Insurans: Jumlah pengusaha bas sekolah mohon lesen bertambah – Utusan


Insurans: Jumlah pengusaha bas sekolah mohon lesen bertambah

THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 6 April – Pengenalan Skim Perlindungan Insurans Murid-murid Sekolah yang diumumkan dalam Bajet 2013 berjaya menarik ramai pengusaha bas sekolah memohon lesen yang sah daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD).

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 17,000 bas sekolah berlesen di seluruh negara tetapi jumlah tersebut tidak termasuk bas sekolah yang beroperasi secara tanpa lesen serta tidak layak menikmati faedah insurans tersebut.

Beliau berkata, pengusaha bas sekolah digalak memohon lesen dengan SPAD kerana ia merupakan proses yang mudah di mana mereka hanya perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran.

“Dianggarkan jumlah bas sekolah tanpa lesen ini adalah agak besar dan mereka beroperasi secara senyap-senyap.

“Kami berharap penawaran skim insurans ini bukan sahaja dapat memberi perlindungan kepada murid tetapi juga akan menggalakkan pengusaha bas sekolah berdaftar dengan SPAD,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim insurans tersebut di sini hari ini.

Walaupun hanya dilancarkan hari ini, dua murid yang cedera dalam kemalangan di Bukit Beruntung, Selangor pada Januari lalu, telah pun menerima manfaat daripada skim itu yang dilaksanakan kerajaan mulai tahun ini.

Perlindungan yang ditawarkan di bawah skim tersebut termasuk kematian akibat kemalangan, hilang keupayaan kekal, bayaran perubatan, manfaat hospital dan khairat kematian.

Syed Hamid berkata, setiap murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berlesen akan mendapat perlindungan tersebut secara automatik tanpa perlu melakukan pendaftaran.

“Jika berlaku kemalangan, ibu bapa hanya perlu serah laporan perubatan dan pengesahan murid daripada sekolah kepada SPAD atau Takaful Malaysia untuk proses tuntutan,” katanya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130406/dn_25/Insurans-Jumlah-pengusaha-bas-sekolah-mohon-lesen-bertambah#ixzz2PmyZUV00
© Utusan Melayu (M) Bhd