Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua – Utusan


Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua

 

TIGA beradik dari kiri, Sharafuddin Syazwan Rizauddin, Syahir Syafi dan Syauratul Syafiyah duduk dalam kenderaan polis bersama ibu mereka, Safarila Azwa Ishak untuk dibawa pulang ke Ipoh selepas dipertemukan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor, semalam.

IPOH 15 Ogos – Bapa tiga kanak-kanak yang didakwa hilang di rumah mereka di Taman Meru 2B di sini petang kelmarin sebelum ditemui di Gombak, Selangor malam tadi, berharap kejadian menimpa tiga anaknya itu dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

Rizauddin Md. Zain, 38, menjelaskan kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, bukan berpunca daripada kecuaian mana-mana pihak termasuk bekas isterinya, Safarila Azwa Ishak, 36.

Sebaliknya, kata Rizauddin, perkara itu berlaku disebabkan salah faham melibatkan beberapa ahli keluarga mereka.

Walau bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak terhadap apa yang terjadi namun meminta polis menjalankan siasatan terperinci bagaimana anak-anaknya boleh berada di Gombak.

“Sejujurnya, saya sehingga kini masih buntu dan tidak tahu bagaimana mereka dibawa dan siapa yang telah membawa mereka ke sana. Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasat.

“Apa yang paling penting sekarang anak-anak saya selamat. Syukur alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis, media dan orang awam yang tidak putus-putus berdoa agar mereka ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rizauddin berkata, ketika ini ketiga-tiga anaknya itu sudah pun dibawa pulang ke rumah bekas isterinya di sini dan berada dalam keadaan baik.

Katanya, mereka juga disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Gombak sebelum dihantar ke Ipoh dan kini perlu berehat.

Sementara itu, usaha menemubual tiga kanak-kanak berkenaan di rumah mereka di Taman Meru 2B hari ini, gagal apabila ibunya memaklumkan mereka masih tidur akibat kepenatan.

Menurut Safarila Azwa, dia tiba ke rumah bersama anak-anaknya kira-kira pukul 8 pagi ini selepas menemui mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 12 tengah malam tadi.

“Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mencari anak-anak saya sejak berita kehilangan mereka disebarkan kelmarin (Selasa).

“Ketiga-tiga mereka ditemui oleh orang awam sebelum dihantar ke IPD Gombak kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

Difahamkan polis telah mengambil keterangan daripada tiga adik-beradik berkenaan, ibu dan bapa mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130816/dn_27/Bapa-harap-kehilangan-3-beradik-beri-pengajaran-kepada-semua#ixzz2c5Xqg4DQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

3 beradik dilapor hilang di Ipoh – Kosmo


3 beradik dilapor hilang di Ipoh
14 Ogos 2013

IPOH – Bapa kepada tiga orang kanak-kanak yang dilaporkan hilang, Rizauddin Md. Zain memberitahu, ketiga-tiga anaknya telah dijumpai di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau baru dimaklumkan oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bahawa anak-anaknya, Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, ketika ini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Saya bersyukur mereka selamat meskipun saya tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke sana,” katanya kepada KOSMO!

Kanak-kanak hilang dipercayai dibawa arus longkang – Bernama


Kanak-kanak hilang dipercayai dibawa arus longkang

8 Mac 2012

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilapor hilang, dikhuatiri tergelincir ke dalam longkang di Kem Syed Putra, Jalan Tambun di sini, semalam.

Ibu kanak-kanak itu, Mazlinah Rintan@Baki, 31, berkata anaknya Yushairiezal Judin keluar bermain bola sepak dengan rakan-rakannya petang semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga tengah malam tadi.

“Saya membuat laporan polis pagi ini selepas gagal mencarinya di sekitar kawasan kem dan sekolah sehingga lewat malam tadi,” katanya.

Beliau berkata Yushairiezal dikatakan bermain berhampiran dua longkang besar ketika hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebaik polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

Polis hanya menemui sehelai seluar biru dipercayai milik mangsa yang tersangkut di ranting di Sungai Pinji, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat akan disambung esok. – Bernama

SBPA kena kekal nama jawatan – Berita Harian


SBPA kena kekal nama jawatan 

2012/03/03

IPOH: CUEPACS mahu semua nama jawatan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) dikekalkan dan tidak ditukar dengan gelaran baru seperti terkandung dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Mengikut SBPA, beberapa nama jawatan ditukarkan seperti Pemandu kepada Pembantu Operasi, Penyelia Asrama ditukar kepada Pembantu Tadbir, Penolong Pengurus Asrama (Penolong Pegawai Tadbir), Pengurus Kolej Universiti (Pegawai Tadbir), Pembantu Penerbit (Pembantu Penerangan) dan Pegawai Penerbit menjadi Pegawai Penerangan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menentang cadangan itu kerana bukan saja bertentangan dengan aspek tugas mereka, tetapi gred bagi jawatan berkenaan juga didapati tidak berkembang.

“Bantahan dibuat selepas kita buat tinjauan di seluruh negara, perbincangan dengan Jawatankuasa Bertindak CUEPACS. Selepas dapat maklum balas baru-baru ini, kita tidak bersetuju penukaran gelaran jawatan dalam SBPA,” katanya.

Guru berperanan jelas perkara benar – Kosmo


Guru berperanan jelas perkara benar

MUHYIDDIN disambut guru-guru pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di Ipoh semalam.

 

IPOH – Guru berperanan menjelaskan kepada rakyat perkara benar bagi menangkis serangan pembangkang terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tidak boleh terlibat dalam politik secara aktif, guru sebagai penjawat awam berperanan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai serangan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.

“Kita tidak perlu bersifat apologetik apabila kita membicarakan apa yang kerajaan telah buat,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini semalam.

Beliau berkata, pembangkang sering memfitnah dan membuat pelbagai tohmahan tetapi guru dalam perkhidmatan kerajaan tahu bahawa ia tidak benar.

Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah iaitu RM100 sebulan.