4,500 murid SRA khatam serentak – Sinar Harian


4,500 murid SRA khatam serentak

NORDIANA JOHARI
28 Julai 2013
4,500 murid SRA khatam serentak
Seramai 4,500 murid tahun enam melibatkan 164 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al-Azim, semalam.
4,500 murid SRA khatam serentak
Mohd Khalil menyampaikan cenderamata kepada murid cemerlang Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, semalam.

BANDARAYA MELAKA – Seramai 4,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) seluruh negeri melakar kejayaan apabila khatam Al-Quran secara serentak di Masjid Al-Azim, semalam.

Majlis melibatkan murid tahun enam dari 164 SRA Jaim itu disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Speaker Dun, Datuk Othman Muhammad dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin.

Idris berkata, beliau melahirkan rasa syukur terhadap penganjuran program yang dilihat mampu melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Jika semua umat Islam dapat mengamalkan inti pati kitab ini, saya yakin kita akan bertemu dengan kehidupan lebih sempurna,” katanya sempena Majlis Khatam Al-Quran Perdana Pelajar SRA Jaim peringkat negeri, semalam.

Menurutnya, menjadi kewajipan ibu bapa mengajar al-Quran kepada anak-anak sejak kecil bagi melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Bagaimanapun, Idris menyifatkan segelintir pihak sebagai bankrap idea dan kaedah selepas menimbulkan kekacauan di negara ini seharusnya tidak perlu ada lagi dalam masyarakat Islam hari ini.

Sebaliknya, tanpa mengira fahaman politik, umat Islam harus bersatu membina kehidupan lebih baik dan sempurna.

“Datang dengan pelbagai wajah dalam bentuk demonstrasi jalanan, protes dan ugutan, saya kira kaedah ini tidak perlu lagi ada dalam masyarakat,” katanya.

Merempat belakang medan selera – Metro


Merempat belakang medan selera

 31  3 Google +1  1  0

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Ramadan yang disambut umat Islam hari ini sepatutnya membawa kegembiraan, namun ia tidak dirasai empat beranak yang terpaksa hidup merempat di belakang sebuah medan selera di Lapang Besar, di sini, selepas rumah sewa didiami mereka selama 22 tahun terpaksa dikosongkan untuk projek pembangunan.

Itu realiti terpaksa ditempuh Rosli Abdul Ghani, 49, dan isterinya, Salbiah Mohammid, 47, yang sudah sebulan hidup bergelandangan di belakang medan selera berkenaan kerana ketiadaan tempat tinggal selain tidak mampu mencari rumah baru akibat kesempitan hidup.

Lebih memilukan anak pasangan itu, Amirul Azhar, 14, dan Shamil Al Muhaimi, 8, masing-masing belajar di Sekolah Pendidikan Khas Indera Mahkota dan Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, di sini, sudah dua minggu tidak ke sekolah kerana yang masalah dihadapi ibu bapa mereka.

Kesedihan tidak dapat disembunyikan dari wajah empat beranak itu yang apabila terpaksa menempuh kehidupan yang tidak pernah mereka minta apatah lagi pada Ramadan ini.

FotoROSLI sekeluarga hidup serba daif di belakang medan selera.

Rosli yang mencari rezeki sebagai nelayan berkata, dia hanya mahukan rumah yang selesa untuk anak dan isteri menjalani ibadat puasa dengan sempurna.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10

Guru agama main peranan cegah fahaman songsang – Utusan


Guru agama main peranan cegah fahaman songsang

MUHYIDDIN Yassin berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran 2013 di MAEPS Serdang hari ini. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD NOR

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkeyakinan kira-kira 52,000 guru pendidikan Islam di seluruh negara berupaya memainkan peranan secara lebih aktif dalam menyampaikan ilmu Islam yang sebenar kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, suluhan ilmu para ustaz dan ustazah itu mampu menghindari masyarakat daripada dipengaruhi oleh fahaman-fahaman songsang tentang agama Islam.

“Lebih-lebih lagi dalam konteks cabaran pemikiran dan akidah yang sedang hebat melanda umat Islam hari ini, maka guru-guru pendidikan Islam perlu memainkan peranan secara lebih aktif dalam menyampaikan mesej dakwah yang berteraskan ajaran al-Quran dan Sunnah serta memimpin masyarakat ke arah kebenaran,” katanya ketika berucap merasmikan Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130204/dn_29/Guru-agama-main-peranan-cegah-fahaman-songsang#ixzz2K0FcpqUC
© Utusan Melayu (M) Bhd