RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang
Pekan: Kerajaan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad memberi cenderahati wang tunai RM1,000 dan sebuah iPad kepada semua 13 pelajar Orang Asli di Pahang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.
Sumbangan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli dan Pelancaran Bekalan Elektrik Luar Bandar Kampung Orang Asli Gumum di sini, semalam. Najib dalam ucapannya berkata, antara sebab kehadiran beliau ke Kampung Gumum adalah kerana mahu bertemu sendiri seorang daripada anak Orang Asli di kampung berkenaan yang mendapat keputusan 8A dalam SPM iaitu, Juliana Zaszira Ismail, 18.
“Kejayaan Juliana boleh dijadikan contoh dan diketengahkan atau ikon masyarakat Orang Asli seluruh negara.
“Ini juga bukti melalui peluang disediakan kerajaan, anak Orang Asli boleh berjaya seperti kaum lain,” katanya yang sempat meluangkan masa 15 minit beramah mesra dengan Juliana dan keluarganya di rumah mereka.
Sementara itu, Juliana ketika ditemui berkata dia tidak menyangka keputusan cemerlang diperoleh dalam SPM membuatkan Perdana Menteri sanggup datang ke rumahnya untuk bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Saya rasa gembira kerana selama ini hanya dapat melihat beliau dari jauh atau di televisyen saja, tapi hari ini (semalam) kami dapat bertemu muka.
“Dengan penghormatan diberikan Perdana Menteri ini, saya harap dapat menguatkan lagi semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran, sekali gus memajukan diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Juliana berkata dia mahu menjadi peguam atau pendidik dan sudah membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagi bapanya, Ismail Muhammad, 50, kejayaan anak kelima daripada tujuh beradik itu diharap dapat diteruskan kerana Juliana kini menjadi antara ikon masyarakat Orang Asli di seluruh Malaysia.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12