Naik gred secara automatik diperluas: KSN – Berita Harian


Naik gred secara automatik diperluas: KSN

2012/11/21 – 07:22:49 AMCetakEmel Kawan
Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.

Kluang: Seramai 1.42 juta kakitangan awam berpeluang menikmati kenaikan gred tanpa temu duga berikutan cadangan kerajaan memperluaskan kenaikan gred secara automatik.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata cadangan menaikkan gred berdasarkan ‘time base’ itu sedang diteliti sebelum dilaksanakan untuk semua sektor awam.

“Cadangan ini sedang dikaji dan kita akan perkenalkan secara menyeluruh selepas semua kekangan terutama dari segi perbelanjaan dikaji sepenuhnya. Kita kena ambil kira hasil dan perbelanjaan negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya perlu menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

“Suruhanjaya khas itu sedang mengkaji cadangan berkenaan dan akan menyerahkan laporan mengenai skim kerajaan serta perkhidmatan awam pada 31 Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Amanat dan Sesi Interaksi bersama Penjawat Awam Daerah Kluang, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, di sini semalam.

Sebelum ini, hanya penjawat awam di sektor pendidikan dan kesihatan menikmati kenaikan gred berdasarkan time base tanpa perlu menghadiri temu duga.

Kenaikan pangkat secara time-based dicadang diperluas ke seluruh sektor awam – Utusan


Kenaikan pangkat secara time-based dicadang diperluas ke seluruh sektor awam

 

KLUANG 20 Nov. – Kaedah kenaikan pangkat secara “timed-based” yang kini dinikmati sektor pendidikan dan kesihatan dicadang akan diperluas ke sektor perkhidmatan awam lain.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan sedang meneliti secara terperinci pelaksanaannya termasuk menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam sebelum perluasan terbabit dilakukan.

“Terdapat kira-kira 1.42 juta penjawat awam di negara ini dengan seramai 430,000 daripadanya adalah guru yang menikmati kaedah time-based.

“Kita (kerajaan) akan mengambil kira keseimbangan hasil dan perbelanjaan negara dan tunggu hasil laporan suruhanjaya yang dipengerusikan Tun Zaki Tun Azmi pada 31 Dis depan sebelum kaedah itu diperluas,” katanya pada sesi soal jawab majlis amanat dan sesi interaksi bersama penjawat awam, di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Selatan, di sini, hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121120/dn_25/Kenaikan-pangkat-secara-time-based-dicadang-diperluas-ke-seluruh-sektor-awam#ixzz2CpG3t6Rr
© Utusan Melayu (M) Bhd