Guru tampil beri keterangan – Sinar Harian


Guru tampil beri keterangan

AHMAD ISMADI ISMAIL
16 September 2012
Abd Rahim Hamzah
Guru lelaki yang dipercayai mencurahkan bahan cecair pelarut.

KUALA LUMPUR – Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak tampil beri keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes lima pelajarnya melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka barbeku, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Abd Rahim Hamzah berkata, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

“Guru lelaki terbabit tampil beri keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian pada jam 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan sedang sibuk menyediakan makanan sebelum alat barbeku yang digunakan meletup menyebabkan mereka melecur.

Kejadian itu melibatkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima. Empat daripadanya parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.

Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata, dia bersama rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangi seorang guru yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan bahan cecair pelarut bagi mempercepatkan api dinyalakan.

“Setelah guru berkenaan mencurahkan bahan cecair pelarut itu, secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar kami yang berada di sekeliling alat barbeku,” katanya.

Pelajar yang melecur dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh guru di sekolah berkenaan.

Mohd Hidayat melecur teruk di kaki serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mulia, Mohd Hanim Tahir berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak sekolah yang tidak melakukan pemantauan rapi semasa aktiviti terbabit dilakukan.

“Saya mohon pihak sekolah perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang menimpa anak murid mereka, difahamkan salah seorang daripada mangsa perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Nelayan didakwa rogol teman wanita 15 tahun – Sinar Harian


Nelayan didakwa rogol teman wanita 15 tahun
ADILA SHARINNI WAHID
7 Jun 2012
KOTA BHARU – Seorang nelayan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun, bulan lalu.

Tuduhan terhadap Ismadi Ismail, 38, dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan tuduhan, Ismadi didakwa merogol pelajar tingkatan tiga itu di dalam kereta di tepi Tokong Buddha, Kampung Merabang Kubang Golok, Bachok pada jam 10 malam, 15 Mei lalu.
Kes akan didengar 5 Ogos depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali membantah jaminan kerana tuduhan serius yang dihadapi Ismadi.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jaminan dibenarkan berikutan tertuduh bekerja dan penanggung tunggal keluarganya.

“Saya mohon jaminan yang minimum kerana isteri tertuduh sendiri akan menjaminnya,” katanya.

Selepas dipertimbangkan, Hakim Azman membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tidak mendekati atau menghubungi mangsa dengan apa-apa cara sekalipun.

Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas – Sinar Harian


Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas

AHMAD ISMADI ISMAIL & HIDAYAH HAIROM
January 23, 2012
Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur)  untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau.

“Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama.

Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

“Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat,” katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961.