jawab, tidak berfikir panjang dan tidak mahu mendengar penjelasan anak terlebih dulu sebelum menghukum.

Menurutnya, pertembungan antara nilai konservatif yang dipegang ibu bapa dan nilai moden dan dinamik oleh anak antara punca berlaku kes lari dari rumah.

“Ibu bapa perlu lebih peka dan cuba memahami psikologi perkembangan dan pembangunan kendiri remaja serta mempunyai ilmu kemahiran menguruskan remaja pada tahap terbaik. Ini kerana kehidupan remaja hari ini cukup berbeza berbanding kehidupan remaja ibu bapa yang cukup ringkas.

“Remaja banyak berkongsi dengan kawan dan kadar perkongsian lebih cepat melalui media komunikasi yang canggih. Remaja terdedah kepada pelbagai aktiviti, berita, ilmu dan maklumat sama ada positif atau negatif hanya di hujung jari,” katanya.

“Anak-anak masa kini ingin menyambut hari jadi mereka, mempunyai telefon bimbit dan masa untuk bersuka ria dan semua itu tidak ada pada zaman ibu bapa mereka dulu,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu membimbing anak dengan kaedah yang lebih terbuka. Ini kerana remaja mudah terdedah dengan pelbagai gaya keibubapaan kerana mereka sentiasa berkongsi pengalaman mengenai cara ibu bapa mendidik dengan sepupu, jiran, rakan sekolah dan rakan aktiviti masing-masing.

“Ibu bapa juga perlu mempunyai kemahiran mendengar dan melayan yang tinggi. Latih diri untuk mendengar luahan anak dan bersikap terbuka dengan mereka kerana ini akan membuatkan mereka lebih selesa berbincang dan mendekati ibu bapa.

“Bagi remaja pula, mereka perlu tahu apa yang mereka mahu dan boleh buat. Tidak semua yang diinginkan, boleh dilakukan kerana terdapat peraturan yang perlu dipatuhi sama ada di rumah mahupun di luar. Remaja perlu tahu perkembangan kendiri masing-masing dan menjalankannya mengikut tahap umur,” katanya.

Penulis wartawan Metro Ahad